Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kawal amarah, maafkan sesama insan

Jul 18, 2025 | 5:30 AM
bertaubat, dosa
Allah swt mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan dan yang bertaubat apabila melakukan dosa.  - Foto PIXABAY

TAFSIR SURAH ALI IMRAN

Ayat 133 hingga140 daripada Surah Ali Imran menyeru orang-orang beriman agar segera menuju keampunan Allah swt dan syurga yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa, iaitu mereka yang bersedekah dalam keadaan susah mahupun senang, menahan marah dan memaafkan manusia.

Allah swt menyatakan bahawa Dia mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan dan yang bertaubat apabila melakukan dosa.

Ayat-ayat ini turut mengingatkan bahawa umat terdahulu telah dibinasakan akibat dosa mereka, sebagai peringatan dan pengajaran.

Allah swt kemudian menyinggung peristiwa kekalahan dalam Perang Uhud, dan menjelaskan kemenangan dan kekalahan adalah ujian daripada-Nya.

Antara pengajaran yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini ialah bagaimana Allah swt memperkenalkan beberapa ciri utama orang-orang bertakwa yang dijanjikan syurga dalam ayat 133 hingga 134.

Ini adalah ciri-ciri yang seharusnya kita berusaha untuk miliki.

Antaranya ialah mereka yang tetap membelanjakan harta di jalan Allah swt, sama ada dalam keadaan senang mahupun susah.

Jika mereka diberikan kelapangan rezeki, mereka memperbanyakkan sedekah dan jika mereka berada dalam kesempitan, mereka tetap tidak memandang ringan sebarang bentuk kebaikan, walaupun hanya sedikit.

Mereka juga adalah golongan yang mampu menahan kemarahan apabila disakiti orang lain.

Walaupun hati mereka dipenuhi rasa marah dan mempunyai dorongan yang kuat untuk membalas perbuatan itu, mereka memilih untuk bersabar dan tidak bertindak mengikut emosi.

Lebih daripada itu, mereka turut memaafkan sesiapa sahaja yang menyakiti mereka, sama ada melalui kata-kata atau perbuatan.

Memaafkan lebih tinggi kedudukannya berbanding sekadar menahan marah, kerana ia bukan sahaja menahan diri daripada membalas kejahatan, bahkan juga memaafkan dengan hati yang lapang dan penuh belas kasihan.

Ia adalah sifat mulia yang hanya dimiliki oleh mereka yang telah menyucikan jiwanya dan yang mengharapkan ganjaran hanya daripada Allah swt, bukan daripada manusia.

Mereka juga ialah orang-orang yang apabila melakukan dosa besar atau dosa kecil, segera mengingati Allah swt dan memperingati tentang dosa serta janji-NYA kepada orang-orang yang kembali kepada-NYA.

Mereka lalu memohon keampunan daripada Tuhan mereka dengan penuh penyesalan.

Mereka cuba sedaya upaya untuk tidak berterusan dalam dosa tersebut, dalam keadaan mereka sedar bahawa mereka bersalah dan bahawa Allah Maha Pengampun terhadap segala dosa.

Inilah ciri-ciri mulia yang harus kita semaikan dalam diri agar kita termasuk dalam golongan yang layak untuk menjadi ahli syurga.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg