Topik diikuti
Pergi ke BHkuBina masa depan melalui istiqamah
Masa depan anak muda bukan hanya ditentukan oleh keputusan besar, namun dibentuk melalui pilihan dan amalan kecil secara konsisten
Apabila berbicara tentang masa depan anak muda, kita sering membayangkan perkara-perkara besar seperti keputusan peperiksaan, pilihan universiti, kerjaya atau pelbagai pencapaian yang ingin dikejar.
Seolah-olah kehidupan ditentukan oleh beberapa keputusan penting yang berlaku sekali-sekala.
Namun hakikatnya, kehidupan jarang berubah hanya kerana satu keputusan besar.
Sebaliknya, ia dibentuk oleh pilihan kecil yang diulang setiap hari – cara seseorang mengurus masanya, mengawal kata-kata ketika marah, menjaga solat di tengah kesibukan, serta memilih apa yang dilihat, didengar dan disimpan di dalam hati.
Perkara yang kelihatan kecil inilah, sedikit demi sedikit, membentuk siapa diri kita pada masa hadapan.
Dalam dunia hari ini, anak muda membesar dalam suasana yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu.
Pilihan sentiasa berada di hujung jari, perbandingan berlaku setiap hari, manakala tekanan untuk berjaya hadir sejak usia muda lagi.
Tanpa disedari, seseorang boleh menjadi terlalu sibuk membina masa depan dari sudut akademik, kerjaya atau kewangan sehingga terlupa membina dirinya sendiri.
Sedangkan Islam mengajar pembentukan insan bermula daripada amalan yang dilakukan secara konsisten.
Rasulullah saw bersabda amalan yang paling dicintai Allah swt ialah amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengingatkan kita perubahan yang sebenar bukan lahir daripada semangat yang membara seketika, tetapi daripada langkah-langkah kecil yang terus dipelihara.
Kisah ‘Ashabul Kahfi’
Al-Quran turut memberikan contoh indah tentang makna menjadi seorang pemuda melalui kisah ‘Ashabul Kahfi’.
Allah swt menceritakan sekumpulan pemuda yang hidup dalam masyarakat yang jauh daripada petunjuk, namun mereka memilih untuk mempertahankan iman walaupun berdepan tekanan dan risiko yang besar.
Demi mempertahankan akidah, mereka meninggalkan kampung halaman lalu berlindung di dalam sebuah gua, sebelum Allah swt memelihara mereka dengan menidurkan mereka selama bertahun-tahun sebagai tanda kekuasaan-Nya.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Kahfi, ayat 13:
“Sesungguhnya mereka itu ialah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.”
Menariknya, ayat ini tidak dimulakan dengan menyebut kekuatan, kedudukan atau pencapaian mereka.
Sebaliknya, perkara pertama yang Allah swt tonjolkan ialah keimanan mereka.
Demikian identiti yang paling utama.
Mereka bukanlah golongan yang sempurna atau bebas daripada cabaran.
Namun mereka membuat pilihan jelas untuk tetap berpegang teguh kepada Allah swt meskipun keadaan sekeliling tidak memihak kepada mereka.
Pada pandangan manusia, pilihan itu mungkin kelihatan kecil – tidak mengikut arus, tetap berpegang pada kebenaran dan menjaga kesucian hati.
Namun daripada pilihan yang kelihatan kecil itulah, Allah swt menambahkan petunjuk kepada mereka dan mengangkat kisah mereka sehingga diabadikan dalam Al-Quran sebagai teladan buat seluruh umat hingga ke akhir zaman.
Kisah ‘Ashabul Kahfi’ memberikan peringatan yang amat bermakna kepada anak muda hari ini.
Cabaran yang kita hadapi mungkin berbeza.
Kita mungkin tidak diminta meninggalkan kampung halaman atau berlindung di dalam sebuah gua.
Namun, kita tetap berdepan dengan tekanan untuk mengikut arus, mengejar apa yang dianggap sebagai ukuran kejayaan, atau menyesuaikan diri sehingga akhirnya kehilangan jati diri.
Dalam keadaan seperti ini, keberanian yang sebenar tidak semestinya terserlah melalui tindakan yang luar biasa.
Kadangkala, keberanian itu hadir apabila seseorang tetap mempertahankan prinsip walaupun tiada siapa yang melihat.
Ia mungkin berupa kesungguhan menjaga solat di tengah jadual yang padat, memilih untuk berkata benar walaupun lebih mudah mengikut orang lain, atau memelihara hati daripada perkara yang melalaikan.
Semua ini kelihatan kecil pada pandangan manusia, namun seperti yang ditunjukkan oleh kisah ‘Ashabul Kahfi’, perubahan besar sering bermula daripada keputusan untuk tetap teguh bersama Allah swt.
Di sini juga terletaknya satu hakikat yang sering disalah faham tentang perubahan.
Ramai yang menunggu sehingga diri menjadi lebih kuat, hidup lebih tenang atau keadaan lebih sempurna sebelum mahu berubah.
Hakikatnya, perjalanan menuju Allah swt jarang bermula dalam keadaan yang sempurna.
‘Ashabul Kahfi’ tidak menunggu keadaan berubah sebelum mempertahankan iman mereka.
Sebaliknya, mereka membuat pilihan terlebih dahulu, lalu Allah swt membuka jalan dan menambahkan petunjuk kepada mereka.
Kadangkala, langkah pertama tidak perlu besar, yang lebih penting ialah keberanian untuk memulakannya.
Kejayaan sebenar dalam Islam
Sejarah Islam turut memperlihatkan bagaimana tokoh-tokoh agung bermula dengan pilihan yang dibuat ketika usia muda.
Sayidina Ali ibn Abi Talib ra menerima kebenaran ketika masih muda.
Abdullah ibn Abbas ra pula memilih untuk sentiasa mendampingi Rasulullah saw dan menuntut ilmu sehingga akhirnya muncul sebagai antara ulama terbesar.
Mus’ab ibn ‘Umair ra sanggup meninggalkan kemewahan demi mempertahankan keimanan yang diyakininya.
Mereka tidak menjadi luar biasa dalam sekelip mata, namun dibentuk melalui pilihan yang konsisten, sehingga akhirnya mencorakkan seluruh perjalanan hidup mereka.
Justeru, masa depan dibentuk setiap hari melalui kebiasaan yang kita pilih untuk terus lakukan.
Mungkin ia bermula dengan menjaga solat pada waktunya, mengurangkan perkara yang melalaikan, membiasakan diri membaca beberapa ayat Al-Quran setiap hari, atau belajar meminta maaf dan memaafkan.
Langkah ini mungkin kelihatan kecil, tetapi perubahan yang berkekalan lazimnya berlaku sedikit demi sedikit, bukan secara mendadak.
Atas sebab itu, kita juga perlu menilai semula cara kita memahami makna kejayaan.
Dalam dunia hari ini, anak muda sering diukur melalui keputusan peperiksaan, pencapaian akademik, kedudukan kerjaya atau sejauh mana mereka mendahului orang lain.
Semua ini mempunyai nilainya.
Namun Islam mengingatkan kejayaan sebenar turut dibina melalui perkara yang tidak selalu kelihatan – hati yang sentiasa terikat dengan Allah swt, akhlak yang terus diperbaiki dan amal soleh yang dilakukan dengan istiqamah walaupun tidak dipandang atau dipuji manusia.
Sesungguhnya, perubahan yang besar sering bermula apabila seseorang memilih untuk tidak lagi menangguhkan kebaikan.
Kesimpulan
Kadangkala anak muda berasakan mereka perlu mempunyai semua jawapan tentang kehidupan.
Hakikatnya, tidak mengapa jika arah itu masih belum jelas.
Yang penting, jangan berhenti membina diri sepanjang proses mencarinya.
Masa depan bukan sekadar tentang di mana kita akan berada beberapa tahun akan datang, malah tentang siapa yang sedang kita bentuk pada hari ini.
Satu lagi hakikat yang sering terlepas pandang ketika usia muda ialah perasaan bahawa masa masih panjang.
Kita menyangka masih ada banyak peluang untuk berubah, banyak kesempatan untuk kembali kepada Allah swt dan banyak hari berbaki untuk menjadi insan lebih baik.
Namun masa muda ialah satu amanah yang tidak kekal.
Justeru, soalan yang lebih penting bukanlah, ‘Apakah yang ingin saya capai pada masa hadapan?’, sebaliknya, ‘Apakah pilihan dan amalan yang sedang membentuk diri saya pada hari ini?’
Akhirnya, kehidupan tidak dibentuk oleh satu detik besar yang mengubah segala-galanya.
Sebaliknya, ia dibina melalui langkah kecil yang dipilih secara berterusan sehingga akhirnya membawa seseorang semakin hampir kepada Allah swt.
Sempena sambutan Hari Belia di Singapura, marilah kita mengingatkan diri bahawa usia muda bukan sekadar fasa untuk mengejar impian, malah waktu terbaik untuk membina iman, akhlak dan jati diri.
Barangkali, satu keputusan yang kelihatan kecil hari ini mampu menjadi titik permulaan kepada kehidupan yang jauh lebih bermakna di sisi Allah swt.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
