Topik diikuti
Pergi ke BHkuAl-Quran sebagai sumber hidayah, transformasi diri
‘Tadabbur’ kalam Allah mampu bimbing insan bina hidup lebih beriman, berakhlak dan bermakna
Dalam sejarah Islam, terdapat banyak kisah yang memperlihatkan bagaimana hati manusia boleh berubah hanya dengan satu detik kesedaran yang benar-benar menyentuh jiwa.
Ibn ‘Asakir, seorang ahli sejarah Islam yang masyhur, pernah meriwayatkan sebuah kisah tentang seorang lelaki yang terkenal dengan perbuatan merompak dan melanun.
Pada suatu malam, lelaki itu memanjat ke atas atap sebuah rumah yang ingin dirompaknya.
Ketika berada di atas bumbung tersebut, beliau terdengar suara seorang lelaki sedang membaca Al-Quran.
Ayat yang dibaca adalah daripada Surah Al-Hadid, ayat ke-16, yang bermaksud:
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut, maka hati mereka menjadi keras, dan ramai di antara mereka orang-orang yang fasiq.”
Sejurus sahaja mendengar ayat itu, lelaki tersebut segera berkata:
“Wahai Tuhan, sudah sampai masanya.”
Lalu beliau pun pulang ke tempat tinggalnya dalam keadaan taubat yang penuh keinsafan.
Kuasa hidayah melalui Al-Quran
Demikian kisah Fudhail bin ‘Iyadh, seorang tokoh alim dan soleh yang dahulunya merupakan seorang perompak dan lanun.
Namun, apabila ayat Al-Quran itu didengari dengan penuh kesedaran, ia menusuk ke dalam hatinya sehingga mengubah seluruh arah hidupnya – daripada kegelapan kezaliman kepada cahaya keimanan dan kebaikan.
Begitulah fungsi tadabbur Al-Quran, yang mampu menggerakkan akal dan minda, serta menyentuh hati seorang insan apabila ia dibaca dengan penuh penghayatan, lalu mendorong kepada perubahan dan tindakan susulan yang membawa kebaikan kepada dirinya.
Tadabbur atau penghayatan yang mendalam dapat dilakukan dengan membaca ayat Al-Quran secara tertib dan tenang.
Seterusnya, ayat tersebut dihayati sebagai cerminan untuk diri sendiri.
Generasi awal dalam kalangan para sahabat telah menunjukkan contoh terbaik dalam menghayati setiap ayat yang dibaca.
Menurut periwayatan Imam Ahmad, para sahabat Nabi saw akan mengulang bacaan bersama Baginda sebanyak 10 ayat, dan mereka tidak menambah sehingga mereka memahami ilmu di sebaliknya serta beramal dengannya terlebih dahulu.
Setelah difahami dan diamalkan, barulah mereka beralih kepada 10 ayat yang seterusnya.
Ibn Mas‘ud ra pernah diriwayatkan berkata:
“Janganlah kamu membaca Al-Quran (dengan cepat), sebagaimana kurma kering berguguran, dan jangan pula kamu membacanya seperti membaca syair! Berhentilah di setiap keajaibannya dan gerakkan hati kamu dengannya, serta janganlah perhatian kamu hanya tertumpu kepada akhir surah sahaja.”
‘Tadabbur’ buka ruang kebijaksanaan
Allah swt berfirman dalam Surah Sad, ayat 29:
“Kitab yang diturunkan kepada kamu (adalah) Kitab yang membawa berkat, agar mereka memberi perhatian dan meneliti ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal mengambil peringatan dan iktibar daripadanya.”
Al-Quran ialah kitab panduan yang memelihara manusia daripada kesesatan, kerugian, kekecewaan, kebinasaan dan segala perkara yang membahayakan dirinya.
Ia membimbing manusia agar terus kekal sebagai hamba Allah swt yang mendapat rahmat dan keredaan-Nya di dunia hingga ke akhirat.
Hakikat manusia yang lemah menjadikan kita sangat memerlukan bimbingan dan peringatan yang berterusan, dan di sinilah Al-Quran menjadi panduan terbaik yang kekal relevan sepanjang zaman.
Nabi Muhammad saw sebagai Rasul telah mengingatkan umatnya tentang kepentingan berpegang teguh dengan Al-Quran.
Baginda saw bersabda dalam sebuah hadis yang masyhur:
“Aku tinggalkan untuk kamu dua perkara, jika kamu berpegang teguhnya dengan keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, (iaitu) Kitab Allah dan sunahku.” (HR Imam Al-Hakim).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah meningkatkan darjat sesuatu kaum dengan Al-Quran dan Dia merendahkan mereka dengannya juga.” (HR Muslim).
Selain panduan mengukuhkan keimanan kepada Allah swt, Al-Quran juga memberi ruang untuk manusia melakukan proses berfikir yang mendalam.
Menerusi proses berfikir, banyak kemajuan berlaku sehingga manusia mendapat banyak manfaat dalam kehidupan mereka.
Firman Allah swt dalam Surah Fussilat, ayat 53:
“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda kekuasaan Kami di merata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Adakah belum jelas kepada mereka kebenaran itu dan belum cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”
Ayat ini bertepatan dengan ayat 109 daripada Surah Al-Kahf, yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambah lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan’.”
Jika itulah hakikat keluasan ilmu Allah swt, maka manusia yang menginginkan kebaikan dan kejayaan yang berpanjangan hendaklah segera berusaha mencapainya melalui panduan Al-Quran serta hikmah yang terkandung di dalamnya.
Bina rutin harian dengan Al-Quran
Luangkan masa setiap hari walau hanya seketika untuk membaca dan menghayati ayat yang dibaca, lalu jadikan ia amalan berterusan.
Apabila ia menjadi rutin, amalan tersebut akan terasa lebih mudah untuk dilakukan.
Bahkan, jiwa akan berasa kosong dan serba kekurangan apabila tidak dapat melakukannya.
Seterusnya, kongsikan kebaikan yang diperoleh daripada penghayatan tersebut bersama anggota keluarga, sahabat handai dan masyarakat sekeliling.
Sesungguhnya, besar ganjaran bagi mereka yang menyampaikan kebaikan kepada orang lain.
Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud:
“Orang yang menunjuk jalan kebaikan kepada orang lain, mendapat pahala yang sama seperti orang yang melakukannya.” (HR Muslim).
Sebenarnya, banyak kelebihan yang disediakan oleh Allah swt melalui Al-Quran.
Membacanya sahaja sudah meraih pahala 10 kali ganda bagi setiap huruf yang dibaca.
Malah, orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya kepada orang lain merupakan antara sebaik-baik insan.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Al-Bukhari).
Dalam hadis lain, Rasulullah saw juga bersabda:
“Sesungguhnya di sisi Allah swt terdapat para wali dan kekasih-Nya.”
Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka?”
Baginda saw menjawab: “Mereka adalah ahli Al-Quran – mereka itulah golongan wali dan kekasih Allah yang sentiasa mendapat perhatian Allah dan kasih sayang-Nya.” (HR Ibn Majah).
Al-Quran menawarkan panduan yang sentiasa relevan dan kekal sepanjang zaman bagi setiap generasi dan pada setiap peringkat usia.
Justeru, kita diingatkan tadabbur bukan sekadar satu kegiatan untuk diraikan, malah satu amalan yang perlu diteruskan.
Ayat yang dibaca hari ini mungkin membawa makna yang berbeza pada masa akan datang, namun selagi seseorang terus kembali kepada Al-Quran dengan hati terbuka, beliau akan sentiasa menemui petunjuk, peringatan dan hikmah baharu.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
“
“Al-Quran menawarkan panduan yang sentiasa relevan dan kekal sepanjang zaman bagi setiap generasi dan pada setiap peringkat usia. Justeru, kita diingatkan ‘tadabbur’ bukan sekadar satu kegiatan untuk diraikan, malah satu amalan yang perlu diteruskan. Ayat yang dibaca hari ini mungkin membawa makna yang berbeza pada masa akan datang, namun selagi seseorang terus kembali kepada Al-Quran dengan hati terbuka, beliau akan sentiasa menemui petunjuk, peringatan dan hikmah baharu.”