Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahaya syirik era digital

Penting pelihara akidah, ketahui bahaya syirik moden dalam talian
Aug 29, 2025 | 5:30 AM
syirik, khurafat
Amalan syirik dan khurafat kini bukan lagi terbatas pada tradisi, sebaliknya muncul dalam bentuk moden yang mudah diakses di hujung jari. - Foto ISTOCKPHOTO

Asas pegangan seorang Muslim adalah beriman kepada keesaan Allah swt dan menjauhi segala bentuk syirik dalam amalan dan kepercayaan.

Kita percaya bahawa Allah swt sahaja yang berhak disembah dan segala ciri ketuhanan adalah milik-Nya.

Maka perbuatan menyembah selain Allah swt adalah dosa paling besar dalam Islam.

Akidah adalah benteng utama yang menjauhkan seorang Muslim daripada kekufuran dan kesesatan.

Oleh itu, akidah mesti dijaga dengan sebaiknya kerana ia merupakan tunjang kepada keseluruhan kehidupan beragama.

Namun, ancaman terhadap akidah semakin hebat dalam dunia masa kini.

Amalan yang membawa kepada perbuatan syirik dan khurafat tidak lagi terhad kepada amalan tradisional atau terbatas kepada tempat-tempat terpencil.

Sebaliknya, ia hadir dalam bentuk yang lebih canggih dan lebih dekat dengan kita, malah berada di hujung jari.

Rasulullah saw pernah memberi amaran tentang bahaya syirik dengan bersabda:

“Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan ke atas kamu ialah syirik kecil.”

Para sahabat bertanya: “Apakah syirik kecil itu wahai Rasulullah?”

Baginda bersabda: “Riak (menunjuk-nunjuk).” (HR Ahmad).

Jika syirik kecil pun menjadi satu ancaman besar dalam kehidupan seorang Muslim, apatah lagi syirik besar yang secara jelas menduakan Allah swt dengan sesuatu makhluk atau kuasa lain.

Ramai orang beranggapan bahawa dengan adanya teknologi dan ramai yang berpendidikan tinggi, masyarakat kini sudah bebas daripada amalan syirik.

Namun hakikatnya, syirik tidak pernah hilang. Ia hanya berubah wajah, menyesuaikan diri dengan perkembangan zaman.

Amalan berunsur syirik dalam zaman moden

Dengan perkembangan zaman, kita masih dapat melihat wujudnya amalan syirik dalam pelbagai bentuk.

Masih ada orang yang mendapatkan khidmat bomoh dan dukun untuk menyelesaikan masalah kehidupan mereka, sama ada berkaitan dengan hal rumah tangga mahupun urusan kerjaya.

Amalan menggunakan minyak pengasih, melakukan sihir untuk menjatuhkan seseorang yang dibenci dan pelbagai amalan seumpamanya masih wujud – sehingga ada yang menganggapnya sebagai jalan keluar yang cepat tanpa memikirkan kemudaratannya terhadap diri sendiri dan orang lain.

Kepercayaan kepada pengamal sihir masih kekal subur, hanya kaedah dan saranannya sahaja yang berubah.

Lebih membimbangkan, perkhidmatan sebegini sudah wujud dalam talian tanpa perlu lagi pergi ke kampung terpencil untuk mendapatkannya seperti zaman dahulu.

Begitu juga, selain amalan sihir dan bentuk ‘perubatan’ yang menyeleweng, amalan berunsur syirik kini turut berkembang dan mudah tersebar.

Hanya dengan menonton video di TikTok atau YouTube, seseorang boleh menemui ribuan kandungan yang mengajar cara membuat tangkal, mandi pelik untuk ‘membersihkan aura’, atau amalan bagi memanggil jin dan makhluk ghaib.

Apatah lagi kandungan sebegitu sering dipersembahkan dengan gaya santai, jenaka, atau bersahaja, sehingga ramai penonton memandang ringan terhadapnya dan tidak menyedari bahayanya terhadap akidah.

Amalan seperti horoskop yang kononnya menentukan nasib seseorang juga kini semakin popular, malah diubah menjadi permainan interaktif atau video hiburan semata-mata untuk menarik perhatian pengguna media sosial dan meraih tontonan.

Rasulullah saw memberi amaran keras terhadap perbuatan syirik yang berunsurkan bintang dalam sabdanya:

“Sesiapa yang mempelajari ilmu daripada bintang-bintang (astrologi), maka beliau telah mempelajari satu cabang daripada sihir. Semakin banyak beliau mempelajarinya, semakin bertambahlah bahagiannya daripada sihir itu.” (HR Abu Daud).

Mengambil ringan permainan seperti itu amat berbahaya kerana ia berpotensi menghapuskan pahala yang diraih daripada amalan harian.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Ma’idah, ayat 72:

“Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atasnya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka.”

Bahaya percaya tukang ramal

Selain itu, satu lagi bentuk amalan syirik yang kini semakin mendapat perhatian ialah kepercayaan kepada ramalan.

Pada masa kini, para pengamal ramalan menggunakan wadah media sosial seperti TikTok untuk menayangkan bacaan kad atau card reading mereka.

Ada pula yang menawarkan khidmat membaca nasib secara langsung melalui sesi siaran langsung.

Mereka membuat bacaan itu secara dalam talian, dan penonton hanya perlu membayar sedikit upah melalui wadah tersebut.

Walaupun ada yang menganggapnya sekadar hiburan, melayani ramalan seperti ini adalah haram dalam Islam.

Rasulullah saw menegaskan larangan keras terhadap amalan sebegini dalam sabdanya:

“Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam.” (HR Muslim).

Para ulama menjelaskan bahawa sekadar bertanya kepada tukang ramal tanpa mempercayai kata-katanya sudah termasuk dalam ancaman hadis tersebut.

Ini kerana perbuatan itu seolah-olah meremehkan urusan syirik dan pada masa yang sama memberikan penghormatan dan kuasa kepada tukang ramal.

Bayangkan, hanya dengan bertanya ‘sekadar suka-suka’, seseorang sudah terhalang daripada mendapat pahala solat selama 40 hari, meskipun kewajipan solat tetap kekal.

Apatah lagi jika seseorang mempercayai bacaan tersebut atau bertanya dengan niat untuk mengetahui nasibnya.

Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal, lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka sesungguhnya beliau telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.” (HR Ahmad).

Perbuatan tersebut menafikan hak Allah swt sebagai Tuhan yang satu-satunya mengetahui perkara ghaib.

Firman-Nya dalam Surah An-Naml, ayat 65:

“Katakanlah: Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.”

Jangan remehkan ancaman syirik

Oleh itu, membentengi akidah daripada segala bentuk amalan dan kandungan berunsur syirik adalah satu kewajipan.

Peristiwa yang diriwayatkan dalam hadis tentang pokok Zat Anwar menjadi pengajaran besar buat kita.

Selepas Perang Hunain, sahabat yang baru memeluk Islam melihat kaum musyrikin menggantung senjata mereka pada pokok tertentu untuk mendapatkan keberkatan.

Lalu, mereka meminta kepada Baginda saw untuk membuatkan mereka satu pokok seperti itu.

Rasulullah saw menjawab dengan tegas:

“Allahuakbar! Sesungguhnya kamu telah mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh kaum Musa: ‘Jadikanlah untuk kami tuhan sebagaimana mereka mempunyai tuhan.’ Demi Allah, kamu ini adalah kaum yang jahil!” (HR Tirmizi).

Ini adalah peringatan bahawa kita tidak boleh meremehkan apa jua yang berkaitan dengan akidah.

Justeru, seseorang pembuat kandungan dalam media sosial tidak boleh mempromosikan amalan syirik, walaupun dengan alasan mendidik atau memberi kesedaran.

Rasulullah saw tidak pernah memberi ruang kepada golongan musyrik untuk menyebarkan kepercayaan mereka walaupun atas nama pendidikan.

Di samping peranan individu, ibu bapa turut memikul amanah besar dalam mendidik dan memantau akidah anak-anak.

Pendidikan mengenai tauhid dan bahaya syirik tidak wajar diserahkan sepenuhnya kepada institusi agama atau sekolah sahaja, sebaliknya ia perlu dipupuk sejak awal di rumah.

Akidah adalah harta paling berharga yang dimiliki oleh seorang Muslim maka usahlah kita merosakkannya hanya dengan hiburan yang tidak membawa manfaat.

Artikel ini disumbang Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

“... Ancaman terhadap akidah semakin hebat dalam dunia masa kini. Amalan yang membawa kepada perbuatan syirik dan khurafat tidak lagi terhad kepada amalan tradisional atau terbatas kepada tempat-tempat terpencil.  Sebaliknya, ia hadir dalam bentuk yang lebih canggih dan lebih dekat dengan kita, malah berada di hujung jari.”
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg