TAFSIR SURAH ALI IMRAN
Surah Ali Imran ayat 62-70 menyentuh tentang interaksi antara umat Islam dengan ahli kitab.
Antaranya adalah ayat 64, yang dipetik oleh Nabi Muhammad saw dalam sepucuk surat yang dihantar kepada Maharaja Rom, Heraclius, sebagaimana diriwayatkan oleh al-Bukhari:
“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Daripada Muhammad Rasul Allah kepada Heraclius, pembesar Rom. Salam sejahtera ke atas sesiapa yang mengikuti petunjuk. Amma ba‘du, masuklah ke dalam agama Islam – nescaya kamu akan selamat. Masuk ke alam agama Islam – nescaya Allah akan memberi ganjaran kepadamu dua kali ganda. Namun jika kamu berpaling, maka kamu akan menanggung dosa seluruh rakyatmu (al-Ariisiin).
“Dan (firman Allah): Wahai ahli kitab! Marilah kepada suatu kalimah (ketetapan) yang sama antara kami dengan kamu, bahawa kita tidak menyembah melainkan Allah, dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun, dan jangan sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Maka jika mereka berpaling, maka katakanlah: Saksikanlah bahawa kami adalah orang-orang Islam (yang berserah diri kepada Allah)” (Surah Ali ‘Imran, 64)
Baginda telah menghantar lebih kurang lapan surat kepada pemerintah dan raja-raja pada zaman itu.
Selain itu, sekumpulan penganut Kristian dari Najran juga telah datang ke Madinah untuk berdialog dan membincangkan isu-isu keagamaan bersama Rasulullah saw, bahkan perbincangan tersebut berlangsung di dalam masjid.
Ini menunjukkan bahawa telah wujud interaksi yang berterusan dan damai antara umat Islam dengan bukan Islam dalam sejarah.
Kisah-kisah dalam sirah serta dialog yang disebut dalam Al-Quran membuktikan bahawa penghormatan dan sikap saling menghormati terhadap mereka yang berbeza agama adalah sebahagian daripada ajaran agama.
Islam bukanlah agama pengganasan yang mahu mendera agama lain.
Malah, ia menyeru kepada keharmonian, apatah lagi dalam konteks seperti di Singapura, dengan keharmonian antara agama merupakan tiang kekuatan negara dalam mengekalkan perpaduan sosial.
Ayat-ayat di atas juga mengajarkan betapa pentingnya bagi umat Islam mempelajari sejarah mereka sendiri, agar tidak mudah tertipu dengan dakwaan palsu.
Sesungguhnya, mereka yang tidak mengetahui sejarah kaumnya sendiri sudah tentu tidak akan mampu merancang masa depan.
Ini kerana hanya mereka yang belajar daripada kesilapan masa lalu sahajalah yang mampu melakarkan strategi yang lebih baik untuk masa hadapan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg