Seperti masyarakat umum, kehidupan seorang Muslim juga tidak terlepas daripada dosa – sesuatu yang tidak dapat dielakkan sepenuhnya.

Manusia diciptakan dengan kelemahan dan nafsu, dan sering kali tersilap langkah dalam menunaikan tanggungjawab terhadap Allah swt.

Namun, kasih sayang dan rahmat Allah swt begitu luas sehingga Dia menyediakan pelbagai cara untuk hamba-Nya menebus dan membersihkan diri daripada dosa.

Salah satu konsep yang indah dalam Islam berkaitan hal ini ialah kafarah.

Firman Allah swt dalam Surah An-Nisa’ ayat 31:

Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kecil kamu dan Kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga).”

Ayat ini menjelaskan konsep kafarah, iaitu bahawa bagi mereka yang menjauhi dosa-dosa besar, Allah swt akan menghapuskan dosa-dosa kecil mereka.

Para ulama menerangkan bahawa kafarah bermaksud keadaan apabila Allah swt menghapuskan dosa-dosa hamba-Nya serta menjauhkan mereka daripada akibat buruk dosa tersebut melalui pelbagai cara dan keadaan yang ditetapkan oleh-Nya.

Namun, penting untuk difahami bahawa kafarah hanya berfungsi bagi dosa-dosa kecil, manakala dosa besar memerlukan taubat nasuha yang sebenar agar diampuni.

Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah saw:

Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, dan Ramadan ke Ramadan merupakan kafarah (penghapus dosa) bagi dosa-dosa yang dilakukan antara keduanya, selama seseorang menjauhi dosa besar.” (Riwayat Muslim).

Maka, antara syarat utama bagi seorang hamba untuk memperoleh kafarah bagi dosa-dosa kecilnya adalah dengan meninggalkan dosa-dosa besar.

Bertaubat dan istighfar

Allah swt berfirman dalam Surah At-Tahrim ayat 8:

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya (taubat nasuha).

Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.”

Ayat ini menjelaskan bahawa taubat merupakan sebab utama terhapusnya dosa dan berlakunya kafarah.

Para ulama menyebut bahawa taubat yang sahih memerlukan tiga syarat utama, iaitu:

* Pertama, rasa menyesal terhadap dosa yang telah dilakukan;

* Kedua, meninggalkan perbuatan dosa itu serta-merta;

* Ketiga, berazam untuk tidak mengulanginya lagi pada masa akan datang.

Sekiranya dosa itu melibatkan hak manusia, maka ditambah satu lagi syarat, iaitu memulangkan hak tersebut atau meminta keampunan daripada orang yang telah dizalimi.

Begitu juga, taubat yang benar tidak akan sempurna tanpa istighfar.

Rasulullah saw sendiri, walaupun maksum iaitu terpelihara daripada dosa, beristighfar lebih daripada tujuh puluh kali sehari.

Hal ini menunjukkan bahawa taubat adalah gabungan antara rasa menyesal dengan tekad untuk berhenti daripada dosa; manakala istighfar pula merupakan doa dan pengakuan seorang hamba yang memohon keampunan daripada Allah swt, dan kedua-duanya saling melengkapi.

Apabila seseorang bertaubat dan memperbanyakkan istighfar, beliau telah melengkapkan sebab untuk Allah swt menghapuskan dosanya.

Amalan soleh penghapus dosa

Selain taubat dan istighfar, amalan soleh juga menjadi sebab kafarah yang besar.

Allah swt berfirman dalam Surah Hud ayat 114: “Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik menghapuskan (dosa-dosa) yang buruk.”

Setiap kebaikan yang dilakukan oleh seorang mukmin bukan sekadar menambah pahala, bahkan juga menjadi alat penyucian bagi dosa-dosa kecil yang dilakukan tanpa disedari.

Inilah tanda keluasan rahmat Allah swt, apabila setiap langkah menuju kebaikan menjadi peluang untuk menghapuskan dosa.

Antara amalan yang menjadi sebab kafarah ialah berzikir selepas solat, iaitu bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali setiap satu.

Selain itu, Rasulullah saw juga bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu sesuatu yang dengannya Allah menghapuskan dosa dan meninggikan darjat?

Para sahabat menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”

Baginda bersabda: “Menyempurnakan wuduk (isbagh al-wudu’) dalam keadaan yang sukar, memperbanyak langkah menuju ke masjid, dan menunggu solat selepas solat.” HR Muslim.

Begitu juga, amalan seperti berpuasa pada hari Asyura dan hari Arafah dapat menghapuskan dosa-dosa setahun lalu dan yang akan datang.

Amalan seperti itu seharusnya menjadi antara matlamat utama dalam kehidupan seorang Muslim.

Kita hendaklah berusaha mencari dan mengamalkan lebih banyak ibadah yang disebut secara khusus mempunyai kelebihan menghapuskan dosa, serta menjadikannya rutin dalam kehidupan seharian.

Inilah salah satu cara seorang hamba dapat menzahirkan ketekunan dan kesungguhan dalam pelaksanaan amal solehnya.

Musibah dan ujian hidup

Antara bentuk kafarah yang diketahui ramai adalah musibah iaitu ujian yang Allah swt turunkan dalam pelbagai bentuk.

Rasulullah saw bersabda bahawa tidaklah seorang Muslim ditimpa sebarang keletihan, penyakit, kesusahan, kesedihan, gangguan, bahkan duri yang menusuknya di kaki – melainkan Allah swt akan menghapuskan sebahagian dosa-dosanya kerana itu.

Hadis ini membuktikan setiap penderitaan yang dilalui manusia menjadi kafarah.

Namun, harus diketahui bahawa tidak semua musibah datang sebagai hukuman.

Ada ujian yang Allah swt turunkan untuk meningkatkan darjat individu tersebut, sebagaimana para Nabi dan sahabat diuji dengan kesusahan yang berat tetapi akhirnya diangkat kedudukan mereka di sisi Allah swt.

Musibah juga menjadi tanda bahawa Allah swt masih mempedulikan kita.

Jika dosa tidak ditebus dengan ujian di dunia, mungkin ia akan dituntut di akhirat yang pastinya lebih berat.

Oleh itu, seorang mukmin yang cerdas menghadapi setiap ujian dengan hati terbuka kerana dia mengakui ujian boleh menjadi pembersih dosanya dan mendapatkan martabat yang tinggi di sisi Tuhannya.

Kafarah bukti kasih sayang Allah

Pada satu sisi, konsep kafarah mengingatkan kita agar tidak berputus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah swt.

Tidak ada dosa yang terlalu besar untuk diampunkan jika seseorang benar-benar kembali kepada-Nya dengan hati ikhlas dan taubat yang tulus.

Namun, pada masa yang sama, kafarah juga menjadi peringatan agar kita tidak berasa terlalu selamat hingga leka dan berani melakukan dosa dengan alasan bahawa, Allah Maha Pengampun.

Seorang mukmin yang bijak juga mempunyai dua perasaan iaitu harapan dan takut.

Harapan mendorongnya untuk terus bertaubat, memperbaiki diri, dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah swt, manakala rasa takut terhadap azab dan kemurkaan Allah swt menahannya daripada mengulangi dosa yang sama.

Hidup seorang mukmin memang tidak akan terlepas daripada kesilapan, namun pada masa yang sama, ia juga tidak pernah sunyi daripada peluang untuk diampuni.

Sesungguhnya, pintu rahmat Allah swt sentiasa terbuka luas, namun hanya mereka yang sudi mengetuk dan melangkah masuk akan dijemput oleh Tuan Rumah Yang Maha Pengasih.

Adapun mereka yang enggan mendekati pintu itu, maka merekalah yang menutup peluang untuk mendapat keampunan dengan kelalaian mereka sendiri.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan