Bertukar senyuman dan salam, ziarah-menziarahi. Tutur dan kata yang sopan, saling memaafi.
Begitulah serangkap daripada karya yang ditulis oleh Datuk Adnan Abu Hassan dalam lagu Hari Raya yang malar segar.
Ia memberikan gambaran kepada kita tentang kelaziman masyarakat Islam di Nusantara setiap kali Syawal tiba.
Sinonimnya amalan itu dengan Syawal hinggakan kita anggap Raya seolah-olah tidak lengkap apabila kita tidak melakukannya di Aidilfitri.
Mengimbau kenangan lima tahun yang lalu, kita masih ingat suasana Aidilfitri yang suram sewaktu pandemik Covid-19 melanda, seakan-akan hilang serinya kerana sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan ketika itu.
Namun, tahukah anda bahawa semua perbuatan yang disebutkan itu – senyum, salam, ziarah, sopan dalam berkata dan bermaaf-maafan – merupakan sebahagian daripada bentuk kebaikan dan ibadah yang diberikan ganjaran oleh Allah swt bagi sesiapa sahaja yang melakukannya? Mari kita lihat satu per satu amalan itu.
1. Senyum
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Nabi Muhammad saw berkata senyuman yang diberikan kepada saudara kita merupakan satu bentuk sedekah.
Ia perkara yang sangat ringan dan mudah dilakukan, namun dinilai sebesar sedekah dan ganjarannya hingga 700 kali ganda atau lebih.
2. Salam
Kalimah salam boleh membawa tiga makna berbeza, iaitu mengucapkan assalamualaikum, berjabat tangan sesama mahram, atau menyebarkan kesejahteraan dan keamanan.
Namun, ada persamaan antara ketiga-tiga makna tersebut – semuanya sebahagian daripada identiti kita sebagai Muslim.
Sebagai contoh, ucapan assalamualaikum sebenarnya merupakan doa yang kita lafazkan buat saudara seagama tatkala bertemu dan berpisah.
3. Ziarah rumah saudara dan kenalan
Dalam sebuah hadis kudsi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Allah swt menyebutkan orang yang saling mengunjungi antara satu sama lain kerana-Nya (dengan niat menyambung silaturahim) termasuk dalam golongan yang berhak mendapat cinta-Nya.
4. Bertutur dengan sopan
Interaksi yang baik adalah antara tanda keimanan seseorang kepada Allah swt dan pada hari akhirat.
Sopan dalam berbicara juga merupakan antara cara kita menzahirkan kasih sayang kepada golongan muda dan hormat kepada yang lebih berusia.
Hal tersebut merupakan ciri-ciri umat Nabi Muhammad saw yang disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi.
5. Saling bermaafan
Ucapan yang sering didengari ialah ‘Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin’, yang kini disingkatkan kepada SHRMZB jika dikirim melalui kiriman ringkas.
Memaafkan saudara seagama bukan membuka jalan kepada keampunan Allah swt sahaja, malah menjadi sebab darjat kita diangkat di sisi-Nya pada akhirat kelak.
Kelima-lima perkara yang dijelaskan secara ringkas di atas sebenarnya boleh dirangkumkan di bawah tema ‘mengeratkan silaturahim’.
Ia amalan yang sangat dianjurkan dalam Islam.
Di dalam ayat pertama Surah An-Nisaa’ sebagai contoh, Allah swt mengingatkan kita supaya bertakwa kepada-Nya dan kemudian memelihara hubungan silaturahim.
Nabi saw pula bersabda, bermaksud:
“Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah beliau menyambungkan silaturahim.” (HR Bukhari dan Muslim).
Jelas daripada ayat Al-Quran dan hadis itu bahawa amalan saling mengunjungi pada Syawal adalah satu ibadah yang terselindung.
Namun, adalah satu tanggapan yang kurang tepat jika kita mengehadkan amalan ziarah ini kepada Syawal sahaja.
Tidak seperti puasa sunat pada Syawal, amalan berziarah boleh, malah seharusnya, dilakukan sepanjang tahun.
Bahkan di dalam hadis kudsi riwayat Imam Muslim, Allah swt menjelaskan bahawa pada hari kiamat kelak menziarahi orang sakit seumpama menziarahi Allah swt.
Ini menggambarkan betapa besar ganjaran yang menanti mereka yang menghulurkan kasih sayang dan kepedulian melalui ziarah.
Namun, ketika kita berkunjung ke rumah keluarga dan teman, hendaklah dititikberatkan adab dalam berziarah agar kita mendapat pahala ketika melakukannya.
Antaranya, hendaklah memastikan kehadiran kita pada waktu yang sesuai bagi tuan rumah agar tidak membebani mereka.
Di samping itu, hendaklah juga menjaga batasan aurat dalam pergaulan ketika bertemu orang bukan mahram.
Sebagai tuan rumah pula, hendaklah kita meraikan tetamu mengikut kemampuan diri kita kerana ia juga merupakan antara ciri-ciri orang beriman.
Justeru, ketika kita menjemput tetamu ke rumah, kita dapat memenuhi tiga daripada empat amalan yang digalak oleh Nabi saw, iaitu menyebarkan salam, memberi makan dan menyambung silaturahim (amalan yang keempat adalah mendirikan solat malam ketika orang sedang tidur).
Alangkah indahnya agama Islam yang kita anuti.
Sebenarnya, banyak lagi perbuatan atau kebiasaan masyarakat kita yang merupakan bentuk ibadah yang dicatat oleh malaikat dan disediakan ganjaran di sisi Allah swt.
Tingkatkanlah ilmu agar kita dapat meraih segala ganjaran dan kelebihan yang telah disediakan oleh Allah swt di dalam amalan harian.
Akhir kalam, tanamkan pemikiran ini di dalam sanubari kita: Hari Raya memang sehari, namun usaha mengeratkan silaturahim adalah tuntutan agama yang tidak tersekat oleh batasan masa.
Ambil kesempatan Syawal untuk berkunjung-kunjungan dan mengeratkan hubungan kita sesama insan.
Penulis seorang pendakwah bebas yang berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai ketua komunikasi strategik dan pelibatan masyarakat di Masjid En-Naeem.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg