Hayati makna Raya ketika saudara seagama lalui duka tatkala dunia bergolak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hayati makna Raya ketika saudara seagama lalui duka tatkala dunia bergolak

Hari kemenangan masih boleh disambut tanpa ketepi rasa empati terhadap mangsa konflik sejagat
Mar 19, 2026 | 3:49 PM

Hayati makna Raya ketika saudara seagama lalui duka tatkala dunia bergolak

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
makna Raya, saudara seagama, konflik timur tengah, dunia bergolak
Umat Islam dituntut agar melahirkan rasa gembira pada Hari Raya sebagai tanda kesyukuran atas nikmat kurniaan Allah. - Foto hiasan ADOBE STOCK

Dengan Hari Raya bakal menjelang, mungkin ada yang tertanya-tanya sama ada kita patut beraya sedangkan sebahagian umat Islam masih dilanda kesengsaraan?

Dalam Islam, Hari Raya bukan sekadar sambutan biasa. 

Ia adalah hari meluahkan rasa syukur, memperingati nikmat, serta mengiktiraf kurniaan Allah kepada umat Islam setelah selesai menunaikan ibadah Ramadan.

Sejak kebelakangan ini, banyak perkara telah berlaku di serata dunia. 

Menjelang Aidilfitri, sebahagian dunia masih bergolak dalam bencana dan konflik, manakala sebahagian lain hidup dalam keadaan aman dan dapat meraikan musim perayaan ini bersama orang tersayang.

Dalam era ketersambungan tanpa sempadan, satu kejadian yang berlaku di negara yang jauh beribu batu dapat disaksikan secara langsung melalui media sosial.

Ini mencetuskan perasaan sedih, keprihatinan dan empati mendalam terhadap insan lain.

Di serata dunia, ramai saudara kita sedang berdepan kesusahan, peperangan dan kehilangan.

Menjelang Hari Raya, mungkin ada di antara kita tersepit dalam dilema – antara ingin meraikan hari kemenangan ini, dengan rasa serba salah kerana saudara kita di Timur Tengah, terutama di Palestin dan negara jiran, masih menanggung ujian amat berat.

Meskipun kita tidak dapat lari daripada realiti kesusahan yang ditanggung oleh saudara kita, rasa sedih itu boleh diubah menjadi rasa syukur. 

Ini dilakukan dengan tetap meraikan kegembiraan Aidilfitri dan mensyukuri nikmat kurniaan Allah, sambil pada masa sama memelihara rasa empati, kesedaran dan semangat kebersamaan terhadap mereka yang sedang berduka.

Islam mengajarkan kita cara seimbang untuk menghayati rasa syukur, empati dan belas ihsan secara serentak.

Tuntutan merai Hari Raya

Perayaan dalam Islam adalah satu tuntutan yang ditetapkan melalui dua sumber utama syariat, iaitu Al-Quran dan hadis.

Dengan kata lain, meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha adalah sebahagian daripada ketaatan kita kepada Allah.

Bagi menghayati perayaan ini sepenuhnya, penting bagi kita memahami kepentingan dan nilai agamanya. 

Hakikat perayaan dalam Islam terletak pada ketaatan dan pengabdian seorang hamba kepada Penciptanya.

Islam menekankan setiap ketaatan kepada Allah adalah sebab untuk bersyukur dan bergembira.

Dalam kitab, Ihya’ Ulumuddin (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama), Imam Al-Ghazali meriwayatkan bahawa Ali bin Abi Talib pernah berkata: 

“Setiap hari yang kita tidak menderhaka kepada Allah, maka itulah hari perayaan kita.”

Melihat dari sudut pandang ini, kata-kata tersebut mengajak umat Islam agar sentiasa memupuk rasa takwa, mencari kegembiraan dan makna perayaan sebenar dalam ketaatan kepada ajaran dan perintah Allah.

Cara merai Hari Raya

Setelah kita memahami bahawa Hari Raya adalah satu tuntutan agama, mari kita meneliti bagaimana sepatutnya kita meraikan hari yang mulia ini.

Di penghujung ayat tentang keistimewaan Ramadan serta tuntutan berpuasa, Allah mengarahkan orang beriman agar mengakhiri ibadah tersebut dengan rasa syukur.

“... Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

Memupuk rasa syukur adalah hasil utama yang lahir daripada perjalanan berpuasa.

Justeru, kita meraikan Hari Raya dengan meluahkan rasa syukur melalui ungkapan takbir – mengagungkan kebesaran Allah – serta bersyukur atas petunjuk yang diberikan Allah dalam membimbing kita menyempurnakan perjalanan rohani sepanjang Ramadan.

Adab dalam merai Hari Raya

Adab merangkumi pelbagai aspek kehidupan kita – daripada cara kita makan, bertutur, berinteraksi, sehingga cara kita meraikan Hari Raya.

Menunjukkan rasa prihatin terhadap orang lain dalam meraikan Hari Raya adalah satu adab yang dituntut, sekali gus menjadi salah satu cara yang dapat memupuk dan mengekalkan rasa empati serta belas ihsan dalam diri kita. 

Ini juga memastikan kita sentiasa selari dengan matlamat dan prinsip agama yang menjadi asas kepada perayaan dalam Islam.

Memang terasa berat untuk terus beraya di tengah-tengah krisis yang melanda, lebih-lebih lagi apabila kita menyaksikan saudara seagama kita sedang berduka dan menderita.

Namun, rasa kasihan itu tidak seharusnya terhenti di dalam hati sahaja.

Sebaliknya, ia boleh menjadi pencetus kepada tindakan nyata.

Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk sentiasa mendoakan mereka yang sedang berdepan ujian, terutama ketika kita berhimpun bersama untuk bertakbir dan melaksanakan solat Hari Raya.

Kita juga boleh mengisi perbualan bersama rakan dan ahli keluarga dengan perkara berfaedah seperti memupuk kesedaran, kefahaman dan mendorong sesama sendiri untuk bertindak.

Selain itu, kita boleh mempertimbangkan untuk bersederhana dalam perbelanjaan Hari Raya, dengan mengkhususkan sebahagian bajet kita untuk disumbangkan kepada badan amal – termasuk pertubuhan yang membantu mereka yang terjejas dengan konflik.

Penutup

Hari Raya tetap disambut walaupun di tengah-tengah kesusahan. 

Sepanjang sejarah, umat Islam telah melalui pelbagai ujian termasuk konflik, kehilangan dan penderitaan. 

Namun begitu, sambutan Hari Raya tetap diteruskan kerana ia melambangkan rasa syukur kepada Allah, harapan amalan diterima selepas beribadah, dan menonjolkan perpaduan dalam kalangan umat Islam.

Hari Raya Aidilfitri mengingatkan umat Islam bahawa kesusahan dan rahmat boleh wujud secara serentak.

Dengan memahami tuntutan Hari Raya, serta adab sewajarnya dalam meraikan hari kemenangan ini – seperti bersilaturahim, menjamu selera, beramah mesra dan sebagainya – kita akan sentiasa berpegang dengan hakikat dan kepentingan Hari Raya yang sebenar.

Penulis ialah alumni Madrasah Aljunied Al-Islamiah. Beliau melanjutkan pelajaran di Fakulti Ilmu Pengetahuan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA). Artikel ini kali pertama diterbitkan di laman web Muslim.sg.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg