TAFSIR SURAH ALI IMRAN
Dalam Surah Al-Imran ayat 101-108, umat Islam ditegaskan supaya berpegang teguh kepada tali Allah (iaitu agama-Nya), bersatu padu dan tidak berpecah belah sebagaimana keadaan mereka sebelum datangnya agama Islam.
Allah swt mengingatkan mereka betapa besarnya nikmat yang telah diberikan-Nya, apabila umat
Islam yang dahulunya bermusuhan telah disatukan hati mereka melalui usaha Baginda, lalu
menjadi bersaudara dalam ikatan ukhuwah berpaksi keimanan.
Dalam ayat-ayat itu juga, Allah swt menyeru agar wujud dalam kalangan umat Islam satu golongan
yang sentiasa menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
kemungkaran – itulah sebenarnya sifat golongan yang berjaya.
Akhirnya, Allah swt memberi amaran kepada kita bahawa orang Islam tidak seharusnya mengikuti jejak langkah golongan sebelum mereka yang berpecah belah dan berselisih selepas datangnya keterangan yang nyata.
Antara perintah yang disebutkan ialah perintah Allah swt agar manusia bertakwa kepada-Nya dengan sebenar-benar takwa.
Allah swt berfirman dalam ayat 102:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.”
Ini merupakan perintah daripada Allah swt kepada hamba-hamba-Nya yang beriman agar mereka
bertakwa kepada-Nya dengan sebenar-benar takwa, serta terus beristiqamah dan berpegang teguh padanya sehingga akhir hayat.
Bertakwa kepada Allah swt merupakan wasiat Allah swt kepada umat terdahulu.
Allah berfirman: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah.” (Surah An-Nisa’: 131)
Atas sebab itu, kita sering mendengar ayat ini diulang dalam khutbah Jumaat pada setiap minggu, menunjukkan kedudukannya yang agung sebagai perintah Allah swt yang utama dan menyeluruh.
Sesiapa yang membiasakan dirinya dengan takwa dalam waktu sihat, lapang dan berkemampuan, maka Allah swt akan meneguhkannya ketika sakaratul maut dan menganugerahkannya husnul khatimah (kesudahan yang baik).
Ibn Mas‘ud menjelaskan bahawa maksud sebenar “bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa” ialah dengan mentaatinya tanpa menderhakai-Nya, mengingati-Nya tanpa melupakan-Nya, dan bersyukur kepada-Nya tanpa mengkufuri nikmat-Nya.
Namun, dalam rahmat-Nya yang luas, Allah swt turut menetapkan ukuran yang sesuai dengan kemampuan manusia melalui firman-Nya:
“Bertakwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.” (Surah At-Taghabun:16).
Ini menunjukkan bahawa ketakwaan adalah suatu tanggungjawab yang disesuaikan mengikut keupayaan individu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg