Dengan permulaan Ramadan 2025, ramai yang pasti menantikan detik berbuka puasa bersama insan tersayang khususnya anggota keluarga.
Dalam kesibukan kehidupan – sama ada sebagai penuntut atau memenuhi tanggungjawab sebagai pekerja – kesempatan untuk makan bersama keluarga, walaupun ada, mungkin agak terhad.
Namun, Ramadan menawarkan peluang tahunan itu apabila masing-masing berkumpul di meja makan untuk berbuka puasa bersama-sama.
Juadah yang dihidangkan mungkin hasil air tangan sendiri, yang biasa dinikmati anggota keluarga.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hidangan mangkuk tingkat semakin popular.
Mangkuk tingkat umumnya merujuk kepada makanan yang dimasukkan ke dalam bekas – sama seperti penggunaan tepen atau bekas bertingkat-tingkat pada masa lalu yang diperbuat daripada logam.
Seawal Disember 2024, ruangan media sosial sudah mula dibanjiri dengan pelbagai hantaran yang menguar-uarkan hidangan mangkuk tingkat yang ditawarkan sempena Ramadan 2025.
Tawaran itu bukan sahaja dari syarikat katering dan jenama besar, malah dalam kalangan pengusaha perniagaan dari rumah (HBB) juga.
Secara umum, ia sekadar gambar dengan kotak-kotak berserta maklumat tentang hidangan atau set lauk-pauk yang ditawarkan pada tarikh tertentu.
Kadangkala, ada juga gambar makanan bagi mengumpan selera pelanggan.
Pelanggan boleh memilih untuk menempah bagi tempoh 20 hari (biasanya tidak termasuk hujung minggu); 10 hari sahaja (bagi memberi peluang mereka menikmati hidangan dari syarikat atau pengusaha lain); dan ada juga yang menawarkan meskipun sehari.
Harganya pula bergantung pada saiz hidangan. Sebagai contoh, tempahan untuk empat orang bagi 10 hari mungkin sekitar $560 dan hampir $1,100 untuk 20 hari termasuk kos penghantaran.
Khidmat sebegini jelas mendapat sambutan berdasarkan semakin banyak pihak yang menawarkannya.
Meski jumlahnya mungkin banyak, dengan hidangan yang pelbagai seperti lauk-pauk tradisi Melayu, India, makanan barat, dan sebagainya, masih terdapat jurang yang belum banyak diisi.
Bagi sebahagian anggota masyarakat seperti warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik, pilihan mangkuk tingkat yang ada kini agak terbatas dan kurang memenuhi keperluan mereka.
Sama ada ia terlalu berminyak, agak pedas, keras atau tampak agak kurang menyihatkan.
Ini sekali gus menimbulkan cabaran bagi penjaga mereka yang mungkin sibuk bekerja dan memerlukan khidmat lebih khusus sedemikian.
Dengan warga Singapura kian menua, aspek ini wajar mendapat perhatian.
Mungkin boleh diadakan kempen jauh sebelum bermulanya Ramadan bagi menggalakkan usahawan menawarkan pilihan lebih sihat.
Pelanggan boleh lebih prihatin dalam membuat pemilihan mangkuk tingkat, bukan sahaja daripada aspek keenakan, malah daripada sudut kesihatan.
Mangkuk tingkat biasanya menawarkan hidangan umum yang mungkin tinggi kandungan garam, gula dan kalori yang boleh menjejas kesihatan.
Warga emas contohnya mungkin bergelut dengan masalah pencernaan, sementara kanak-kanak mungkin memulakan amalan pemakanan kurang sihat jika hal ini kurang diberi perhatian.
Penghidap kencing manis atau pesakit jantung memerlukan diet khusus yang secara am, tidak ditawarkan oleh pilihan mangkuk tingkat tradisional.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Creative Eateries, Cik Bonnie Wong, yang turut mengendalikan syarikat Shiok Tingkat yang baru dilancarkan pada Julai 2024, berkata:
“Shiok Tingkat menyedari adanya jurang dari segi pilihan hidangan sihat dalam industri mangkuk tingkat.
“Banyak khidmat mangkuk tingkat tidak memenuhi keperluan diet khusus untuk pesakit kencing manis di Singapura, yang memerlukan dua kali lebih banyak sayuran selain kanji lebih sihat di dalam hidangan mereka.
“Dengan 400,000 orang atau 10 peratus warga Singapura dan penduduk tetap menghidapi kencing manis, kami mahu memenuhi keperluan mereka dengan memastikan mereka dapat menikmati hidangan lazat dan berzat, terutama dalam keberkatan Ramadan.”
Syarikat itu yang mempunyai agak ramai pelanggan Melayu – sekitar 14 peratus – dan mempunyai sijil halal Majlis Ugama Islam (Muis), menawarkan hidangan yang disifatkan kurang lemak, garam dan kalori, seiring nisbah bijirin sempurna dengan nutrisi seimbang.
Ia juga menawarkan Alchemy Fibre, gabungan sejenis serat berasas tumbuhan khusus untuk meningkatkan serat dalam karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan sebagainya tanpa mengubah rasa, rupa dan teksturnya.
“Hidangan kami direka khas oleh pasukan kulinari bagi memastikan ia enak dan berkhasiat.
“Setiap hidangan dan resipi disesuaikan agar sejajar mengikut garis panduan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), dengan menawarkan pilihan lebih sihat untuk pelanggan tanpa menjejas rasanya,” tambah Cik Wong.
Sebuah lagi syarikat yang menawarkan kelainan dengan memberi perhatian tentang aspek kesihatan ialah syarikat Hanaketo Pte Ltd, yang turut dikenali dengan jenama Hanaketo.
Agak menarik bagaimana syarikat HBB ini yang bermula pada 2020 kini berupaya beralih ke dapur pusat di Science Park Road.
Hanaketo menawarkan hidangan rendah karbohidrat, tanpa gula, sekali gus menjadikan ia mesra untuk penghidap kencing manis.
Contohnya, hidangannya termasuk nasi ‘konjac’ – yang diperbuat daripada tumbuhan ‘konjac – sejenis sayuran berumbi (root vegetable) yang mengandungi 97 peratus air dan 3 peratus serat. Ia agak kenyal seperti jeli.
Lauk-pauk termasuk ‘Cauligedil’, roti kirai menggunakan tepung badam sementara laksa Johor khas menggunakan mi ‘konjac’.
Hidangan yang ditawarkan berharga antara $7.90 dengan $18.50; sementara pencuci mulut tanpa gula, Sugarfree Bakes, pula berharga antara $16 dengan $40.
Pengarah syarikat, Hanaketo Pte Ltd, Cik Khasanah Hairi, 51 tahun, berkata:
“Saya memutuskan memulakan perniagaan ini untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat bagaimana makanan memainkan peranan bagi tubuh dan kesihatan mental.
“Suplemen menurunkan berat badan boleh membawa mudarat kerana saya sendiri telah melaluinya dan ia hampir meragut nyawa saya.”
Menurut Cik Khasanah, pada 2019, berat badannya mencecah 140 kilogram dan beliau disahkan menghidapi tekanan darah tinggi dan kencing manis.
“Saya terkejut sebab saya baru berumur 45 tahun. Menyesal rasanya kerana tidak menjaga kesihatan. Itulah perkara pertama yang saya fikirkan.
“Setiap hari saya rasa muak asyik makan bermacam pil. Saya mula membaca tentang mereka yang mengalami masalah yang sama dan akhirnya terpaksa menjalani rawatan dialisis.
“Saya temui doktor untuk meminta bantuan. Yang pasti, saya perlu menurunkan berat badan,” kata Cik Khasanah.
Beliau kemudian banyak membaca tentang diet keto.
Keto adalah singkatan bagi ketogenik, merujuk kepada diet rendah karbohidrat dan tinggi protein. Ia kerap dikaitkan dengan penurunan berat badan.
“Ramai anak-anak yang membeli pakej (mangkuk tingkat) untuk ibu bapa warga emas mereka dan alhamdulillah mereka boleh menikmatinya kerana saya sesuaikannya mengikut menu keto yang mereka inginkan,” tambah Cik Khasanah yang turut mengubah gaya hidupnya.
Selain berjalan pantas, beliau bukan sahaja dapat menurunkan berat badan menjadi 90 kilogram kini, malah, tidak perlu lagi memakan pil darah tinggi dan kencing manis.
Seperti kisah Cik Khasanah yang terkejut dengan laporan perubatannya, saya teringat sesi wawancara saya dulu dengan seorang isteri yang ibarat tersentak daripada mimpi.
Beliau mengakui pernah ‘membunuh’ suami kesayangan tanpa disedari. Pembunuhan yang dimaksudkan ialah membunuhnya secara diam melalui makanan.
Niat di hatinya untuk menggembirakan hati suami dengan makanan kesukaan, namun ternyata ia langkah yang tidak seharusnya diambil kerana ia jelas tidak menyihatkan.
Maka itu, marilah kita sama-sama menyokong anggota masyarakat yang lebih berisiko daripada sudut kesihatan Ramadan ini.
Semoga perkhidmatan katering dan individu dapat turut menyediakan pilihan mangkuk tingkat yang lebih sihat dan terangkum.
“
“(Mangkuk tingkat umumnya) Sama ada ia terlalu berminyak, agak pedas, keras atau tampak agak kurang menyihatkan. Ini sekali gus menimbulkan cabaran bagi penjaga mereka yang mungkin sibuk bekerja dan memerlukan khidmat lebih khusus... Mungkin boleh diadakan kempen jauh sebelum bermulanya Ramadan bagi menggalakkan usahawan menawarkan pilihan lebih sihat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg