Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemuliaan Zulhijah termasuk bagi yang tidak tunai haji

Juga dikenali sebagai bulan ibadah korban dilaksana, umat Islam serata dunia peringati pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail
May 30, 2025 | 5:30 AM
hidayah, Zulhijah, haji, korban
Zulhijah sangat mulia di sisi Allah swt maka dipenuhi hari-hari itu dengan keberkatan yang dapat dinikmati oleh semua termasuk mereka yang tidak menunaikan haji.  - Foto AFP

Dalam kalendar Islam, Zulhijah merupakan salah satu bulan paling mulia di sisi Allah swt.

Ia bukan sahaja dikenali sebagai bulan haji apabila jemaah berangkat ke Makkah untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Zulhijah juga bulan ibadah korban dan umat Islam di seluruh dunia memperingati pengorbanan agung Nabi Ibrahim as dan anaknya, Nabi Ismail as.

Namun begitu, ramai dalam kalangan kita terlepas pandang tentang kelebihan luar biasa yang terkandung dalam 10 hari pertama Zulhijah.

Ia tempoh yang sangat dicintai oleh Allah swt dan dipenuhi dengan ganjaran yang tiada bandingannya.

Ini mungkin kerana kita sering melihat bulan haji sebagai bulan yang hanya istimewa bagi mereka yang sedang menunaikan fardu haji.

Sememangnya Allah swt telah menyediakan ganjaran serta rahmat yang besar bagi jemaah selepas menyempurnakan manasik mereka.

Namun, pandangan ini kurang tepat.

Zulhijah sangat mulia di sisi Allah swt sehingga Dia telah memenuhi hari-harinya dengan keberkatan yang dapat dinikmati oleh semua termasuk mereka yang tidak menunaikan haji.

Ini menjadi bukti bahawa kemuliaan bulan ini tidak terhad kepada mereka di tanah suci sahaja, bahkan Allah swt membuka pintu keampunan dan kasih sayang-Nya kepada seluruh umat Islam yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya pada hari-hari yang agung ini.

Keistimewaan 10 hari pertama Zulhijah

Allah swt berfirman: “Demi waktu fajar. Dan malam yang 10.” (Surah al Fajr: 1-2).

Para ulama tafsir seperti Ibn Kathir dan Mujahid mentafsirkan “malam yang 10” itu sebagai merujuk kepada 10 hari pertama Zulhijah.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas, Nabi saw bersabda:

Tidak ada hari-hari yang amal soleh padanya lebih dicintai oleh Allah daripada amal yang dilakukan dalam 10 hari ini.” (HR al-Bukhari)

Ganjaran ibadah yang dilakukan dalam tempoh ini digandakan secara luar biasa.

Solat, puasa, zikir, sedekah, tilawah Al-Quran dan segala amal kebajikan menjadi lebih bermakna dan lebih besar pahalanya.

Ini menunjukkan betapa Allah swt memuliakan hari-hari ini sehingga menjadikan ia masa yang paling afdal dalam setahun untuk beribadah.

Cari rahmat Allah swt walau tidak tunai haji

Meskipun ibadah haji hanya dikhususkan untuk mereka yang berkesempatan menunaikannya di tanah suci, Allah swt tidak membiarkan umat Islam yang lain tanpa peluang tingkat amalan.

Tempoh 10 hari pertama Zulhijah merupakan ruang dan peluang yang dikurniakan oleh Allah swt kepada kita semua yang berada jauh dari Kaabah untuk turut serta meraih keampunan, rahmat dan kasih sayang-Nya.

Allah swt telah meletakkan dalam jiwa orang-orang beriman suatu kerinduan untuk melihat dan menziarahi Rumah-Nya yang suci.

Namun, tidak semua orang berkemampuan untuk menziarahinya setiap tahun, apatah lagi menunaikan umrah berkali-kali.

Maka, Allah swt mewajibkan ibadah haji hanya sekali seumur hidup bagi mereka yang mampu.

Sebagai gantinya, Allah swt menjadikan 10 hari pertama Zulhijah sebagai musim ibadah yang dikongsi bersama antara jemaah yang menunaikan haji dengan mereka yang berada di negara masing-masing.

Maka, sesiapa yang tidak mampu menunaikan haji pada tahun tersebut masih mempunyai peluang untuk melakukan amalan di rumah sendiri pada hari-hari tersebut dan ia membawa ganjaran besar.

Bahkan ini lebih utama daripada jihad, sebagaimana disebut oleh Baginda, sedangkan jihad itu sendiri lebih utama daripada ibadah haji.

Bagi mereka yang berada di luar tanah suci, mereka tetap dapat mengambil bahagian bersama jemaah haji dalam kelebihan 10 hari Zulhijah, sama ada melalui zikir mahupun penyediaan haiwan untuk dikorbankan.

Dalam bulan ini, ada juga antara kita yang akan melaksanakan ibadah korban sebagaimana yang dilakukan oleh jemaah haji.

Bahkan, sesiapa yang berniat untuk melakukan ibadah korban disunatkan untuk menzahirkan sebahagian daripada tanda-tanda ihram, iaitu dengan tidak memotong rambut atau kuku selepas masuk 1 Zulhijah sehingga haiwan korban disembelih pada Hari Raya Aidiladha.

Selain itu, umat Islam turut diseru supaya memperbanyak zikir sepanjang 10 hari ini, sebagaimana disebut dalam Al-Quran.

Ia termasuk memperbanyak takbir, tahlil dan tahmid, khususnya pada hari-hari pertama Zulhijah.

Amalan itu selari dengan jemaah haji yang melafazkan talbiah berulang kali ketika mereka menuju ke Rumah Allah.

Cipta suasana rohani bak Ramadan

Apabila Allah swt sendiri bersumpah dengan malam-malam ini dan Rasulullah saw turut memuji amal ibadah yang dilakukan dalam tempoh masa ini, maka sebagai hamba-Nya yang beriman, kita tidak seharusnya lalai akan hakikat perkara ini.

Ini kerana apabila Allah memuliakan sesuatu, tugas kita adalah turut memuliakannya – bukan mengabaikannya.

Kita sering memberi perhatian dan kesungguhan dalam melakukan amalan soleh pada 10 malam terakhir Ramadan kerana kita mencari malam lailatulqadar, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan.

Namun, 10 hari pertama Zulhijah tidak kurang hebatnya.

Malah sebahagian ulama menyatakan 10 hari Zulhijah lebih afdal daripada 10 malam Ramadan, walaupun malam lailatulqadar tetap lebih utama sebagai satu malam yang istimewa.

Jika pada 10 malam terakhir Ramadan kita berlumba-lumba melaksanakan qiamulail, membaca Al-Quran, memperbanyak doa dan bersedekah, maka kita seharusnya melakukan perkara yang sama bahkan menambahnya pada 10 hari Zulhijah.

Berpuasalah pada siang harinya, dan perbanyakkan berzikir serta membaca Al-Quran jika berkelapangan.

Mungkin ada yang bekerja maka masih lagi banyak peluang untuk melakukan kebaikan seperti ibadah yang berkaitan dengan kewangan seperti bersedekah, dan membelikan makanan kepada orang lain dan anggota keluarga.

Janganlah lupa juga untuk berpuasa pada Hari Arafah, hari kesembilan Zulhijah, sehari sebelum Hari Raya Haji.

Baginda telah memesan bahawa berpuasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa-dosa tahun lepas dan yang akan datang.

Maka 10 hari itu adalah jendela kepada rahmat Allah swt dan peluang keemasan untuk memperbaiki diri seperti jemaah haji beribadah di kota Makkah.

Ia hadir hanya sekali dalam setahun.

Sepertimana kita menghormati Ramadan, kita juga perlu mencipta suasana rohani dalam keluarga dan masyarakat sepanjang 10 hari ini.

Jadikan ia waktu untuk kita mengeratkan silaturahim dan kembali kepada Allah swt dengan taubat yang tulus.

Tempoh 10 hari ini bukan sekadar menantikan Hari Raya Haji, malah medan untuk kita memperbaharui iman dan memburu keampunan serta syurga Allah swt.

Artikel ini sumbangan Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg