Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perkahwinan rentas bangsa tuntut kesabaran, komunikasi

Bawa hikmah dalam kepelbagaian, usaha suami isteri penting bagi atasi cabaran budaya
Sep 19, 2025 | 5:30 AM
interracial marriage, perkahwinan rentas bangsa
Keluarga harmoni terbina daripada kasih sayang, komunikasi terbuka dan rasa saling menghormati. Perkahwinan rentas bangsa adalah peluang meraikan perbezaan budaya dan memperkukuh ikatan kekeluargaan. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Perkahwinan rentas bangsa merupakan perkahwinan antara individu yang berasal daripada etnik atau bangsa berbeza.

Contohnya, seseorang daripada etnik Melayu berkahwin dengan individu daripada etnik Cina, India atau bangsa lain.

Perkahwinan rentas bangsa melibatkan gabungan budaya, tradisi dan adat yang pelbagai.

Ini menjadikannya salah satu lambang perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum seperti Singapura.

Namun, perkahwinan melibatkan pasangan yang mempunyai budaya asing dan berbeza membawa cabaran tersendiri.

Cabaran perkahwinan rentas bangsa

Menurut kajian tesis Eksekutif Kanan, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz K.H Majeed Maiden, pada 2022 yang bertajuk, ‘Perceraian Muslim di Singapura: Dalam Kalangan Kumpulan Antara Etnik’, pasangan Muslim rentas bangsa mengalami kadar perceraian yang lebih tinggi berbanding pasangan daripada bangsa yang sama.

Selain isu kewangan dan sikap tidak bertanggungjawab yang menjadi sebab perceraian, isu perbezaan budaya menjadi penyumbang dan punca perceraian dalam kalangan pasangan rentas bangsa.

Sebahagian pasangan rentas bangsa lebih cenderung menekankan perbezaan daripada sudut kebudayaan berbanding etnik.

Kekerapan menerima reaksi negatif daripada keluarga dan masyarakat seterusnya menambah tekanan ke atas mereka.

Tekanan juga boleh timbul daripada perbezaan cara keibubapaan, jangkaan peranan suami isteri, hubungan dengan keluarga besar, serta pilihan sistem kekeluargaan sama ada lebih liberal atau konservatif.

Isu sebegini, jika tidak ditangani dengan baik, boleh membawa kesan buruk kepada perkahwinan.

Perkahwinan rentas bangsa dalam Islam

Jika kita menelusuri sejarah Islam, kita akan mendapati perkahwinan rentas bangsa juga berlaku di antara tokoh Islam yang hebat.

Nabi Muhammad saw sendiri berkahwin dengan seorang wanita yang bukan daripada keturunan Arab, iaitu Safiyyah Binti Huyay.

Safiyyah ialah wanita yang berasal dari suku Bani Nadir, salah satu suku Yahudi yang menetap di Madinah.

Beliau adalah anak perempuan kepada Huyay Bin Akhtab, ketua dan pembesar Bani Nadir.

Selepas peperangan, Safiyyah memeluk Islam dan berkahwin dengan Rasulullah saw.

Walaupun terdapat cabaran kerana asal usulnya yang berbeza, Safiyyah menunjukkan kesetiaan yang tinggi kepada Islam dan Rasulullah saw.

Beliau sering mempertahankan Baginda saw daripada penghinaan yang berkaitan dengan keturunannya.

Selain perkahwinan Rasulullah saw dengan Safiyyah, tokoh Islam yang berkahwin dengan bangsa lain ialah Sayidina Bilal Bin Rabah.

Beliau, yang berketurunan Habsyi, berkahwin dengan Hindun Binti Awf, seorang wanita Arab Quraisy.

Sayidina Zaid Bin Harith yang berketurunan Arab Bani Kalb pula berkahwin dengan Ummu Aiman yang berketurunan Habsyi.

Allah swt berfirman dalam Surah Ar-Rum, ayat 21 hingga 22, yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir. Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah penciptaan langit dan bumi, perbezaan bahasamu dan warna kulitmu. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”

Kelebihan perkahwinan rentas bangsa

Dalam Islam, perkahwinan rentas bangsa bukanlah isu kerana ia tidak melibatkan hukum, malah membawa banyak hikmah dan kebaikan.

Perkahwinan sebegini dapat membantu mengatasi prasangka antara etnik.

Sebagai umat Islam, kita digalakkan menjauhi tanggapan stereotaip atau perspektif yang berpunca daripada sikap perkauman.

Kesempatan itu boleh diambil untuk memperluas hubungan antara keluarga, budaya dengan masyarakat.

Selain itu, perkahwinan rentas bangsa juga berpotensi menyatukan umat Islam sebagai satu keluarga besar.

Daripada sudut biologi pula, perkahwinan antara individu daripada latar belakang genetik berbeza dapat menghasilkan keturunan lebih sihat.

Panduan bagi pasangan rentas bangsa

Seorang yang mempunyai prinsip yang baik mudah menyedari peranan dan tanggungjawabnya setelah berumah tangga.

Komunikasi terbuka dan kejujuran mengenai jangkaan masing-masing juga penting bagi mengelak salah faham.

Selain itu, saling mempelajari, menghormati dan meraikan perbezaan budaya pasangan dengan menyertai kegiatan kebudayaan yang tidak menyentuh isu akidah juga boleh memastikan perkahwinan yang bahagia.

Pasangan rentas bangsa perlu menyedari kepentingan menyesuaikan cara hidup, serta mencari titik harmoni antara budaya masing-masing dengan memberi tumpuan kepada perkara penting seperti komunikasi dan penghayatan agama.

Ini kerana pada akhirnya, tujuan perkahwinan, tidak kira bangsa dan budaya, adalah untuk mendekatkan kita kepada Sang Pencipta Cinta.

Dalam menghadapi cabaran, pasangan kadangkala memerlukan sokongan dan bimbingan.

Melalui program, Bersamamu, pasangan boleh mendapatkan nasihat daripada kadi atau naib kadi mereka, serta perkhidmatan kaunseling perkahwinan yang tersedia.

Mereka tidak perlu rasa malu atau takut untuk menggunakannya.

Ramai yang menyangka kaunseling hanya untuk rumah tangga yang bermasalah, sedangkan hakikatnya ia berperanan seperti makanan tambahan atau vitamin untuk memastikan kelestarian dan keharmonian rumah tangga.

Penulis ialah anggota Asatizah Solace Care. Beliau memiliki Diploma dalam Komunikasi Massa daripada Universiti Murdoch, Perth, Australia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg