Ramadan telah pun melabuhkan tirainya.
Dengan ketibaan 1 Syawal, kita saling mendoakan antara satu sama lain agar kita tergolong dalam kalangan mereka yang telah diterima amalannya sepanjang Ramadan yang telah berlalu.
Harapannya agar kita telah melangkah keluar daripada Ramadan dengan dosa yang diampunkan dan kembali kepada fitrah yang suci. Itulah maksud sebenar Aidilfitri.
Setelah sebulan masjid dipenuhi dengan hamba Allah swt yang mendambakan rahmat dan pengampunan-Nya, kita lihat jumlah yang meraikan 1 Syawal dengan melaksanakan solat Aidilfitri melimpah ruah di masjid serata Singapura.
Dengan Syawal hampir seminggu berlalu, adakah masjid-masjid kita masih dikunjungi? Atau ia kini sepi? Menanti penuh kembali apabila Ramadan tiba lagi?
Benar, Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan.
Tersedia padanya anugerah dan ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah swt, dengan lailatulqadar sebagai anugerah teragung yang dihajatkan oleh setiap orang yang beriman.
Namun, apakah kita mempunyai pandangan yang tepat tentang Ramadan?
Sering kali kita mendengar Ramadan dan lailatulqadar dianggap sebagai kemuncak di dalam ibadah.
Ya, terdapat banyak hadis yang menyebutkan tentang kelebihan dan ganjaran yang disediakan bagi orang yang berpuasa, mendirikan solat malam dan bersedekah dalam Ramadan.
Namun adakah ia bererti fokus kita terhadap hubungan yang utuh dengan Allah swt terhad pada Ramadan sahaja?
Para ulama menekankan bahawa lailatulqadar disediakan oleh Allah swt dengan rahsia pada tarikhnya supaya para hamba-Nya gigih beribadah pada malam-malam terakhir Ramadan dan tidak mengehadkan kepada satu malam sahaja.
Namun hakikatnya, kita lihat ramai yang terlalu asyik untuk mengetahui tentang malam tersebut dengan tepat sehingga mengabaikan inti patinya.
Apa yang sering berlaku ialah kita mengibaratkan Ramadan itu sebagai suatu pendakian, manakala lailatulqadar pula merupakan kemuncaknya.
Fitrahnya di dalam pendakian, apabila seseorang itu telah berjaya ‘menakluki’ gunung yang didaki, beliau akan turun semula dari gunung tersebut dan kembali kepada kegiatan hariannya.
Pendakian tersebut menjadi sebuah pencapaian yang dibanggakan dan terhenti di situ, hingga tiba masa untuk mendaki gunung yang seterusnya.
Berakhirnya Ramadan bermaksud pulanglah kita kepada kebiasaan kita yang sebelumnya. Kembali kepada kesibukan harian, sama ada pekerjaan mahupun sekolah.
Ibadah kembali menjadi keutamaan kedua dalam kehidupan, sementara kehadiran ke masjid dan program keagamaan hanya dilakukan apabila ada kelapangan.
Apakah iman kita meningkat sekadar pada Ramadan sahaja? Atau kita hanya menganggap lailatulqadar seperti ‘skim cepat kaya’ versi agama?
Hanya dengan ibadah pada satu malam memberikan pulangan ganjaran seumpama seribu bulan!
Pilu sungguh jika itu tanggapan kita terhadap bulan mulia yang baru sahaja berlalu.
Bulan yang seharusnya menjadi medan memupuk keimanan dijadikan peluang untuk mengambil kesempatan semata-mata.
Sebaliknya seorang mukmin itu ibarat olahragawan elit, manakala Ramadan adalah pertandingan terbesar yang akan diambil bahagian dengan harapan menjuarainya.
Persiapan pertandingan tersebut akan dimulakan sejak awal lagi dengan pelbagai kegiatan dilakukan agar olahragawan itu tiba dalam keadaan yang terbaik.
Akhir pertandingan pula tidak bermaksud beliau meninggalkan segala-galanya.
Bahkan beliau akan memberikan tumpuannya pada pertandingan yang seterusnya, dengan persiapan yang jitu agar beliau dapat mengekalkan prestasi optimumnya.
Begitu juga keadaan kita dengan Ramadan.
Ramadan telah berlalu, namun ia bukan perpisahan selamanya, sebaliknya akan kembali menyapa pada tahun berikutnya.
Jadi, bukankah seharusnya kita sentiasa berusaha mengekalkan tahap ibadah yang optimum sebelum tibanya Ramadan sekali lagi?
Setiap amalan yang telah kita laksanakan sepanjang Ramadan yang baru berlalu seharusnya diteruskan.
Tidak ada salahnya untuk berehat.
Ulama juga menyebutkan iman itu seperti air di lautan – ada waktu ia surut dan sebaliknya. Ambil masa beberapa hari pada Syawal ini untuk berehat seketika, namun jangan terlalu lama.
Ingat, puasa enam hari pada Syawal setelah berpuasa Ramadan itu diibaratkan oleh Nabi Muhammad saw seumpama berpuasa selama setahun.
Teruslah membiasakan diri dengan ibadah.
Solat tarawih mungkin khusus dalam Ramadan, namun solat witir sebaiknya diamalkan setiap malam jika mampu.
Begitu juga dengan puasa – walaupun puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam, terdapat banyak puasa sunat yang boleh dilakukan sepanjang tahun, seperti puasa Isnin dan Khamis.
Jangan kita jadikan perginya Ramadan seperti debu yang ditiup angin – tidak meninggalkan apa-apa kesan.
Ramadan mungkin telah pergi namun apakah kita merupakan hamba Allah swt atau hamba Ramadan?
Meminjam kata-kata Sayidina Abu Bakar ra tatkala kewafatan Nabi Muhammad saw: Barang siapa yang beribadah kerana Ramadan maka ketahuilah Ramadan telah berlalu pergi. Sebaliknya sesiapa yang beribadah kerana Allah swt maka ketahuilah bahawa Allah swt itu kekal wujud dan tidak pernah pergi.
“
Teruslah membiasakan diri dengan ibadah... Jangan kita jadikan perginya Ramadan seperti debu yang ditiup angin – tidak meninggalkan apa-apa kesan. Ramadan mungkin telah pergi namun apakah kita merupakan hamba Allah swt atau hamba Ramadan?Penulis ialah mantan Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem dan pernah berkhidmat lebih sedekad di sana. Penulis, kini merupakan pendakwah bebas, memiliki ijazah sarjana sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU). Beliau juga memiliki ijazah sarjana muda dalam pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg