TAFSIR SURAH ALI IMRAN
Surah Ali Imran ayat 71 hingga 77 menyentuh tentang beberapa keburukan yang dilakukan oleh segelintir ahli kitab pada zaman Nabi Muhammad saw.
Allah menyatakan bahawa mereka menyembunyikan kebenaran dan mencampuradukkan kebenaran dengan kepalsuan semata-mata untuk memperoleh keuntungan duniawi.
Dalam ayat-ayat ini juga, Allah menekankan kepentingan amanah, kerana umat sebelum kita telah mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka, walaupun mereka terdiri daripada tokoh agama.
Allah swt berfirman pada ayat ke-75:
“Dan di antara ahli kitab itu, ada orang yang jika engkau amanahkan menyimpan sejumlah besar harta, dia akan mengembalikannya kepadamu. Tetapi ada juga yang jika engkau amanahkan menyimpan satu dinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali jika engkau selalu menuntutnya.”
Memegang amanah adalah satu tuntutan besar dalam agama, sehingga Allah mengancam sesiapa yang mengkhianati janji dan amanah mereka.
Dalam surah Ar-Ra’d ayat 25, Allah berfirman:
“Dan orang-orang yang memutuskan perjanjian Allah setelah diteguhkan, dan memutuskan apa
yang disuruh Allah agar disambung, serta mereka membuat kerosakan di muka bumi — mereka itulah yang mendapat laknat, dan mereka pula beroleh balasan hari akhirat yang seburuk-buruknya.”
Amanah melambangkan kejujuran dan keimanan seseorang individu.
Seseorang yang benar-benar percaya kepada Allah dan hari akhirat tidak akan menipu atau mengkhianati manusia.
Justeru, Nabi saw menyebut bahawa antara tanda orang munafik ialah mereka yang mengkhianati amanah.
Ini kerana sifat seorang munafik ialah menampilkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang ada dalam hati, iaitu inti menjadi seorang pembohong.
Ayat ini juga menekankan betapa beratnya amanah dalam hal kewangan.
Sesiapa yang memegang jumlah wang yang besar sentiasa terdedah kepada tuduhan, serta risiko untuk menipu.
Atas sebab ini, Rasulullah saw banyak mengingatkan tentang pentingnya amanah dalam urusan kewangan dan jual beli, kerana ia merupakan pintu kepada memakan harta manusia dengan kebatilan (tidak jujur), jika tidak dijaga.
Sebagai contoh, sabdanya:
“Dua orang yang berjual beli mempunyai hak untuk memilih (sama ada meneruskan atau membatalkan jual beli) selagi mereka belum berpisah. Jika kedua-duanya berkata benar dan menjelaskan (keadaan barang tersebut), maka diberkati jual beli mereka. Tetapi jika mereka menyembunyikan (kekurangan barang tersebut) dan berdusta, maka keberkatan jual beli itu akan dihapuskan.” (HR Bukhari).
Akhir sekali, ayat ini juga mengajar kita agar tidak menghukum satu kaum secara menyeluruh.
Allah dengan jelas menyebut bahawa dalam kalangan ahli kitab terdapat mereka yang jujur dan memegang amanah.
Ini menunjukkan keadilan Islam yang sentiasa menyeru umatnya supaya berlaku adil dalam membuat penilaian dan mengelakkan diskriminasi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg