Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keberkatan di sebalik setiap majlis kahwin

Bukan sekadar perayaan, namun peluang raih berkat melalui sunah, niat ikhlas
Oct 10, 2025 | 5:30 AM
perkahwinan, romm, bersamamu, wedding
Keberkatan majlis perkahwinan bukan hanya terletak pada kemeriahan sambutan, malah melalui niat ikhlas, memelihara adab dan menjauhi perkara yang dilarang, agar doa dan restu tetamu membawa kebaikan berpanjangan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO
Penulis, Ustaz Syakir Pasuni.
Penulis, Ustaz Syakir Pasuni. - Foto ihsan SYAKIR PASUNI

Majlis perkahwinan adalah acara penuh makna dalam kehidupan setiap individu.

Ia bukan sahaja upacara menghalalkan ikatan percintaan antara dua kekasih, bahkan menjadi penyaksian jalinan sebuah ikatan suci yang dianjur agama.

Perkahwinan dalam Islam adalah dasar bagi keharmonian dan kerukunan bukan sahaja sesebuah keluarga, bahkan seluruh masyarakat dan umat.

Oleh itu, mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga seharusnya mempunyai pemahaman terhadap etos ini di sebalik majlis perkahwinan.

Dalam konteks ini, perkahwinan yang diberkati adalah harapan utama setiap pasangan.

Mereka ingin agar rumah tangga yang dibina menjadi kenangan manis bukan sahaja pada hari muka, bahkan mekar bahagia hingga ke anak cucu.

Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga menurut kebiasaan, lebih menumpukan perhatian pada persiapan majlis perkahwinan itu sendiri.

Ini kerana terkesan dengan norma masyarakat dan cetusan hati dilamun cinta yang membayangkan kebahagiaan sebagai episod manis yang suatu hari nanti mengukir senyuman apabila dikenang.

Dalam masa yang sama, ada juga yang terlepas pandang matlamat di sebalik majlis perkahwinan.

Sayangnya, kerana tumpuan yang lebih besar diberikan kepada perayaan dan sambutan, pasangan sering kali tidak bersedia sepenuhnya dalam menghadapi cabaran dan komitmen yang datang seiring perkahwinan.

Mereka lebih menumpukan perhatian kepada perayaan sementara daripada menghadapi realiti kehidupan perkahwinan yang lebih kompleks dan berterusan.

Namun tulisan ini hanya ingin memberi tumpuan kepada satu unsur penting dalam majlis perkahwinan, iaitu keberkatan yang diharapkan.

Fahami makna keberkatan

Keberkatan biasanya difahami sebagai sesuatu yang sedikit tetapi membawa kebaikan yang banyak.

Ini seperti pekerjaan yang gajinya kecil tetapi perbelanjaannya lebih daripada mencukupi.

Ia tidak berbeza dengan maksud keberkatan sepertimana yang dikupas ulama dalam banyak tafsiran ayat dan hadis akan keberkatan, iaitu sesuatu kebaikan yang berterusan dan berkembang.

Untuk memahami lebih lanjut makna keberkatan, kita boleh melihat kepada sabda Baginda Nabi Muhammad saw yang bermaksud:

“Makanlah sahur, kerana sesungguhnya di dalam makan sahur itu terdapat keberkatan.” (HR Bukhari).

Imam Nawawi mensyarahkan bahawa keberkatan di sini boleh membawa maksud bertambahnya kekuatan tubuh badan, yang seterusnya menjadi sebab kepada kesempurnaan ibadah puasa.

Dalam konteks perkahwinan, rumah tangga yang diberkati mengandungi makna hubungan yang dibina berdasarkan kasih sayang yang tulus, ketakwaan dan kesetiaan.

Sesuai firman Allah swt di dalam Surah Ar-Rum, ayat 21, yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan hidup daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu mendapat ketenangan hati kepadanya, dan Dia menjadikan di antara kamu rasa kasih dan sayang.”

Oleh itu, seharusnya pasangan yang mengharapkan rumah tangga yang diberkati memastikan agar setiap aspek berkaitan persiapan perkahwinan mereka disulam dengan harapan berkat dan ikhtiar mendapat keredaan Allah swt.

Di sini kita dapat melihat kepentingan mengusahakan majlis perkahwinan yang diberkati.

Sunah majlis kahwin

Dalam Islam, majlis perkahwinan juga dikenali sebagai ‘walimatulurus’ atau ‘jemputan’, yang berasal daripada perkataan ‘walimah’.

Istilah itu digunakan oleh Rasulullah saw ketika memberi panduan bahawa selepas sempurnanya akad nikah, para tetamu hendaklah dijamu, walaupun hanya dengan seekor kambing atau sekadarnya.

Ini menunjukkan bahawa perbuatan walimah adalah sebahagian daripada sunah.

Maka, selagi mana terdapat majlis yang menjamu tetamu, terlaksanalah sunah walimah.

Majlis perkahwinan masyarakat kita sering dilengkapi dengan pelbagai upacara dan tradisi yang meriah, namun inti pati yang paling utama adalah keberkatan yang diinginkan oleh pasangan pengantin.

Ia bukan sekadar acara sosial, bahkan lebih kepada satu permintaan doa dan harapan agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia, penuh kasih sayang dan mendapat keberkatan.

Tetamu yang datang menjamu selera bukanlah sekadar mengisi tempat kosong, malah berperanan mendoakan keberkatan bagi pasangan seperti berikut:

Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaykuma wa jama’a baynakuma fi khayr, yang bermaksud semoga Allah swt menganugerahkan keberkatan yang menyeluruh kepadamu, dan semoga Allah swt menghimpun kalian berdua dalam kebaikan.

Langkah jamin keberkatan

Berikut adalah antara perkara yang boleh diperhatikan agar menjadi punca keberkatan:

1) Jaga niat

Hendaklah pihak yang mendirikan majlis mengikhlaskan hati agar niat suci melahirkan kegembiraan tidak tercemar dengan keinginan menunjuk-nunjuk, atau mengharapkan pemberian daripada tetamu untuk menampung kos perbelanjaan majlis.

2) Hindari suasana maksiat

Setiap yang hadir – daripada penganjur sehingga deejay sekalipun – hendaklah memainkan peranan dalam memastikan tiada perkara sumbang berlaku, seperti menari di tengah khalayak ramai atau mengabaikan tatasusila masyarakat.

Majlis dianjurkan bagi menzahirkan kegembiraan, namun hendaklah sentiasa selaras dengan panduan agama, supaya keberkatan yang diharapkan tidak berubah menjadi kemurkaan.

Ini termasuk mengumumkan masuknya waktu solat, peringatan waktu solat hampir berakhir dan menyediakan ruang solat.

Kesimpulan

Majlis perkahwinan bukan sekadar perayaan, bahkan satu peluang untuk memulakan hidup baru dengan satu permulaan yang indah, mengamalkan sunah serta mengharapkan keberkatan daripada majlis.

Oleh itu, pasangan pengantin hendaklah berusaha memastikan setiap langkah persiapan perkahwinan mereka selaras dengan syariat, agar rumah tangga yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg