Perniagaan warisan kini diberi lebih banyak perhatian dengan harapan dapat menyemarakkan lagi warisan dan identiti budaya Singapura. Namun, realitinya, mereka berdepan cabaran besar untuk kekal relevan dalam landskap moden. Berita Minggu (BM) paparkan realiti sebenar yang dihadapi beberapa perniagaan warisan di Singapura.
Selama lebih 40 tahun, Halijah Travels menjadi antara nama paling dipercayai dalam membawa jemaah Singapura menunaikan ibadah di Tanah Suci.
Dari zaman di mana jemaah perlu menaiki kapal haji hingga ke era tempahan digital, agensi keluarga ini bukan sekadar membimbing jemaah ke Tanah Suci, tetapi juga mengekalkan legasi yang mencerminkan identiti Melayu/Islam yang berakar di kawasan Kampong Gelam.
Usaha tersebut terbukti semakin mencabar, terutama sekali dengan kemunculan perniagaan baru di kawasan bersejarah itu.
Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid berkata semakin sukar untuk beliau memastikan warisan yang dibina sejak generasi terdahulu terus bertahan.
“Halijah Travels telah memilih untuk bertapak di kawasan Kampong Gelam khususnya pada 2021 kerana kita ingin mengingatkan orang tentang sejarah Kapal Haji di kawasan Bussorah Street,” katanya.
“Tetapi sekarang saya risau, kebelakangan ini kita lihat banyak kedai-kedai kecil yang menjual cenderahati yang saya rasa mengikis warisan tempatan itu.
“Sekiranya, terdapat terlalu banyak kedai sebegitu, kawasan itu mungkin akan kehilangan tradisi dan sejarah tempat tersebut,” katanya dalam satu episod NoTapis, podcast Berita Harian.
Menurut Encik Haffidz, perjuangan untuk mengekalkan warisan bukan sekadar soal nama atau nostalgia, tetapi kesinambungan sejarah.
Syarikat pelancongan itu ditubuhkan pada 1991 oleh Allahyarham Halijah, kakak kepada Encik Haffidz, yang ketika itu antara wanita Melayu pertama menguruskan kumpulan jemaah haji dan umrah.
Selepas kakaknya meninggal dunia, Encik Haffidz dan abangnya telah memutuskan untuk meneruskan legasi keluarganya.
“Kami digalakkan oleh bapa untuk teruskan perniagaan ini.
“Kami cuba untuk menjadi pelapis.
“Tetapi kadangkala, saya selalu bergurau sekiranya saya dan abang saya berjaya teruskan perniagaan ini, ia adalah sebab kakak saya Halijah telah mulakannya dan kami teruskan.
“Tapi kalau tak berjaya, kami dua beradik, mungkin tewas dalam misi untuk mempertahankan legasi ini,” ketawanya.
Namun, mengekalkan warisan di tengah arus perubahan bukan mudah kata Encik Haffidz.
“Sekarang semua urusan dari tempahan Raudhah hingga ke visa jemaah perlu gunakan e-mel dan aplikasi.
“Jadi kami harus pastikan kakitangan serta pegawai kami yang membimbing jemaah ini semua celik teknologi.
“Pada masa yang sama kami terus mengekalkan sentuhan kemanusiaan yang kita sering tawarkan di syarikat kami,” katanya yang mempunyai lebih 50 sukarelawan yang membimbing jemaah umrah dan haji yang mengambil pakej mereka.
Baru-baru ini, syarikat pelancongan itu merupakan salah satu daripada 42 syarikat diiktiraf Lembaga Warisan Negara (NHB) di bawah Skim Perniagaan Warisan.
Skim tersebut dianugerahkan kepada perniagaan tempatan yang terletak di kawasan pusat Singapura yang memainkan peranan aktif dalam membentuk identiti kawasan tersebut, memperkaya daya tarikan bandar serta memelihara warisan Singapura.
Sebagai perniagaan warisan yang diiktiraf, perniagaan tersebut diberikan sebuah plak yang menandakan syarikat itu diiktiraf secara rasmi sebagai perniagaan warisan.
Selain itu, perniagaan warisan itu turut menerima sokongan pemasaran serta khidmat rundingan perniagaan.
Satu lagi perniagaan yang diiktiraf di bawah skim tersebut ialah Rumah Makan Minang, restoran warisan keluarga yang telah bertapak di Arab Street sejak 1950-an.
Bagi pemiliknya, Cik Zubaidah Marlian, perniagaan itu bukan sekadar sumber rezeki tetapi simbol perjuangan keluarganya.
“Mak saya dulu datang dari Indonesia dan mula berniaga kecil-kecilan untuk membesarkan saya dan adik-beradik saya,” katanya.
“Di situlah kita semua bergotong-royong, cuci bahan-bahan daripada pasar, perah santan dan cuci udang,” kongsi Cik Zubaidah yang memberi gambaran tentang norma beliau membesar.
Kini, anak sulungnya yang merupakan, pengarah urusan dan pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, Encik Hazmi Zin, meneruskan legasi restoran ini bersama tiga adik-beradiknya.
Untuk kekal mampan, restoran itu memperkenalkan dapur pusat dan sistem pesanan digital bagi urusan katering serta penghantaran makanan, namun resipi asal tetap dijaga.
“Kita harus terus mengubah sistem dan menyelaraskannya supaya kami dapat melakukan tugas dengan lebih baik dan efektif.
“Mungkin caranya berlainan tetapi, rasa dan cara masakan tetap sama seperti ibu saya ajar,” katanya.
Mengalu-alukan Skim Perniagaan Warisan SG oleh NHB, Encik Hazmi berkata ia membawa makna yang besar sebagai perniagaan.
Menurut Encik Hazmi, sokongan pemasaran dan rundingan perniagaan di bawah skim tersebut boleh membantu restorannya terus relevan sambil mempertahankan warisan Kampong Gelam.
“Sekiranya tiada perniagaan warisan, kita akan kehilangan identiti kita dalam masa akan datang.
“Anak-anak kita tidak ada kisah atau budaya sekiranya kita tidak mempertahankan sejarah perniagaan warisan di sini,” katanya.
“Jadi kita harus berusaha sekarang supaya mereka boleh teruskan tradisi dan juga terus berkongsi warisan pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg