Jadikan 10 malam terakhir Ramadan ‘madrasah rohani’ seisi keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jadikan 10 malam terakhir Ramadan ‘madrasah rohani’ seisi keluarga

Mar 13, 2026 | 5:30 AM

Jadikan 10 malam terakhir Ramadan ‘madrasah rohani’ seisi keluarga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
qiamullail, ramadan, keluarga, lailatulqadar
Ramadan bukan hanya ruang memperbaiki hubungan dengan Allah swt, bahkan peluang mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui ibadah yang dilaksanakan bersama. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar, ia adalah sebuah ‘madrasah’ bagi setiap Muslim untuk mendidik jiwa.

Kini, kita berada pada 10 malam terakhir yang merupakan malam terbaik di dunia, dengan adanya lailatulqadar yang menjanjikan ganjaran lebih baik daripada 1,000 bulan.

Allah swt berfirman dalam Surah Al-Qadr, ayat 3:

“Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Baginda saw juga menyatakan sesiapa yang menghidupkan malam itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah swt, akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu.

Kali ini, malam terakhir Ramadan juga bertepatan dengan cuti sekolah Mac, ketika anak-anak berada di rumah hampir sepanjang masa.

Keadaan ini menuntut kebijaksanaan dan kesedaran yang lebih tinggi daripada ibu bapa dalam mengurus masa, tenaga dan suasana rumah.

Bagaimanapun, cabaran sering muncul apabila ibu bapa lebih mementingkan salah satu daripada dua perkara.

Pertama, ibadah bersendirian, yang tanpa sedar mengabaikan pembinaan pengalaman rohani bersama anak-anak.

Kedua, kesibukan persiapan Aidilfitri dan bazar Ramadan yang sedikit demi sedikit menjauhkan kita daripada matlamat yang sebenar.

Teladani sunah Nabi pada 10 malam terakhir

Rasulullah saw memberi contoh keseimbangan yang sempurna antara meningkatkan ibadah kepada Allah swt dengan tanggungjawab Baginda sebagai ketua keluarga.

Walaupun Baginda mendirikan solat malam dan beriktikaf – khususnya pada 10 malam terakhir Ramadan – Baginda tidak mengasingkan diri daripada keluarga mahupun mengabaikan peranannya di rumah.

Sebaliknya, Baginda saw mewujudkan suasana beribadah secara bersama.

Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, Sayidatina Aisyah ra menceritakan Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir Ramadan melebihi kesungguhan Baginda pada malam-malam yang lain.

Baginda saw turut membangunkan anggota keluarganya untuk sama-sama menghidupkan malam tersebut.

Hal ini selari dengan kata-kata Imam Sufyan al-Thawri: “Yang lebih aku sukai apabila memasuki 10 malam terakhir adalah seseorang itu bertahajud pada malam hari, bersungguh-sungguh padanya, serta membangunkan anggota keluarga dan anak-anaknya untuk solat jika mereka mampu.”

Ini bertepatan dengan apa yang telah diriwayatkan, bahawa Baginda saw pernah mengetuk pintu Sayidatina Fatimah dan Sayidina Ali pada waktu malam, lalu bersabda: “Tidakkah kamu berdua bangun untuk menunaikan solat?” (HR Bukhari).

Ramadan peluang perkukuh institusi keluarga

Ramadan bukan hanya ruang untuk memperbaiki hubungan dengan Allah swt, bahkan peluang mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui ibadah yang dilaksanakan bersama.

Ibadah di penghujung Ramadan tidak seharusnya dilihat sebagai urusan individu semata-mata.

Seorang ayah dan begitu juga seorang ibu, tidak seharusnya ‘hanyut’ dalam ibadah bersendirian di masjid atau ‘tenggelam’ dalam kesibukan perbelanjaan Hari Raya, sementara anak dibiarkan tanpa arah dan bimbingan.

Sebaliknya, anak wajar dilatih dan diajak untuk bangun malam, walaupun hanya menunaikan beberapa rakaat, agar benih takwa dapat disemai sejak usia kecil.

Jika ibu bapa berniat beriktikaf di masjid, sertakan anak sebagai sebahagian daripada perjalanan ibadah itu dan ajak mereka beriktikaf bersama.

Melalui cara ini, anak dapat berasa 10 malam terakhir itu sungguh berbeza, bahawa ia menuntut kesungguhan dan harapan yang lebih tinggi kepada keampunan Allah swt.

Di rumah pula, ibu bapa boleh menzahirkan kesungguhan tersebut melalui teladan dan kebersamaan.

Bagi anak yang sudah remaja, peluang mengimamkan solat di rumah wajar diberikan agar mereka menjadi imam bagi keluarga pada masa hadapan.

Masa ini juga sesuai untuk menjelaskan kepada mereka apakah sebenarnya maksud lailatulqadar dan mengapa malam itu amat wajar dihidupkan dengan sepenuh hati.

Dengan mewujudkan suasana ibadah seperti ini, usaha memburu lailatulqadar akan menjadi satu ‘pengembaraan’ yang bermakna buat seisi keluarga.

Anak mungkin belum memahami sepenuhnya nilai malam tersebut, namun mereka akan mengingati Ramadan adalah musim istimewa yang mengukuhkan ikatan keluarga.

Bina daya tahan emosi, jati diri melalui kasih sayang

Pakar psikologi menegaskan kebersamaan pada 10 malam terakhir Ramadan bersama anak seperti sahur bersama, sesi tadabbur (menghayati) Al-Quran dan solat berjemaah bukan sekadar pengisian waktu, bahkan menjadi asas penting dalam membina daya ketahanan emosi anak.

Kaunselor keluarga, Dr Idris Hassan, menjelaskan suasana tenang, santun dan penuh kasih sayang yang dipamerkan ibu bapa ketika beribadah pada waktu malam akan membentuk memori rasa aman dan selamat yang terpahat lama dalam jiwa anak-anak.

Menurut beliau, ibu bapa bukan sekadar mengajar rukun solat, malah menghubungkan agama dengan pengalaman emosi yang positif.

Apabila anak-anak melihat ibu bapa kekal sabar, lembut dan penyayang walaupun letih atau mengantuk kerana ibadah, kesan psikologinya jauh lebih mendalam daripada sekadar nasihat lisan.

Kajian turut menunjukkan ibadah yang didirikan bersama keluarga mampu meningkatkan jalinan mesra dan penghargaan dalam diri anak.

Pengalaman manis ini menjadi benteng kukuh ketika mereka berhadapan dengan cabaran kehidupan kelak, sekali gus membentuk jati diri Muslim yang teguh dan bangga dengan identiti agamanya.

Ramadan akan berlalu pergi, namun kesan didikan rohani yang dibina bersama anak mampu kekal dalam ingatan dan jiwa mereka sepanjang hayat.

Maka, manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan sebagai peluang memperkukuh iman dan menanam nilai rohani yang berpanjangan.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg