Sunah diertikan oleh para ulama sebagai setiap percakapan, perbuatan serta perlakuan Nabi Muhammad saw dalam setiap ruang hidup Baginda.
Bukan sahaja sebagai utusan Allah swt, Baginda juga merupakan ketua negara di Madinah – kota unik di tanah Arab dari sudut kepelbagaian penduduknya.
Keunikan itu menjadi latar bagi sunah yang kurang dihargai oleh masyarakat Islam: Pembangunan negara berbilang bangsa dan agama.
Kota Madinah sebelum diutusnya Nabi Muhammad saw terdiri daripada dua bangsa: Yahudi dan Arab.
Setiap daripada mereka pula terbahagi kepada beberapa suku kaum.
Meskipun bangsa Arab merupakan golongan majoriti, golongan Yahudi menguasai ekonomi kota pada waktu itu kerana kemahiran pertanian yang dimiliki.
Pada umumnya mereka hidup bersama, namun persengketaan sering tercetus di antara suku bangsa Arab (Aws dan Khazraj) yang dihasut oleh sekutu Yahudi masing-masing.
Keberadaan Yahudi di situ telah wujud sekitar 11 kurun sebelum penghijrahan Baginda.
Walaupun mereka hidup bersama di Yathrib, ia bukanlah berdasarkan prinsip saling menghormati atau manfaat bersama.
Sebaliknya, ia dilakukan demi kelangsungan hidup dan pemuliharaan nyawa sahaja.
Walaupun pada hari ini kita sering mengaitkan kota Makkah dan Madinah bersama, kehidupan masyarakat di kededua kota itu sangat berbeza daripada pelbagai sudut.
Masyarakat di Madinah terdiri daripada bangsa Arab dan Yahudi, manakala Makkah dihuni oleh bangsa Arab sahaja.
Ketika ekonomi Madinah dijana bidang pertanian, Makkah lebih terkenal dengan ekonomi berteraskan perdagangan.
Suasana politik Madinah berlangsung dengan dinamik pergelutan kuasa yang berleluasa, sedangkan suasana politik di Makkah stabil di bawah kepimpinan bangsa Quraisy yang digeruni.
Perbezaan masyarakat di kedua-dua kota itu memainkan peranan dalam keterbukaan orang Arab di Madinah menerima dakwah Islam dan menjemput Baginda berhijrah ke sana.
Natijahnya, Islam bertapak kukuh di Madinah dan berkembang ke semenanjung Arab pada zaman Nabi saw.
Tatkala Nabi Muhammad saw diangkat menjadi ketua negara di Madinah, di antara perkara yang dilaksanakan oleh Baginda adalah penggubalan Piagam Madinah atau disebut sebagai Sahifah Madinah.
Piagam tersebut memperkenalkan beberapa dasar yang belum pernah dilihat oleh masyarakat Arab pada waktu itu.
Daripada persetujuan untuk melindungi Madinah daripada anasir luaran yang jahat, hingga jaminan kesaksamaan buat seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.
Walaupun umat Islam merupakan golongan majoriti di Madinah pada waktu itu, dan Nabi Muhammad saw bukan sahaja ketua agama malah pemimpin negara, Baginda tetap memilih untuk meletakkan kerjasama silang kaum sebagai dasar utama pentadbiran Madinah.
Penggubalan Piagam Madinah menunjukkan bahawa kisah pemulauan Yahudi dari Madinah bukan disebabkan perbezaan agama, sebaliknya merupakan tindak balas pengkhianatan mereka terhadap piagam yang telah dipersetujui.
Yahudi daripada golongan Banu Nadhir diusir kerana rancangan mereka untuk membunuh Nabi Muhammad saw, yang telah dimaklumkan kepada Baginda oleh Malaikat Jibril.
Sekiranya perkara sedemikian berlaku pada hari ini, ia pasti akan dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan besar.
Sementara itu, Yahudi daripada golongan Banu Quraizah pula diusir kerana pakatan sulit mereka dengan Quraisy semasa Perang Khandaq, apabila mereka menghasut Quraisy agar mengumpulkan sekutu serta berjanji untuk membuka pintu gerbang Madinah bagi membolehkan mereka masuk.
Kedua-dua perbuatan tersebut, jika berlaku pada hari ini, sudah tentu dianggap sebagai bentuk pengkhianatan terbesar yang boleh dilakukan oleh rakyat terhadap negara sendiri.
Kisah penggubalan Sahifah Madinah menjadi teladan yang terpuji dalam Islam.
Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Barangsiapa yang melakukan kebaikan di dalam Islam, lalu diikuti oleh orang lain sesudah itu, maka baginya (yang melakukan kali pertama) pahala seumpama orang yang melakukannya kemudian.” (HR Muslim).
Hadis di atas menunjukkan seorang Muslim bukan sahaja digalakkan melakukan kebaikan, malah sepatutnya berusaha menjadi yang pertama memulakan kebaikan agar diikuti orang lain.
Kebaikan yang boleh dijadikan teladan tidak terhad kepada perkara besar sahaja.
Setiap daripada kita wajar memainkan peranan untuk menghidupkan sunah yang disebutkan Nabi saw.
Sama ada di sekolah, rumah, atau tempat kerja, kita perlu sentiasa mencari ruang dan peluang untuk melakukan kebaikan, tidak kira sekecil mana pun.
Hari ini, masyarakat Islam di Singapura mempunyai peluang keemasan untuk menghidupkan sunah Nabi Muhammad saw serta memainkan peranan positif dalam pembangunan negara.
Sekiranya kita tidak berada di kedudukan untuk menggubal dasar pembangunan negara seperti yang dilakukan Nabi saw, setidaknya kita harus mengiktiraf dan menyokong dasar yang selari dengan prinsip dan inti pati syariah.
Ingatlah, jika kita mengakui bahawa sunah Nabi saw merangkumi setiap perbuatan, percakapan dan pengiktirafan Baginda, maka sudah sewajarnya kita mengiktiraf bahawa pembangunan negara berdasarkan kerjasama silang bangsa dan agama merupakan sebahagian daripada sunah Baginda.
Marilah kita menjadikan prinsip ini panduan dalam usaha membina masyarakat yang harmoni dan progresif, insya-Allah.
Penulis pendakwah bebas yang berkelulusan ijazah Sarjana Sains (Pengajian Asia) daripada Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU) serta ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau pernah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai Ketua Komunikasi Strategik dan Penglibatan Masyarakat di Masjid En-Naeem.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg