Ustaz Abdul Fattah Abdussamad
Al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah swt kepada umat manusia sebagai pedoman hidup yang sempurna.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 2: “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”
Namun, sering kali kita melihat bahawa perhatian terhadap Al-Quran meningkat secara mendadak pada Ramadan dan kembali pudar selepas Ramadan.
Hakikatnya, Al-Quran bukan hanya untuk Ramadan, namun untuk sepanjang hayat kita.
Ia adalah panduan kehidupan yang harus menjadi pegangan dalam setiap aspek kehidupan.
Allah swt menurunkan Al-Quran sebagai cahaya yang membimbing manusia ke jalan yang benar. Firman-Nya dalam Surah Al-Isra’, ayat 9:
“Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus...”
Dengan menjadikan Al-Quran sebagai rujukan harian, kita dapat memperoleh bimbingan dalam setiap keputusan dan tindakan.
Ia mengajar kita tentang akhlak, hubungan sesama manusia, keadilan dan cara menghadapi ujian hidup.
Mempelajari Al-Quran bukan sekadar membaca, malah memahami makna dan menghayatinya.
Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari).
Al-Quran perlu ditadabbur dengan mendalam agar pesanannya benar-benar difahami dan diamalkan.
Ulama seperti Imam Al-Ghazali menekankan bahawa membaca Al-Quran tanpa memahami maknanya ibarat seorang yang membaca surat tetapi tidak tahu apa yang disampaikan.
Imam Ibn Qayyim Al-Jawziyyah juga berkata: “Al-Quran adalah penawar bagi segala penyakit hati. Apabila hati jauh daripada Al-Quran, ia akan menjadi keras dan tidak mendapat ketenangan.”
Al-Quran penuh dengan kisah umat terdahulu sebagai pengajaran kepada kita.
Firman Allah swt dalam Surah Yusuf, ayat 111: “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.”
Kisah Nabi Yusuf as mengajar kita tentang kesabaran dan keikhlasan dalam menghadapi ujian; kisah Nabi Musa as menunjukkan keteguhan iman dalam menghadapi cabaran; dan kisah Nabi Sulaiman as memberi teladan dalam kepimpinan yang adil dan bijaksana.
Dengan memahami kisah-kisah ini, kita dapat mengamalkan nilai yang diajarkan dalam kehidupan seharian.
Umar bin Khattab ra pernah berkata: “Kami adalah satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam.
“Jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka Allah akan merendahkan kita.”
Membudayakan Al-Quran dalam kehidupan harian bermula dengan mengamalkan ajarannya dalam solat, muamalat dan akhlak kita.
Kita boleh bermula dengan membaca sekurang-kurangnya satu halaman sehari, memahami tafsirnya dan berusaha mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam ayat yang dibaca.
Syeikh Ibn Utsaimin juga berpesan: “Tidak ada satu kebahagiaan pun yang lebih besar daripada seorang Muslim yang hidup dengan Al-Quran, kerana ia adalah cahaya, rahmat dan petunjuk dalam kehidupannya.”
Dalam dunia yang serba moden dan pantas berubah, kita sering terdedah kepada pelbagai cabaran yang boleh menggugat iman dan jati diri kita.
Media sosial, tekanan rakan sebaya dan gaya hidup yang sibuk sering kali membuatkan kita lupa akan sumber ketenangan dan bimbingan sebenar, iaitu Al-Quran.
Al-Quran bukan hanya sekadar bacaan. Ia adalah sumber motivasi, inspirasi dan petunjuk dalam kehidupan.
Imam Al-Ghazali menyatakan: “Jika kamu ingin berbicara dengan Allah, dirikanlah solat. Jika kamu ingin Allah berbicara denganmu, bacalah Al-Quran.”
Sebagai generasi muda, kita mempunyai tenaga, keinginan untuk berubah dan keupayaan untuk membina masa depan yang lebih baik. Oleh itu, marilah kita:
– Memulakan rutin membaca Al-Quran setiap hari walaupun hanya satu ayat.
– Menghadiri kelas tafsir dan tadabbur Al-Quran untuk memahami pesanannya dengan lebih mendalam.
– Menggunakan teknologi seperti aplikasi Al-Quran dan podcast untuk menjadikan pembelajaran lebih mudah dan menarik.
– Mengamalkan nilai-nilai Al-Quran dalam kehidupan seharian, seperti bersikap jujur, menjaga akhlak dan menghormati ibu bapa.
Al-Quran bukan sekadar bacaan pada Ramadan. Ia adalah pedoman sepanjang hayat.
Dengan membaca, memahami dan mengamalkannya, kita akan mendapati bahawa kehidupan kita lebih tenang dan terarah.
Semoga kita tergolong di antara mereka yang menjadikan Al-Quran sebagai cahaya dalam hidup, sebagaimana doa Rasulullah saw:
“Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hatiku, cahaya di dalam pendengaranku, cahaya di penglihatanku, cahaya di sebelah kananku, cahaya di sebelah kiriku, cahaya di hadapanku, cahaya di belakangku, cahaya di atasku, cahaya di bawahku dan muliakanlah cahaya bagiku.” (HR Bukhari).
Mari bersama kita berusaha menjadikan Al-Quran sebagai panduan harian, bukan hanya pada Ramadan, bahkan sepanjang hayat.
Penulis ialah Penolong Pengurus Pendekatan Masyarakat, di Masjid Yusof Ishak. Beliau telah berkhidmat di Jabatan Pendidikan dan Dakwah di masjid tersebut sejak pembukaannya pada April 2017. Beliau merupakan lulusan Sarjana Muda dalam bidang Perbandingan Agama daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg