Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ilmu dipelajari, agama teras jati diri

Usah kecewa jika anak tidak layak masuk madrasah sepenuh masa, ada cara lain untuk dalami ilmu agama
May 4, 2025 | 5:30 AM
Muis, madrasah, MET
Sistem pendidikan madrasah sepenuh masa merupakan satu wasilah, atau cara, untuk mencapai tujuan, iaitu ilmu agama. - Foto MUIS

Ilmu adalah asas penting dalam kehidupan manusia.

Kita lihat di dalam Al-Quran bagaimana Allah swt telah mengangkat darjat Nabi Adam as ketika penciptaannya dengan mengajarkan kepada beliau nama-nama ciptaan-Nya yang tidak diajarkan kepada para malaikat.

Kita juga diingatkan melalui firman Allah swt di dalam Surah Al-‘Alaq bahawa “Dialah yang mengajarkan kepada manusia apa yang mereka belum ketahui”.

Peringatan ini merupakan antara ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw ketika Baginda beruzlah (mengasingkan diri) di gua Hira’.

Melalui ayat tersebut kita dapat fahami darjat manusia diangkat oleh Allah swt dengan ilmu, namun pada masa yang sama, kita perlu ketahui asal usul ilmu yang kita miliki.

Ilmu itu ibarat kereta api manakala kesedaran tentang asal usulnya (yang diperolehi melalui agama) umpama kepala gerabak yang memandu hala tujunya.

Tanpa kepala gerabak kereta api boleh terbabas.

Hari ini, masyarakat Islam di Singapura peka dengan kepentingan ilmu, terlebih lagi ilmu agama.

Buktinya dapat dilihat melalui jumlah anak yang dihantar oleh ibu bapa untuk menduduki Ujian Kemasukan Madrasah (MET) saban tahun.

Dengan jumlah kemasukan yang terhad melalui empat madrasah sepenuh masa yang menyediakan ruang bagi murid Darjah 1, ia menimbulkan persaingan yang sengit bagi mereka yang ingin menghantar anak mereka ke sana.

Bagi ibu bapa yang tidak berpeluang memasukkan anak mereka ke madrasah sepenuh masa, seperti yang penulis alami, apakah ia suatu kegagalan?

Haruskah diratapi dan dikira suatu aib jika ibu bapa yang bergelar asatizah khususnya, melihat anak mereka tidak berjaya memasuki madrasah sepenuh masa?

Sistem pendidikan madrasah sepenuh masa sebenarnya merupakan satu wasilah, atau cara, untuk mencapai tujuan, iaitu ilmu agama.

Ia bukan satu-satunya cara yang ada.

Bahkan ia mungkin bukan cara yang terbaik bagi semua orang untuk mempelajari ilmu agama.

Di Singapura, kita mempunyai pusat pendidikan Islam yang mengendalikan pelbagai program hujung minggu bagi memenuhi keperluan tersebut.

Mungkin ada yang berkata ini tidak memadai kerana madrasah mingguan berlangsung sekadar tiga jam sahaja setiap minggu – tidak memadai untuk mengajarkan ilmu agama sepenuhnya dalam tempoh sesingkat itu.

Penulis bersetuju juga dengan pandangan tersebut.

Namun penulis berpendapat, masa yang diperuntukkan di madrasah sepenuh masa juga tidak mencukupi sebenarnya.

Ilmu agama merupakan satu bidang ilmu yang sangat luas dan mendalam.

Ulama zaman silam menjelajah seantero bumi dan mengambil masa bertahun-tahun untuk mempelajari secebis ilmu daripada ulama yang lain.

Jadi bagaimana ingin kita katakan lapan jam sehari sudah memadai?

Sebenarnya, ilmu agama itu perlu dipelajari dan diterapkan bahkan di luar bilik darjah.

Ia harus dihidupkan setiap masa dan ibu bapa perlu memainkan peranan dalam hal tersebut.

Selain itu, apakah tujuan ilmu agama?

Adakah ia sekadar suatu pengetahuan yang dipelajari di bilik darjah dan tidak digunakan?

Ibarat ilmu sastera yang dipelajari di bangku sekolah oleh seorang yang kini bertugas sebagai doktor? Tentunya tidak.

Ilmu agama perlu dihayati dan kemudiannya diamalkan.

Ibarat pepatah Arab yang bermaksud: “ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah.”

Lantaran itu, kita harus menganjakkan paradigma tentang pendidikan agama melalui madrasah sepenuh masa.

Bagi mereka yang berjaya memasukinya, berusahalah dengan gigih kerana anda merupakan golongan yang terpilih.

Bagi yang berasa sedih kerana tidak berpeluang menjejakkan kaki ke sana, usah kecewa.

Tahukah anda mantan mufti Singapura, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram, memulakan perjalanan pendidikannya bukan melalui sistem madrasah sepenuh masa?

Ilmu agama yang dipelajari, tidak kira melalui jalan mana sekalipun, tetap mempunyai tujuan yang sama: untuk dihayati dan memandu individu ke arah yang benar.

Sebab itulah terdapat pepatah Arab yang berbunyi: “Ilmu itu tempatnya di dalam jiwa, bukanlah lembaran semata.”

Jika ilmu agama tidak dihayati dan diamalkan, maka ia adalah sia-sia.

Hubungan simbiotik antara ilmu dengan amal ini ditegaskan berulang kali di dalam Al-Quran melalui gandingan perkataan “iman” (ilmu) dan “amal soleh” (amal).

Nyatanya, seorang Muslim yang baik bukanlah sekadar imannya atau amal kebaikannya, namun gandingan kedua-duanya.

Seperti kereta api dan kepala gerabak, masing-masing memerlukan yang lainnya untuk membawa manfaat.

Walaupun berbeza jalan ilmu agama yang ditempuhi, keabsahannya perlu dipastikan agar kita tidak tersesat jalan.

Oleh yang demikian, sumber ilmu agama yang diperoleh haruslah dinilai dengan teliti.

Guru yang dipilih hendaklah yang diyakini bertauliah dan berwibawa di dalam menyampaikan ilmu agama yang dimiliki.

Tidak menjejakkan kaki ke madrasah sepenuh masa tidak bererti pengajian agama terbantut.

Mungkin ia memerlukan pengorbanan yang lebih dari segi masa dan usaha, namun itulah ukur tara kesungguhan dan kegigihan di dalam diri individu seorang Muslim.

Ilmu agama yang dipelajari, tidak kira melalui jalan mana sekalipun, tetap mempunyai tujuan yang sama: untuk dihayati dan memandu individu ke arah yang benar.  Tidak menjejakkan kaki ke madrasah sepenuh masa tidak bererti pengajian agama terbantut. Mungkin ia memerlukan pengorbanan yang lebih dari segi masa dan usaha, namun itulah ukur tara kesungguhan dan kegigihan di dalam diri individu seorang Muslim.
Penulis.

Penulis seorang pendakwah bebas yang berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai ketua komunikasi strategik dan pelibatan masyarakat di Masjid En-Naeem.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg