Artikel ini adalah ringkasan berdasarkan kuliah dan kupasan hadis daripada kitab, ‘300 Hadis Bimbingan’, yang disampaikan oleh mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram. Ia merupakan sebahagian program, ‘Santunan Emas’, di Masjid Al-Muttaqin, di Ang Mo Kio, yang bertujuan menggalak kesejahteraan dalam kalangan warga emas.

Allah swt bersifat Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Pemurah.

Jika Allah swt ingin mengurniakan sesuatu yang baik kepada hamba-Nya, adakah Dia akan menyulitkan jalannya atau memudahkannya?

Sudah tentu Allah swt akan memudahkannya.

Bahkan, dengan segala kemurahan-Nya, Allah swt telah membuka pelbagai jalan dan peluang untuk hamba-Nya meraih syurga.

Sabda Rasulullah saw:

“Syurga itu diliputi perkara yang tidak disukai, manakala neraka diliputi perkara yang selari dengan dorongan syahwat.”

Justeru, yang menjadikan jalan menuju syurga itu terasa sukar dan berat bukanlah kerana Allah swt menyulitkannya, tetapi kerana nafsu dan syahwat yang ada dalam diri kita.

Nafsu, yang merupakan fitrah setiap insan, cenderung menyukai perkara yang menyeronokkan dan indah pada pandangan mata, walaupun akhirnya boleh membawa kepada kebinasaan.

Penawarnya adalah dengan mendidik, mengawal dan menundukkan nafsu agar sentiasa dipandu oleh iman dan petunjuk Allah swt.

Suburkan cinta

Salah satu cara agar nafsu tidak melihat kebaikan sebagai sesuatu yang berat adalah dengan menyuburkan rasa cinta kepada Allah swt.

Seorang suami, kerana cintanya kepada isteri, sanggup melakukan apa sahaja demi menambat hati insan yang disayangi.

Beliau sanggup meredah hujan dan panas, berpenat lelah, bertungkus lumus serta berkorban harta, masa dan tenaga demi meraih kasih sayangnya.

Begitulah juga apabila hati kita dipenuhi cinta kepada Allah swt.

Demi meraih kasih sayang-Nya, apalah sangat penatnya menunaikan solat lima waktu, berlapar sepanjang hari ketika berpuasa, menginfakkan sebahagian harta, atau melawan godaan nafsu dan syahwat.

Semua itu menjadi ringan apabila yang kita dambakan adalah secebis kasih sayang, secarik rahmat dan sehampar keredaan daripada Allah Yang Maha Penyayang.

Apabila cinta kepada Allah swt semakin subur, kita akan mencintai apa yang Allah swt cintai dan membenci apa yang Allah swt benci.

Perintah-Nya menjadi pegangan, larangan-Nya menjadi sempadan, keredaan-Nya menjadi harapan dan kemurkaan-Nya menjadi sesuatu yang kita takuti.

Demikian peranan kita sebagai hamba.

Keutamaan umat Nabi Muhammad

Antara bukti kasih sayang Allah swt adalah Dia mempermudahkan jalan taubat bagi umat Nabi Muhammad saw.

Umat terdahulu menghadapi jalan taubat yang jauh lebih berat.

Sebagai contoh, Bani Israel pada zaman Nabi Musa as yang menyembah patung anak lembu diperintahkan agar sebahagian daripada mereka dibunuh sebagai syarat taubat diterima.

Dalam sesetengah agama dan budaya pula, ada yang menganggap seseorang perlu menyeksa diri, dirantai, dipaku atau dikurung untuk membersihkan dosa.

Namun bagi umat Nabi Muhammad saw, Allah swt menerima taubat hamba-Nya yang benar-benar ikhlas, menyesali dosa yang dilakukan serta bersungguh-sungguh memohon keampunan-Nya. Itulah yang dituntut daripada kita.

Bahkan, Allah swt menyambut taubat hamba-Nya dengan penuh kasih sayang dan kemuliaan.

Tuhan hargai setiap usaha, niat

Allah swt bukan sahaja menilai amalan yang berjaya disempurnakan, bahkan menghargai setiap usaha dan niat yang ikhlas.

Diriwayatkan bahawa seorang sahabat yang bersama Rasulullah saw menunaikan haji telah berniat, berihram dan memulakan perjalanan.

Namun, sebelum sempat menyempurnakan ibadah hajinya, beliau terjatuh daripada tunggangannya lalu meninggal dunia.

Rasulullah saw bersabda:

“Kafankanlah beliau dengan pakaian ihramnya, sesungguhnya Allah akan membangkitkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan bertalbiah.” (HR Bukhari).

Demikian juga firman Allah swt dalam Surah An-Nisaa’, ayat 100:

“Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Betapa luasnya rahmat Allah dapat dilihat melalui cara Allah swt membalas amalan hamba-Nya.

Rasulullah saw bersabda sesiapa yang berniat melakukan kebaikan akan dicatat baginya satu pahala yang sempurna, walaupun belum sempat melaksanakannya.

Jika beliau melakukannya, pahala itu digandakan daripada 10 kali sehingga 700 kali ganda.

Sebaliknya, sesiapa yang berniat melakukan dosa, dosanya tidak terus dicatat sehingga beliau benar-benar melakukannya, dan apabila dilakukan, hanya satu dosa dicatatkan.

Lihatlah bagaimana Allah swt melayani hamba-hamba-Nya.

Ganjaran pahala dilipatgandakan, manakala dosa dicatat pada kadar yang minimum.

Bahkan jika seseorang pernah melakukan dosa tetapi terus beristiqamah dalam ketaatan dan segera bertaubat, dengan keluasan rahmat Allah swt, timbangan pahalanya berpotensi mengatasi dosanya.

Benarlah kata para ulama, jika seseorang masih datang menghadap Allah swt dalam keadaan dosanya mengatasi pahala, maka itu menunjukkan betapa banyak peluang yang telah disia-siakannya.

Orang tua mesti ‘berDUIT’

Ustaz Fatris turut berpesan, apabila meningkat usia, kita mesti sentiasa ‘berDUIT’.

Bukan kerana memiliki banyak simpanan, tetapi kerana sentiasa mempunyai:

D – Doa, jangan sekali-kali putus harapan kepada Allah swt. Sentiasalah memohon segala kebaikan daripada-Nya.

U – Usaha, teruskan beramal dan berusaha mencari keredaan Allah swt selagi hayat masih dikandung badan, walaupun dengan amalan yang kecil.

I – Ikhlas, bersihkan hati daripada sangkaan buruk terhadap Allah swt dan murnikan niat agar setiap amalan dilakukan semata-mata kerana-Nya.

T – Tawakal, serahkan segala urusan kepada ilmu, rahmat dan kasih sayang Allah swt, kerana Dia tidak akan menghampakan hamba yang bergantung harap kepada-Nya.

Kesimpulan

Rasulullah saw turut mengajarkan doa agar hati sentiasa dikurniakan ketakwaan.

Dengan hati yang bertakwa, perintah Allah swt menjadi mudah dilaksanakan dan larangan-Nya mudah dijauhi.

Doanya seperti berikut: “Ya Allah aku ada hati, aku minta agar Engkau berikan hatiku ini takwanya, dan bersihkanlah hatiku ini, Engkaulah Ya Allah sebaik-baik yang mampu membersihkannya, Engkaulah pemilik hatiku dan Engkaulah yang berkuasa ke atasnya.”

Hakikatnya, jalan menuju syurga tidaklah sesukar yang kita sangkakan.

Allah swt telah membuka pintu rahmat-Nya seluas-luasnya dan mempermudahkan jalan bagi hamba-Nya.

Tugas kita ialah menyuburkan harapan terhadap rahmat Allah swt, memperelok sangkaan kepada-Nya, serta terus berusaha melakukan kebaikan dengan penuh keikhlasan.

Mudah-mudahan kita semua dikurniakan keredaan-Nya dan dihimpunkan dalam kalangan ahli syurga, insya-Allah.

Pesan Ustaz Fatris:

Bila dah berkenan terpikat di jiwa
sanggup kembara merentas lautan,
orang beriman tak kenal kecewa
doa dan usaha menjadi pautan.

Nangis Cik Nani sampai jenuh
bisanya di tangan tercucuk jarum,
hatinya murni ikhlasnya penuh
terhadap Tuhan sangkanya harum

Berkelam-kabut mengejar janda
larinya bersungguh sampai terjatuh,
biarlah ribut taufan melanda
tawakalnya teguh tak akan runtuh

Membaca Quran di atas rehal
setiap ayat cantik disaji,
syurga Allah harganya mahal
hendak selamat pasti diuji

Setelah letih mengutip cermai
sekarang pegaga dipotong cermat,
jangan seperti yang disangka ramai
konon ke syurga susahnya amat

Kereta dikilat hilangkan karat
tak sabar menunggu datangnya cuti,
apa yang membuat langkahnya berat
apabila nafsu bersultan di hati

Artikel ini disumbang oleh Masjid Al-Muttaqin.