Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

Harga beras meningkat dek cuaca jejas hasil padi

Jul 25, 2023 | 12:33 PM



MUMBAI: Harga beras global kini berada pada paras tertinggi dalam tempoh 11 tahun, dijangka meningkat lagi dengan India bakal meningkatkan pembayaran kepada petani dan ancaman El Nino yang menjejas negara-negara pengeluar utama.


India menyumbang lebih 40 peratus daripada eksport beras dunia, iaitu 56 juta tan pada 2022, tetapi inventori yang rendah bermakna sebarang pengurangan penghantaran bekalan akan menaikkan harga makanan yang didorong oleh pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022 dan cuaca tidak menentu sekarang.

“India adalah pembekal beras paling murah,” kata Encik B.V. Krishna Rao, Presiden Persatuan Pengeksport Beras (REA), kepada Reuters.


“Memandangkan harga India meningkat kerana harga baru sokongan minimum yang ditetapkan, pembekal lain juga mula menaikkan harga.”

Beras adalah makanan asas utama lebih tiga bilion orang dan hampir 90 peratus daripada tanaman intensif air itu dihasilkan di Asia, yang terjejas akibat cuaca El Nino yang biasanya menyebabkan hujan lebih rendah.

Namun, sebelum fenomena cuaca menjejas pengeluaran, indeks harga beras global Pertubuhan Makanan dan Pertanian berlegar di paras tertinggi 11 tahun.

Ini berlaku meskipun Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) meramalkan pengeluaran hampir mencapai rekod dalam kalangan semua enam pengeluar global teratas – Bangladesh, China, India, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Kesan El Nino tidak terhad kepada mana-mana negara. Ia menjejas pengeluaran beras di hampir semua negara pengeluar,” kata Encik Nitin Gupta, Naib Presiden perniagaan beras, Olam India.

Harga eksport beras India telah melonjak 9 peratus kepada paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, berikutan kenaikan harga 7 peratus yang dibayar pemerintah kepada petani pada bulan lalu.

Insentif sedemikian bertujuan memancing undi petani dalam pilihan raya negeri utama India 2023 dan pilihan raya umum 2024.

Harga eksport di Thailand dan Vietnam juga telah meningkat kepada paras tertinggi lebih dua tahun lalu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, harga gula, daging dan telur telah melonjak ke paras tertinggi di seluruh dunia, selepas pengeluar mengurangkan eksport untuk mengekang kos domestik.

Di sebalik ramalan tanaman Asia yang kukuh, beberapa syarikat perdagangan global menjangka El Nino akan mengurangkan pengeluaran semua pengeluar beras utama.

“Harga beras telah pun meningkat kerana bekalan yang terhad,” tambah Encik Gupta. “Jika pengeluaran berkurang, akan berlaku kenaikan harga.”

Inventori beras global dijangka turun ke paras terendah dalam tempoh enam tahun iaitu sebanyak 170.2 juta tan menjelang akhir 2023 dan 2024, apabila stok pengeluar utama China dan India merosot, kata USDA sambil menyatakan ia berlaku selepas permintaan meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Harga beras boleh naik satu perlima atau lebih jika pengeluaran turun mendadak kerana El Nino, bermakna tanaman padi kali kedua di hampir semua negara Asia akan lebih rendah daripada biasa, kata seorang peniaga bijirin yang berpangkalan di New Delhi.

Thailand, pengeksport beras kedua terbesar, telah menggesa petani supaya menanam padi hanya sekali selepas hujan pada Mei mencatatkan 26 peratus di bawah paras normal.

Di India, yang menanam padi kali kedua pada November, mendapati pengeluaran pada musim panas telah merosot 26 peratus berbanding setahun lalu kerana musim tengkujuh membawa hujan kurang 8 peratus daripada biasa, data pemerintah menunjukkan.

Cuaca di China, pengeluar utama bijirin, tidak kondusif untuk tanaman awal musim tetapi stok simpanan yang tinggi akan mengimbangi bekalan dan permintaan, kata Cik Rosa Wang, seorang penganalisis dengan Shanghai JC Intelligence.

Inflasi makanan sentiasa menjadi kebimbangan bagi parti pemerintah India, yang mengharamkan eksport gandum tahun lalu dan mengawal eksport beras dan gula untuk menurunkan harga.

Memandangkan pilihan raya semakin hampir, permulaan penanaman yang perlahan di tengah-tengah kenaikan harga domestik membimbangkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Ini sekali gus meningkatkan prospek langkah mengekang eksport diambil kelak.

“Pemerintah Modi, yang sedang bergelut dengan tugas membendung kenaikan harga gandum, tidak akan teragak-agak untuk mengenakan sekatan,” kata peniaga yang berpangkalan di New Delhi, ibu negara India itu.

Sekatan India akan menyebabkan negara lain mengambil langkah untuk meningkatkan bekalan, kata pegawai industri.

“Situasi bekalan amat ketat dan penurunan dalam eksport India berpotensi menyebabkan harga global melonjak,” kata seorang peniaga yang berpangkalan di Singapura dengan syarikat perdagangan global.

Secara keseluruhan, Myanmar, Pakistan, Thailand dan Vietnam boleh meningkatkan eksport sebanyak tiga hingga empat juta tan metrik, tambah peniaga itu.

Lonjakan harga juga menyukarkan tugas menaikkan stok simpanan.

Permintaan daripada negara-negara Afrika yang sensitif harga kian perlahan, kata Encik Himanshu Agarwal, pengarah eksekutif di Satyam Balajee, pengeksport India.

Tetapi beberapa pembeli Asia, seperti Indonesia dan Filipina, telah meningkatkan stok simpanan dan menambah pembelian daripada pembekal tradisional Vietnam.

Bulan lalu, Indonesia menandatangani perjanjian yang jarang dilakukan dengan India untuk mengimport satu juta tan beras jika El Nino, menjejas bekalan domestiknya. Indonesia biasanya membeli beras dari Thailand dan Vietnam, jiran terdekatnya.

“Beras telah menjadi pasaran pembeli sejak beberapa tahun lalu, tetapi ia boleh menjadi pasaran penjual jika El Nino menjejas pengeluaran,” kata peniaga yang berpangkalan di Singapura itu. – Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >