Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadi Muslim rabbani ingati ajaran, amal soleh

May 23, 2025 | 5:30 AM
The boy learned to read the Quran from inside the mosque, a concept of the next generation of Islam.
The boy learned to read the Quran from inside the mosque, a concept of the next generation of Islam. - Foto ISTOCKPHOTO

TAFSIR ALI IMRAN

Surah Ali Imran ayat 78-83 menyentuh tentang penipuan yang dilakukan oleh ahli kitab, dengan mereka menyembunyikan ilmu daripada kitab suci dan mengubah maksud kalam Allah swt bagi memenuhi agenda peribadi, sambil mendakwa ia datang daripada Tuhan.

Allah swt kemudian mengingatkan kita adalah mustahil bagi seseorang yang menerima wahyu dan petunjuk daripada-Nya dan kemudian mendakwa dirinya sebagai Tuhan, atau mendakwa bahawa dia wajib disembah dan ditaati secara mutlak.

Ini menjadi peringatan penting agar kita berhati-hati terhadap individu yang ada karisma, yang mengaku memiliki sifat ketuhanan atau mendakwa dirinya sebagai wakil Tuhan yang mesti ditaati tanpa soal.

Itulah modus operandi kebanyakan ajaran dan orang yang sesat.

Allah berfirman: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: ‘Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah’. Tetapi (sepatutnya dia berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya’.” (Ali Imran 80).

Bahkan, Allah swt memerintahkan setiap Muslim yang beriman kepada petunjuk-Nya dan mengikutinya agar menjadi seorang Muslim rabbani.

Sebahagian ulama tafsir menerangkan bahawa golongan ‘rabbaniyyun’ ialah mereka yang menghimpunkan antara ilmu dengan kebijaksanaan dalam mengurus urusan manusia serta mengamalkan ilmu yang mereka pelajari.

Sebahagian para sahabat turut mentafsirkan ‘rabbaniyyun’ sebagai mereka yang bijaksana, berilmu, penyabar, ahli ibadah, dan bertakwa.

Inilah sepatutnya hasil bagi seseorang yang mengikuti petunjuk Allah swt dan meneladani jejak para nabi, bukan menjadi penunggang agama yang mempergunakan ilmu untuk menipu orang lain atau memonopoli kuasa.

Dengan mengajar orang lain, mengulangkaji Al-Quran dan sunah, serta mengamalkan ilmu, seseorang itu menjadi rabbani kerana ilmu, amal, dan penyebarannya ialah asas kebahagiaan dan kekuatan iman.

Seperti sabda Baginda: “Janganlah kamu menuntut ilmu untuk bermegah-megah di hadapan para ulama, atau untuk berdebat dengan orang jahil, atau untuk menarik perhatian manusia kepada dirimu. Sesiapa yang melakukan demikian, maka tempatnya adalah di neraka.” (HR Tirmizi)

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg