Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Berlaku ihsan kepada haiwan, usah dizalimi walau sekecil semut

Akhlak mulia akan diberi ganjaran keredaan Allah, tempat di syurga
Jun 13, 2025 | 5:30 AM
Sebagai umat Islam, berita seperti menyeksa haiwan sepatutnya mendorong kita agar dapat lebih mendidik diri sendiri dan anak kita, khususnya tentang kepentingan kasih sayang serta belas kasihan, terutama terhadap makhluk lain yang merupakan ciptaan Allah.
Sebagai umat Islam, berita seperti menyeksa haiwan sepatutnya mendorong kita agar dapat lebih mendidik diri sendiri dan anak kita, khususnya tentang kepentingan kasih sayang serta belas kasihan, terutama terhadap makhluk lain yang merupakan ciptaan Allah. - Foto PIXABAY

Tersebarnya berita sejak beberapa bulan lalu mengenai kucing yang sering berkeliaran di bawah blok perumahan, ditemui mati atau dianiaya dengan kejam.

Terdapat juga rakaman video yang berjaya dirakam menunjukkan beberapa individu, yang menyeksa kucing dan haiwan lain.

Perbuatan seperti itu sememangnya keji dan tidak berperikemanusiaan, namun masih ada segelintir yang melakukannya.

Sebagai umat Islam, berita seperti itu sepatutnya mendorong kita untuk lebih mendidik diri sendiri dan anak-anak, khususnya tentang kepentingan kasih sayang serta belas kasihan, terutama terhadap makhluk lain yang merupakan ciptaan Allah swt.

Belas kasihan asas ajaran agama

Salah satu sifat paling mulia yang terpancar pada diri Rasulullah saw ialah sifat rahmah.

Al-Quran dan hadis banyak menekankan betapa besar dan luasnya sifat itu dalam kehidupan Baginda.

Rasulullah saw bukan sahaja dikenal sebagai seorang yang berakhlak mulia, malah Baginda mengajar umatnya agar menjadikan sifat belas kasihan sebagai prinsip kehidupan seorang Muslim.

Sabda Baginda:

“Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi” (HR Bukhari), dan juga: “Rahmat tidak akan dicabut kecuali daripada hati orang yang celaka” (HR Tirmizi).

Ia bukan sekadar akhlak mulia, malah sebab seseorang mendapatkan keredaan Allah swt, dan tempat di syurga.

Kelembutan turut memupuk sikap kerjasama dan kasih sayang dalam masyarakat.

Ia menjauhkan kita daripada keganasan, dendam, dan konflik yang boleh membawa kepada perbuatan jenayah.

Orang yang bersikap lembut disayangi masyarakat dan dihormati.

Di akhirat pula, beliau akan mendapat rahmat dan ganjaran Allah swt, kerana balasan setimpal dengan perbuatan seseorang itu.

Di antara contoh sikap belas kasihan Baginda, adalah ketika Rasulullah saw berada di dalam satu perjalanan.

Baginda pergi sebentar untuk keperluan peribadinya, lalu beberapa individu terlihat seekor burung bersama dua anaknya.

Mereka mengambil kedua-dua anak burung itu, lalu si ibu datang dalam keadaan gelisah, mengepak-ngepak sayapnya.

Baginda pun kembali dan bersabda:

“Siapakah yang membuat ibu ini terkejut dan kehilangan anaknya? Pulangkan anaknya kepadanya!”

Kemudian Baginda terlihat satu perkampungan semut yang telah kami bakar, lalu Baginda bertanya:

“Siapa yang membakar tempat tinggal ini?” Mereka menjawab: ‘Kami’.”

Baginda kemudian bersabda: “Sesungguhnya tidak wajar seseorang menyiksa dengan api kecuali Tuhan pemilik api.” (HR Abu Dawud).

Syariat tuntut ihsan terhadap haiwan

Seperti yang disebutkan belas kasihan yang ditonjolkan oleh Nabi saw, ia tidak terbatas kepada manusia semata-mata, bahkan merangkumi haiwan ciptaan Allah swt untuk berkhidmat dan memberi manfaat kepada manusia.

Malah, kasih sayang Baginda turut mencakupi haiwan yang tiada manfaat langsung kepada manusia dalam kehidupan harian kerana semua makhluk, tidak kira besar atau kecil, adalah ciptaan Allah swt yang turut merasai kesakitan dan keperluan.

Usahlah kita zalimi makhluk ciptaan Allah swt walaupun sekecil semut.

Apatah lagi jika makhluk itu sebesar kucing.

Islam menekankan ihsan terhadap haiwan dan melarang sebarang bentuk penganiayaan terhadapnya.

Antara bentuk penganiayaan yang dilarang ialah menahan makanan dan minuman daripada haiwan, membiarkannya kelaparan serta mengabaikan penjagaannya.

Dalam sepotong hadis, Rasulullah saw bersabda bahawa seorang wanita diazab kerana menahan seekor kucing tanpa diberi makan dan tidak pula dilepaskan untuk mencari makan sendiri.

Begitu juga sebaliknya, Baginda pernah menceritakan kisah seorang lelaki yang turun ke perigi untuk memberi air kepada seekor anjing yang kehausan, lalu Allah swt berterima kasih kepadanya dengan mengampunkan dosanya.

Apabila para sahabat bertanya tentang ganjaran memberi minum kepada haiwan, Baginda bersabda:

“Pada setiap yang bernyawa ada pahala.” (HR Bukhari).

Lihatlah bagaimana agama kita menuntut kita untuk berlaku ihsan, walaupun terhadap seekor anjing, haiwan yang kebanyakan Muslim menjauhinya kerana sifatnya yang najis.

Ini menunjukkan bahawa sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan sangat dikecam dalam Islam.

Larangan ini lebih jelas apabila Islam mengharamkan perbuatan menjadikan haiwan sebagai bahan hiburan seperti memelihara mereka untuk bertarung hingga mati.

Abdullah bin Umar ra pernah melihat sekumpulan pemuda Quraisy menjadikan seekor burung sebagai sasaran panahan, lalu beliau menegur perbuatan tersebut dan menyampaikan bahawa Rasulullah saw telah melaknat sesiapa yang menjadikan makhluk bernyawa sebagai sasaran.

Berlaku ihsan walau ketika sembelih

Tuntutan untuk berlaku ihsan kepada haiwan tidak terhenti setakat itu sahaja.

Agama Islam turut mengajar agar kita tentang berbelas kasihan terhadap haiwan, termasuk ketika kita menyembelih mereka untuk makanan.

Rasulullah saw pernah melihat seekor unta yang terlalu kurus sehingga belakangnya melekat ke perutnya, lalu Baginda bersabda:

“Bertakwalah kepada Allah dalam urusan haiwan-haiwan ini, tunggangilah ia dengan baik dan sembelihlah ia dengan baik.” (HR Abu Dawud).

Dalam Islam, kita dituntut untuk menyembelih haiwan dengan secepat dan selamat mungkin,
serta mengurangkan kesakitan.

Malangnya, ada pihak yang menentang ibadah korban dengan mendakwa bahawa Islam menggalak kekejaman terhadap haiwan.

Namun hakikatnya, Islam mengajar sebaliknya bahawa kita diperintahkan untuk menyembelih dengan penuh rahmah dan ihsan.

Oleh itu, ajaran Islam bukan sekadar menyuruh kita untuk menyayangi sesama manusia, malah memupuk tanggungjawab untuk menjaga dan menghormati seluruh ciptaan Allah swt sebagai amanah yang tidak boleh disia-siakan.

Antara tanda jelas betapa rahmat Islam dan Nabi Muhammad saw terhadap haiwan telah mendahului seruan moden mengenai hak haiwan ialah bagaimana Islam mengajar umatnya untuk berbuat ihsan kepada semua makhluk, termasuk haiwan yang tidak mampu berkata-kata.

Semua nilai yang kini diperjuangkan oleh masyarakat moden seperti larangan menyeksa haiwan, dan sebagainya telah diajarkan oleh Islam lebih 1,400 tahun lalu.

Namun, Islam membezakan dirinya dengan menjadikan semua itu sebagai ibadah dan jalan mendekatkan diri kepada Allah swt, bukan tuntutan sosial semata-mata.

▶Artikel ini sumbangan Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg