Lebih 2.4 juta rakyat dewasa Singapura yang layak akan menerima bayaran khas sekali sahaja antara $200 dengan $400 pada September bagi membantu kos sara hidup yang semakin meningkat.
Bayaran khas itu akan diberi kepada warga Singapura berumur 21 tahun dan ke atas pada 2024, dan bagi mereka yang mempunyai pendapatan taksiran sehingga $100,000, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Ogos.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah mengumumkan Bayaran Khas Kos Sara Hidup semasa ucapan Belanjawan 2024 pada Februari.
Warga Singapura dewasa yang layak menerima antara $300 dengan $500 pada 2022, dan antara $200 dengan $400 pada 2023.
Bayaran itu adalah sebahagian daripada Pakej Jaminan, bagi mengurangkan kesan inflasi yang lebih tinggi dan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk semua rakyat Singapura.
Ia termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) untuk semua isi rumah Singapura, rebat U-Save serta rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) untuk isi rumah HDB bagi membantu mengimbangi bil utiliti dan S&CC.
Pemimpin generasi keempat (4G) telah memberikan komitmen bahawa mereka akan terus membantu warga Singapura dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pemerintah akur tekanan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana sedang kos kehidupan seperti makanan dan pengangkutan meningkat.
Pada masa sama, warga Singapura harus merancang dan menggunakan wang yang diberikan itu dengan sebaik-baiknya.
Mereka juga harus lebih berhemah dalam menggunakan wang yang diberikan itu.
Sedang kos sara hidup meningkat, sikap berjimat cermat dan berbelanja mengikut kemampuan diri harus terus diamalkan.
Meskipun bantuan diberikan oleh pemerintah bagi membantu mengurangkan tekanan kos yang meningkat itu, adalah tidak wajar bagi warga tempatan untuk terus-menerus mengharapkannya.
Pemerintah juga harus memastikan tekanan untuk menyediakan sokongan kewangan itu tidak harus menjadikan Singapura sebuah negara kebajikan atau ‘welfare state’.
Ini berlaku apabila pemerintah menggalas peranan utama melindungi kesejahteraan rakyat terutama yang kurang kemampuan menerusi pengagihan pencen, geran dan manfaat lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg