Hidupkan Ramadan dalami kalam rohani
Hidupkan Ramadan dalami kalam rohani
Bukan sekadar bacaan di bibir, tetapi melalui penghayatan hati, ‘tadabbur’ dan penerapan dalam hidup seharian
Hidupkan Ramadan dalami kalam rohani
Ramadan yang hadir setiap tahun bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, malah bulan ibadah, apabila jutaan umat bersatu dalam menunaikan rukun berpuasa.
Dalam kita memenuhi rukun tersebut, Ramadan menuntut satu lagi perkara, iaitu meningkatkan mutu ibadah dengan Al-Quran.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia serta penjelasan tentang petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dengan yang batil).”
Menerusi ayat ini, kita dapat fahami bahawa Ramadan dan Al-Quran tidak dapat dipisahkan.
Turunnya Al-Quran pada bulan suci Ramadan menuntut kita untuk meraikan wahyu Allah swt dan mengenali kepentingan Al-Quran dalam hidup manusia.
Menghidupkan Ramadan bermakna menghidupkan hubungan kita dengan kalam Allah swt – bukan sekadar membacanya di bibir, malah melalui penghayatan hati, tadabbur dan penerapannya dalam kehidupan seharian.
Demikian inti pati Ramadan: Perubahan dalaman yang terpancar melalui ilmu, akhlak dan amal.
Erti sebenar Ramadan
Ramadan hadir bagai ‘kepulangan’ hamba, ruang meningkatkan dan memperbaharui rohani demi mendekatkan diri kepada Allah swt.
Selain mengejar ganjaran pahala berlipat ganda, rebutlah peluang untuk meningkatkan kefahaman serta mengukuhkan hubungan kita dengan Al-Quran berbanding tahun-tahun yang lalu.
Rasulullah saw sendiri mengulangi bacaan Al-Quran bersama Jibril as setiap Ramadan, sebagaimana diriwayatkan Ibnu ‘Abbas ra:
“Nabi saw ialah orang yang paling lembut (dermawan) dalam segala kebaikan. Kelembutan Baginda paling terserlah pada Ramadan ketika Jibril as datang menemui Baginda. Jibril datang setiap malam Ramadan untuk membacakan Al-Quran kepada Baginda hingga selesai. Apabila Jibril datang, Baginda menjadi orang yang paling lembut dalam segala kebaikan, melebihi lembutnya angin yang berhembus.” (HR Bukhari).
Menyambut Ramadan bukan sekadar kesediaan fizikal, bahkan juga hati yang ingin kembali mendekat kepada Sang Pencipta.
Persiapan terindah adalah memperbaiki interaksi harian kita bersama Al-Quran.
Interaksi ini merangkumi pelbagai aspek. Ia bermula daripada ilmu membacanya, sehinggalah penghayatan menyeluruh yang merangkumi iman, pembacaan, hafalan, mempelajari, menghayati serta memperingati setiap ayatnya.
Perkukuh hubungan dengan Al-Quran
Berikut antara tiga cara utama menghidupkan kembali interaksi kita dengan Al-Quran.
1) Tadarus (Baca dan Ulang)
Ulama terdahulu memberi perhatian besar terhadap bacaan Al-Quran.
Dalam kitab, Latha’if al-Ma‘arif, Ibn Rajab menjelaskan kebiasaan orang terdahulu pada Ramadan ialah membaca Al-Quran dalam solat dan di luar solat, dan persiapannya bermula sebelum Ramadan.
Begitu juga Jibril as yang menemui Nabi saw setiap Ramadan untuk mengajarkan Al-Quran, membuktikan Ramadan adalah waktu istimewa untuk bertadarus.
Semangat ini juga dapat kita lihat di masjid tempatan.
Terutamanya pada Ramadan, tradisi tadarus selepas solat tarawih adalah satu kebiasaan.
Malah, suasana masjid ketika solat tarawih didirikan dengan alunan ayat suci Al-Quran membawa sebuah keajaiban dan ketenangan buat semua yang mendengar.
2) ‘Tadabbur’ (Hayati Makna)
Jika tafsir mengupas makna ayat, tadabbur pula ialah merenung cara menerapkan makna itu dalam rutin harian.
Bagaimana ayat sabar dapat meredakan tekanan kerja? Bagaimanakah ayat rahmat menyuburkan kasih sayang keluarga?
Fasa penghayatan ini amat penting, mencetuskan azam untuk mengubah diri, demi memperbaiki amal dan akhlak.
Nabi saw sendiri mencontohkan amalan tadabbur dalam bacaan Al-Quran. Hudhayfah ibn al-Yaman ra meriwayatkan:
“Saya solat bersama Nabi saw pada suatu malam. Baginda membaca dengan perlahan; apabila melalui ayat rahmat, Baginda berdoa; apabila (melalui) ayat azab, Baginda memohon perlindungan; dan apabila (melalui) ayat tasbih, Baginda bertasbih.” (HR Muslim).
Hadis ini menunjukkan bacaan Al-Quran bukan sekadar untuk menyempurnakan ayat, namun merupakan penghayatan yang menggerakkan hati dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
3) ‘Tazakkur’ (Peringatan)
Matlamat utama yang ingin dikecapi melalui interaksi dengan Al-Quran adalah apabila ayat yang dibaca menjadi peringatan yang mencegah diri daripada kebatilan dan mendorong kepada kebaikan.
Firman Allah swt dalam Surah Sad, ayat 29:
“Ini adalah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh keberkatan agar mereka tadabbur ayat-ayatnya dan agar orang-orang berakal mengambil peringatan.”
Melalui tazakkur, Al-Quran menjadi cerminan diri dan pedoman hidup – menegur, membimbing serta membentuk individu dan masyarakat ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.
Persiapan jelang Ramadan
Sebagai persiapan menyambut Ramadan, berikut beberapa amalan yang boleh diterapkan dalam rutin harian:
1) Urus masa: Luangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari untuk membaca atau mendengar Al-Quran.
Ulangi ayat-ayat yang jarang dibaca atau jadualkan waktu bacaan yang mudah disesuaikan dalam rutin harian.
2) Budayakan Al-Quran di rumah: Ajak keluarga bertilawah bersama, solat berjemaah, mendengar kuliah tafsir atau menghadiri kelas pengajian.
3) Libatkan diri dengan masyarakat: Hadiri kelas tadarus di masjid berdekatan atau dalam talian.
Manfaatkan inisiatif masjid yang menganjurkan sesi tadabbur dan tazkirah yang mengupas inti pati Al-Quran, merangkumi nilai murni, isu sosial dan pendidikan.
Kesimpulan
Akhirnya, Ramadan merupakan anugerah agung yang mempertemukan kita kembali dengan cahaya petunjuk Al-Quran.
Melalui gabungan pengurusan masa dengan bacaan Al-Quran, tadabbur yang mendalam serta sokongan keluarga dan masyarakat, setiap huruf yang dibaca mampu menjadi titisan cahaya yang menembusi kegelapan jiwa.
Harapan kita bukan sekadar menjadikan Al-Quran sebagai amalan bermusim, bahkan sebagai pedoman kehidupan yang dibawa ke bulan-bulan seterusnya untuk mengukuhkan iman, membuahkan amal dan mencapai ketakwaan.
Semoga Ramadan kali ini bukan sekadar latihan menahan diri, namun perjalanan rohani yang menghubungkan kita dengan Allah swt secara tulus, sekali gus menebarkan kemaslahatan dan kebaikan yang berpanjangan kepada seluruh lapisan masyarakat.
Penulis ialah Pegawai Pembangunan Sosial, Masjid An-Nur. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin daripada Universiti Jordan

