Terap nilai Islam dalam dunia siber

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Terap nilai Islam dalam dunia siber

Oct 24, 2025 | 5:30 AM

Terap nilai Islam dalam dunia siber

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
media sosial, islam
Media sosial bukan sekadar hiburan, malah membentuk nilai dan amalan. Seorang Muslim perlu menapis kandungan, menjaga maruah dan memastikan perkongsian selari dengan akhlak Islam agar ia menjadi medan kebaikan. - Foto hiasan PIXABAY

Dalam era digital masa kini, kegiatan menatal (scroll) kandungan media sosial menjadi rutin harian ramai.

Video pendek yang lucu, hantaran bergambar di kumpulan WhatsApp dan sketsa menghiburkan bukan sahaja mencorakkan cara kita meluangkan masa, malah kandungan tersebut secara perlahan mampu membentuk persepsi dan nilai kita sebagai individu.

Maka Islam melakarkan garis panduan dalam menilai dan mengurus setiap kandungan yang dilihat di media sosial supaya kita tidak menjadi seperti kain basah yang hanya menyerap tanpa menilai.

Al-Quran menggambarkan seorang Mukmin sebagai individu yang memilih dalam penerimaan maklumat.

Firman Allah swt dalam Surah Az-Zumar, ayat 17 dan 18:

“Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hamba-Ku yang mendengar perkataan lalu mengikuti apa yang terbaik daripadanya.”

Ayat ini menjelaskan bukan semua yang didengar atau dilihat oleh seorang yang mempunyai keimanan wajar diterima atau disebarkan.

Penapisan dan pemilihan kandungan berdasarkan kebaikan merupakan sifat terpuji dalam pandangan Islam.

Hiburan tanpa hina

Salah satu bentuk jenaka yang sering dimuat naik di media sosial ialah sketsa pendek, dengan pelakon melakonkan situasi tertentu untuk tujuan hiburan atau menyampaikan mesej sosial.

Ia merupakan cara pintar untuk menyampaikan pandangan melalui lakonan sambil menghiburkan penonton.

Walau bagaimanapun, seorang Mukmin harus sentiasa peka bahawa sketsa yang mempersendakan agama, memperlekeh perkara ghaib seperti syurga dan neraka, atau mengandungi unsur lucah dan kesat adalah bertentangan dengan nilai agama serta tidak wajar diberi sokongan.

Dalam Surah At-Taubah, ayat 65 dan 66, Allah swt menegur golongan Munafik yang menjadikan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya sebagai bahan ejekan.

Kita juga dapat melihat trend yang menjadikan golongan kurang upaya sebagai bahan lawak dalam video media sosial, sehingga kekurangan mereka dijadikan bahan ketawa.

Pendedahan yang berulangan terhadap hiburan seperti itu boleh membentuk sikap tidak prihatin terhadap penderitaan orang lain.

Al-Quran dengan tegas melarang penghinaan sesama manusia, sebagaimana firman Allah swt dalam Surah Al-Hujurat, ayat 11:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka.”

Maka, walaupun kita dibenarkan untuk menikmati kandungan yang menghiburkan dan lucu di media sosial, kita juga perlu mempunyai batas dalam menentukan apakah yang boleh dianggap sebagai jenaka dan apakah yang perlu dielakkan.

Tanggungjawab dalam talian

Media sosial turut menyaksikan peningkatan dalam kalangan pengguna yang mendedahkan pelbagai perkara yang dianggap aneh melalui rakaman video dan menyebarkannya secara meluas.

Ada kalanya, sebahagian video itu bertujuan menunjukkan kepada masyarakat tentang perlakuan tidak beradab di tempat awam – seperti tingkah laku kasar, kenyataan berunsur kekerasan dan kegiatan tidak bertamadun – sebagai bentuk pendidikan dan peringatan agar masyarakat tidak menirunya.

Namun sempadan antara teguran dengan pendedahan kadangkala menjadi kabur.

Ramai yang cenderung merakam orang lain secara senyap, dengan alasan ia berlaku di tempat awam.

Walaupun alasan tersebut kelihatan logik, kita sebagai penonton harus menilai dan mengambil video itu sekadar pengajaran, bukan bahan hiburan atau aib untuk dikongsi.

Ini tidak bermakna kita digalakkan merakam orang lain sesuka hati, kerana perbuatan itu termasuk dalam amalan tajassus (mengintip).

Larangan terhadap tajassus disebut secara jelas dalam Surah Al-Hujurat, ayat 12, yang menunjukkan betapa seriusnya perkara itu dalam Islam.

Qatadah, seorang ulama tabiin, menjelaskan tajassus bermaksud mencari-cari kesalahan dan berusaha membongkar rahsia orang lain.

Apabila sesuatu perbuatan rakaman mencapai tahap itu, di situlah batas perlu ditetapkan.

Kita harus melihat video sebegitu hanya sebagai pengajaran untuk diri sendiri supaya kita tidak melakukannya di medan awam.

Jika ia menyingkap aib orang lain, kita wajib mengelak menyebarkannya, apatah lagi jika mudaratnya melebihi manfaatnya.

Jaga maruah di media sosial

Trend tular juga wajar diteliti secara kritikal.

Tidak semua yang popular itu selari dengan nilai Islam.

Terdapat banyak trend yang mempromosikan pendedahan aurat, hubungan tidak sah, atau perlakuan yang melanggar batas moral.

Firman Allah swt dalam Surah Al-An‘am, ayat 116:

“Jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah.”

Prinsip ini mendidik umat Islam agar bersikap memilih dan tidak mengikut arus secara membuta tuli.

Ramai dalam kalangan anak muda terpesona dengan trend lucu yang tular di media sosial.

Mereka menirunya tanpa berfikir panjang, dengan berani mendedahkan aurat dan aib sendiri hanya untuk mendapatkan pengikut serta ingin kekal relevan dengan trend semasa.

Ada juga yang sanggup mengganggu ketenteraman awam semata-mata untuk mencipta kandungan sedemikian.

Seorang Muslim seharusnya melihat dirinya dengan nilai dan maruah.

Jangan biarkan trend tidak bermoral menentukan siapa diri kita dan jangan berasa tersisih hanya kerana tidak mengikutinya.

Bayangkan apabila seseorang semakin berusia atau meninggal dunia, namun video memalukan yang pernah dimuat naiknya masih kekal dalam talian untuk tatapan umum.

Sebagai kesimpulan, media sosial bukan sekadar ruang hiburan, malah ruang pembentukan nilai, pemikiran dan amalan.

Al-Quran memberi panduan jelas tentang keperluan menyaring maklumat, menjaga maruah, memelihara lidah dan membuat pilihan dengan bijaksana.

Seorang Muslim harus menegakkan prinsip dan moral dalam setiap interaksi serta penggunaan ruang siber agar ia menjadi medan kebaikan, bukan sumber kemudaratan.

Justeru, kita harus sentiasa kembali kepada nilai yang diajarkan Al-Quran untuk membina masyarakat yang celik teknologi dan celik rohani.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg