Topik diikuti
Pergi ke BHkuHargai ibu bapa sebelum terlewat
Hargai ibu bapa sebelum terlewat
Suatu hari, ibu saya masuk ke bilik, menyampaikan berita mengejutkan... seorang ahli keluarga sedang dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans.
Detik itu menghidupkan semula ingatan pahit bertahun lalu ketika ayah saya diserang sakit jantung pada 2016.
Ia adalah kejutan tiba-tiba yang menyedarkan saya bahawa masa berlari lebih pantas daripada yang kita sedari.
Peristiwa sebegini mengingatkan kita akan hakikat ibu bapa semakin lanjut usia dan bahawa kehidupan kita ini singkat.
Walaupun sibuk mengejar puncak kerjaya dan membina keluarga sendiri, kita harus meluangkan masa, mendengar cerita mereka, dan menghargai setiap detik kecil yang sering kita pandang sepi.
Dalam kancah kesibukan hidup di Singapura, memberi masa untuk menyelami kehidupan ibu bapa bukan sekadar ungkapan kasih, malah pengiktirafan bahawa kisah mereka, seperti kita, terus berlanjutan dari hari ke hari.
Menurut laporan The Straits Times (ST) pada September 2025, Singapura dijangka mencapai status masyarakat ‘super-aged’ atau sangat menua pada 2026, berpandukan definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu apabila 21 peratus atau lebih penduduk berusia 65 tahun ke atas.
Dalam masyarakat warga emas ini, golongan paling tua, yang berumur 80 tahun ke atas, meningkat dengan mendadak.
Pada Jun 2025, sekitar 145,000 penduduk berada dalam lingkungan usia 80-an, berbanding 91,000 sedekad lalu, peningkatan hampir 60 peratus.
Angka ini bukan sekadar statistik kerana ia juga mengubah cara masyarakat berfungsi.
Dengan bilangan golongan bekerja yang semakin kecil untuk menampung warga emas yang kian ramai, beban penjagaan semakin banyak beralih ke bahu keluarga.
Berita tentang ayah saya dimasukkan ke hospital memberi bayangan kepada perubahan demografi yang lebih besar.
Ia pasti akan membentuk semula struktur keluarga dan corak kehidupan kami pada masa hadapan.
Pakar menjangkakan peningkatan bilangan warga emas ini akan melonjakkan permintaan terhadap sistem kesihatan, perumahan, dan sokongan masyarakat bagi memastikan mereka dapat mengharungi usia emas dengan selesa dan bermaruah.
Tindakan mudah seperti mengangkat telefon untuk bertanya khabar, mengajak mereka menjamu selera bersama, atau sekadar menjadi pendengar setia cerita mereka – semuanya kini punya makna yang mendalam.
Walaupun dasar dan infrastruktur negara sedang diperkukuh bagi menghadapi peralihan demografi ini, sokongan yang paling menyentuh jiwa datangnya dari keluarga sendiri.
Misalnya, masa yang kita korbankan, perhatian ikhlas yang kita berikan, dan kehadiran kita di sisi mereka.
Menyedari hakikat ibu bapa semakin dimamah usia kadangkala mengundang resah, namun saya tetap cuba berlapang dada.
Kerana di sebalik ketidakpastian dan kebimbangan masa depan, kita sentiasa punya pilihan: untuk hadir sepenuhnya, mencurahkan kasih sayang, dan mengukir memori indah bersama mereka selagi hayat dikandung badan.
Perjalanan Singapura menuju fasa ‘super-aged’ bukan hanya data di peringkat nasional.
Ia adalah seruan lantang kepada generasi muda seperti kita untuk memperlahankan rentak, menghulurkan tangan, dan menghargai mereka yang telah membesarkan kita, sebelum terlambat.

