Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Persiap belia generasi pelapis hadapi cabaran dunia

Pendidikan agama dan pembentukan akhlak perlu jadi tumpuan utama
Jul 11, 2025 | 5:30 AM
generasi muda Islam
Sejarah membuktikan kebangkitan mana-mana umat sering kali bermula daripada semangat dan kekuatan generasi mudanya. - Foto ISTOCKPHOTO

Dalam setiap masyarakat, golongan belia memainkan peranan penting dalam membina masa depan cemerlang.

Dalam konteks masyarakat Islam khususnya, golongan itu merupakan aset yang bakal mewarisi kepimpinan dan risalah dakwah yang ditinggalkan oleh generasi terdahulu.

Sejarah membuktikan bahawa kebangkitan mana-mana umat sering kali bermula daripada semangat dan kekuatan generasi mudanya.

Seorang belia yang teguh dalam agamanya mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah swt.

Maka, jika kita mengimpikan masa depan yang gemilang bagi masyarakat Islam, kita perlu memberikan tumpuan serius terhadap pembentukan dan pembangunan identiti kalangan belia hari ini.

Kepentingan pendidikan agama

Belia merupakan gambaran masa depan sesebuah negara dan masyarakat.

Tanpa belia yang sedar tentang tanggungjawabnya sebagai khalifah di muka bumi, masyarakat akan menjadi lemah dan mudah terpengaruh dengan arus pemikiran merosakkan.

Hari ini, kita melihat pelbagai usaha sedang dijalankan untuk membangunkan potensi belia dan melibatkan mereka dalam khidmat masyarakat dan pelbagai sektor ekonomi.

Namun bagi masyarakat Islam, tumpuan utama harus diberikan kepada pendidikan agama dan pembentukan akhlak.

Apalah ertinya jika kita berjaya melahirkan golongan belia yang cemerlang dalam akademik dan berdaya saing dalam bidang ekonomi, tetapi tidak memiliki adab dan akhlak.

Apatah lagi jika tidak menjunjung sebarang nilai moral, sehingga sanggup memandang sepi terhadap segala bentuk kezaliman dan kemungkaran di sekeliling mereka?

Kisah Ashabul Kahfi dalam Al-Quran memperlihatkan bagaimana sekumpulan pemuda yang hidup dalam persekitaran penuh kekufuran dan penindasan memilih untuk mempertahankan iman mereka walaupun terpaksa bersembunyi di dalam gua.

Allah swt memuji mereka dengan firman-Nya:

“Sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Surah Al-Kahfi: 13)

Bagaimanakah sekumpulan pemuda itu mampu berdiri teguh mempertahankan keimanan mereka di tengah-tengah penindasan dan tekanan masyarakat?

Ia hasil daripada pendidikan agama yang mencukupi, yang membentuk hati mereka untuk menjadi mukmin sejati.

Hal yang sama turut dapat dilihat dalam sirah Rasulullah saw.

Kita dapati beberapa tokoh muda yang berinspirasi seperti, ‘Ali ibn Abi Talib, Usamah bin Zayd, dan ‘Abdullah ibn ‘Umar ra, kesemuanya masih dalam usia belasan tahun ketika diberi amanah besar seperti memimpin ketenteraan dan berkhidmat untuk agama dengan keberanian luar biasa.

Semua itu adalah hasil keimanan yang meresap ke dalam jiwa dan minda melalui pendidikan agama sejak awal.

Maka, pendidikan agama harus menjadi asas dalam pembentukan jati diri mereka.

Belia berpegang teguh pada prinsip

Belia hari ini berdepan dengan pelbagai bentuk cabaran luar biasa.

Mereka perlu menghadapi gelombang pemikiran yang boleh merosak serta kekeliruan identiti.

Ia ditambah pula dengan ketidaktentuan dunia luar dari segi ekonomi dan kelangsungan hidup.

Dalam keadaan itu, belia harus dibentuk bukan sahaja untuk menjadi insan beriman, malah berwawasan.

Kita memerlukan generasi belia yang mempunyai visi jelas tentang masa depan, berani menegakkan prinsip, bijak menangani realiti dunia moden serta berusaha mencari huraian terhadap permasalahan masyarakat.

Ibn Abbas ra pernah berkata:

“Allah tidak pernah mengutus seorang nabi melainkan dia masih dalam kalangan pemuda, dan tidak pula seseorang alim itu diberikan ilmu kecuali ketika usia mudanya.”

Kata-kata itu memberikan gambaran amat jelas usia muda adalah fasa sangat kritikal dan penuh potensi untuk dibentuk menjadi pemimpin masa hadapan.

Salah satu contoh terbaik dalam Al-Quran yang memperlihat betapa penting pendidikan agama dalam membentuk seorang pemuda dan bagaimana ia dapat menjadikan seseorang itu mampu menentang kerosakan moral dalam masyarakat ialah kisah Nabi Ibrahim as dan dakwahnya.

Allah berfirman:

“(Setengah daripada) mereka berkata: ‘Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya.” (Surah Al-Anbiya’ 60).

Baginda masih muda ketika berdiri teguh melawan arus masyarakatnya yang tenggelam dalam penyembahan berhala.

Dalam usia muda, Baginda menunjukkan keberanian luar biasa dalam menyuarakan kebenaran dan menyeru manusia kepada kebaikan walaupun terpaksa berhadapan dengan ancaman daripada ayahnya sendiri serta masyarakat.

Kisah Nabi Ibrahim as mengajar kita bahawa kekuatan dan potensi pemuda bukan terletak pada usia atau kedudukan, tetapi pada keimanan dan keikhlasan dalam menyeru kepada kebenaran.

Oleh itu, amat penting untuk kita membentuk generasi muda yang bukan sahaja celik ilmu agama, malah berani dan yakin dalam menegakkan kebenaran, akhlak dan nilai moral luhur serta tidak berdiam diri apabila berdepan dengan kemungkaran.

Namun lebih daripada itu, mereka perlu dididik agar memiliki semangat kepimpinan dan keprihatinan terhadap masalah masyarakat serta keinginan yang kuat untuk membetulkan kerosakan akhlak dalam masyarakat, seperti yang ditonjolkan oleh para Nabi.

Ke arah belia cemerlang

Menjaga dan membimbing belia bukanlah tanggungjawab individu semata-mata, malah merupakan amanah bersama.

Dalam sejarah Islam, Rasulullah saw telah menunjukkan kepada kita betapa pentingnya peranan masyarakat dan para pemimpin dalam membentuk jiwa pemuda.

Baginda tidak pernah meminggirkan generasi muda daripada memainkan peranan utama dalam dakwah dan pembangunan umat.

Malah, sebahagian tokoh besar dalam sejarah Islam dibentuk secara langsung oleh Rasulullah saw sejak usia muda.

Lihat sahaja sepupunya, Abdullah ibn Abbas ra, yang dikenali dalam sejarah Islam sebagai seorang tokoh agama dan ulama dalam pelbagai bidang ilmu.

Semua itu merupakan hasil daripada doa Rasulullah saw untuknya.

Ibn Abbas ra pernah berkata:

“Sesungguhnya Nabi saw pernah masuk ke tandas, lalu aku menyediakan air wuduk untuk baginda. Baginda bertanya: ‘Siapakah yang meletakkan ini? Maka Baginda diberitahu. Lalu Baginda bersabda: ‘Ya Allah, berilah dia kefahaman dalam agama’.” (HR al-Bukhari).

Rasulullah saw sangat prihatin terhadap golongan remaja pada zamannya.

Baginda bukan sahaja mendidik mereka dengan ilmu, bahkan turut menanam nilai tanggungjawab dan adab dalam diri mereka.

Baginda juga memberi ruang kepada mereka untuk mencuba serta membimbing mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Seorang sahabat, Umar bin Abi Salamah ra, pernah berkata:

“Aku ketika itu seorang anak kecil di bawah jagaan Rasulullah saw. Tanganku sering bergerak ke seluruh bekas makanan. Maka Rasulullah saw bersabda kepadaku: ‘Wahai anak muda, sebutlah nama Allah (Bismillah), makanlah dengan tangan kananmu, dan makanlah daripada bahagian yang dekat denganmu.’ Maka itulah caraku makan sejak itu.” (HR al-Bukhari).

Oleh itu, institusi seperti masjid, sekolah, organisasi belia, dan institusi keagamaan perlu menyediakan program membina peribadi dan rohani anak muda.

Kita perlu membuka ruang untuk mereka bersuara, berkarya dan memimpin.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa membangunkan remaja adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua.

Kita tidak sepatutnya berputus asa terhadap mereka hanya kerana kekurangan yang ada.

Mereka masih baru dalam kehidupan ini dan sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Maka daripada mengkritik, adalah lebih baik bagi kita menyumbang, terus memberikan bimbingan dan tidak berhenti mendoakan mereka.

Artikel ini disumbangkan oleh DarulTafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg