Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesederhanaan kunci keberkatan majlis kahwin

Rancang berlandas ilmu agar keputusan dibuat selaras prinsip syariah
Sep 26, 2025 | 5:30 AM
kahwin, bersamamu, romm
Perancangan yang bijak, berlandaskan ilmu dan kesederhanaan menjadikan majlis perkahwinan lebih bermakna, mengurangkan tekanan, serta menguatkan kasih sayang antara pasangan, keluarga dengan tetamu. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Perancangan berlandaskan ilmu akan menjadikan setiap keputusan yang dibuat lebih terarah dan bermakna.

Ia membantu kita mengenal pasti keutamaan, mengelakkan pembaziran dan memastikan setiap aspek perkahwinan dirancang dengan teliti dan rasional.

Majlis yang dirancang secara bijaksana bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan, malah menjadikannya lebih bermakna serta membawa keberkatan dalam memulakan fasa kehidupan baru sebagai suami isteri.

Bagi masyarakat Melayu Islam di Singapura, perkahwinan adalah salah satu peristiwa penting dalam kehidupan.

Selain menjadi detik penyatuan dua individu dan keluarga, ia juga melibatkan aspek tradisi, budaya dan agama.

Namun, persoalannya adalah adakah perkahwinan kita hari ini lebih menitikberatkan keperluan atau kehendak?

Apakah sebenarnya yang menjadi keutamaan dalam sesebuah majlis perkahwinan?

Adakah lokasi majlis yang mewah? Undangan yang ramai? Pilihan makanan yang pelbagai? Busana pakaian pengantin yang cantik? Atau acara persembahan yang meriah?

Pertanyaan ini penting untuk kita renungkan kerana salah membuat keutamaan boleh membawa kepada pembaziran dan tekanan kewangan.

Keperluan dalam perkahwinan

Dalam Islam, asas perkahwinan terletak pada pelaksanaan akad nikah yang sah.

Unsur penting seperti wali, saksi, mahar dan ijab kabul adalah rukun dan syarat yang wajib dipenuhi.

Perkara ini menjadi asas utama kepada perkahwinan yang sah di sisi syariat.

Sebagai contoh, mahar (mas kahwin) merupakan hak isteri yang melambangkan tanggungjawab suami terhadap keluarganya.

Dalam konteks masyarakat Singapura, nilai mas kahwin sering disesuaikan mengikut kemampuan pasangan, menepati prinsip Islam yang menekankan kemudahan dan kesederhanaan.

Selain itu, keutamaan selepas perkahwinan ialah membina kehidupan yang stabil dan bahagia.

Memahami serta melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri amat penting untuk memastikan keharmonian dan keberlangsungan rumah tangga.

Kehendak yang perlu diimbangi

Namun, majlis perkahwinan hari ini ada kalanya melebihi keperluan, dengan tumpuan berlebihan kepada kehendak sehingga kerap membebankan.

Terdapat pasangan yang berasa perlu mengadakan majlis besar-besaran, dengan hiasan mewah, jemputan yang ramai dan perkara yang memerlukan belanja tinggi.

Menurut anggaran, kos majlis perkahwinan sederhana di Singapura boleh mencecah sekitar $20,000 hingga $50,000, termasuk sewa dewan, katering, pakaian pengantin dan fotografi.

Jumlah itu boleh meningkat jika pasangan memilih tambahan seperti hiasan mewah atau lokasi eksklusif.

Apakah kos sebegini tinggi benar-benar diperlukan? Atau adakah ia semata-mata untuk memenuhi jangkaan masyarakat dan mendapatkan pengiktirafan di media sosial?

Pertanyaan seperti ini perlu difikirkan oleh pasangan agar mereka tidak terjebak dalam pembaziran.

Pandangan Islam terhadap kesederhanaan

Islam menggalakkan kesederhanaan dalam perkahwinan.

Rasulullah saw bersabda: “Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah (dan paling sedikit bebannya).” (HR Abu Dawud).

Kesederhanaan bukan bermaksud mengurangkan nilai perkahwinan, tetapi mengutamakan apa yang benar-benar penting.

Ia membantu pasangan menumpukan perhatian kepada matlamat sebenar perkahwinan, iaitu membina keluarga yang dirahmati Allah swt.

Majlis perkahwinan yang bermakna tidak semestinya besar, mewah, atau penuh dengan perkara yang memerlukan belanja tinggi.

Apa yang lebih penting adalah nilai yang ingin disampaikan serta pengalaman atau kenangan yang dapat dikongsi oleh pasangan, keluarga dan setiap tetamu yang hadir.

Majlis yang bermakna boleh bermula dengan menyematkan niat yang betul.

Beri tumpuan kepada aspek yang mencerminkan nilai Islam seperti keberkatan, kasih sayang dan silaturahim.

Contohnya, sebuah majlis kecil yang penuh dengan suasana harmoni dan penghargaan kepada tetamu lebih bermakna daripada majlis besar yang terlalu sibuk sehingga hubungan dengan tetamu terabai.

Pasangan juga boleh memilih untuk mengadakan majlis berskala kecil yang lebih intim, dengan hanya melibatkan keluarga dan sahabat rapat.

Ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membolehkan pasangan meluangkan lebih banyak masa bermutu bersama insan yang tersayang.

Di samping itu, amalan seperti ucapan penghargaan kepada ibu bapa, doa bersama, atau perkongsian pengalaman pasangan tentang perjalanan cinta mereka boleh menambah nilai sentimental kepada majlis.

Unsur seperti ini bukan sahaja lebih bermakna, malah menunjukkan keikhlasan dalam meraikan perkahwinan.

Kepentingan ilmu dalam rancang perkahwinan

Perkahwinan yang dirancang berasaskan ilmu dapat membantu pasangan membuat keputusan yang lebih baik dan bijaksana.

Sebagai contoh, dengan menghadiri kursus praperkahwinan, pasangan dapat memahami hak dan tanggungjawab mereka, mempelajari cara mengurus kewangan, serta membina komunikasi yang kukuh.

Ilmu juga membantu pasangan menilai apa yang perlu diutamakan dalam majlis mereka.

Adakah perlu mengundang ribuan tetamu, atau lebih baik mengadakan majlis sederhana yang meriah bersama keluarga dan sahabat rapat?

Dengan ilmu, mereka dapat mengimbangi keperluan agama, kehendak peribadi dan realiti kewangan.

Bagi memastikan majlis perkahwinan memenuhi keperluan dan bukan sekadar kehendak, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan:

• Tetapkan bajet realistik

• Utamakan keberkatan

• Hadkan jemputan

• Berkomunikasi dengan pasangan dan keluarga

• Elakkan terlalu terpengaruh dengan media sosial

Kesederhanaan kunci keberkatan

Majlis perkahwinan adalah detik istimewa yang perlu diraikan, namun ia tidak perlu dibebani dengan kehendak yang melampau.

Dengan perancangan berlandaskan ilmu, majlis perkahwinan dapat menjadi lebih bermakna, mengurangkan tekanan dan membawa keberkatan.

Adakah kebahagiaan rumah tangga datang daripada majlis yang gah? Atau ia sebenarnya terletak pada kasih sayang, tanggungjawab dan keberkatan yang dicapai?

Setiap pasangan perlu memikirkan hal ini agar perkahwinan mereka dapat bermula dengan baik, lebih bermakna dan disertai barakah.

Penulis ialah anggota Jawatankuasa Fatwa Singapura di bawah Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan anggota Majlis Tertinggi Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas). Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang falsafah dan psikologi pendidikan daripada Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) – Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hadis tentang kesederhanaan dalam perkahwinan

“Sebaik-baik pernikahan adalah yang paling mudah (dan paling sedikit bebannya).”
– HR Abu Dawud.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg