Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Muslim harus bijak manfaatkan dunia media sosial

Beri peluang luas berdakwah dan sebar kebaikan, namun tuntut adab dan kebijaksanaan
Jul 20, 2025 | 5:30 AM
media sosial, muslim
Kemajuan teknologi dan media sosial membuka luas peluang menyebar kebaikan dan meraih pahala, selagi mana ia disertai niat yang ikhlas serta digunakan dengan bijak. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Pada masa kini, urusan harian menjadi semakin mudah hanya dengan menggunakan telefon bimbit.

Boleh dikatakan, setiap individu memerlukan telefon bimbit bagi menjalani serta memenuhi keperluan kehidupan harian.

Hampir semua perkara kini beralih ke arah digital, sama ada untuk mendaftarkan anak ke sekolah, membeli-belah, membayar bil dan sebagainya.

Sebagaimana yang kita maklum, dalam kita meraih manfaat serta peluang melakukan kebaikan melalui kemudahan teknologi, terdapat juga risiko kemudaratan jika ia disalahgunakan.

Niat

Setiap perkara perlu dimulakan dengan niat.

Seperti yang diriwayatkan dalam sebuah hadis:

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsh Umar bin Al-Khaththab ra, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: ‘Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niatnya. Dan setiap orang hanya akan mendapat apa yang diniatkannya. Barang siapa hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa hijrahnya kerana dunia yang ingin diperoleh atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang diniatkannya itu’.” (HR Bukhari dan Muslim).

Dengan meletakkan niat yang baik, bukan sahaja perbuatan kita akan lebih terpandu, malah kita juga akan mendapat ganjaran, keberkatan serta keredaan Allah swt.

Ini termasuk dalam penggunaan media sosial.

Sebelum kita berkongsi sesuatu, kita perlu bertanya pada diri sendiri: apakah tujuan kita berkongsi perkara tersebut?

Kita sedia maklum bahawa apabila sesuatu telah dimuat naik ke media sosial, maklumat atau gambar itu akan tersebar secara meluas.

Oleh itu, penting memastikan perkongsian kita mempunyai niat yang baik dan memberi manfaat.

Sebagai contoh, jika kita berkongsi maklumat tentang kes penipuan dengan niat meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, maka perkongsian tersebut boleh membantu orang lain lebih peka terhadap taktik yang digunakan penipu, seterusnya lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan situasi sebegitu.

Guna wadah dengan bijak

Media sosial pada masa kini menyediakan pelbagai wadah yang membolehkan kita berkongsi perkara bermanfaat dengan cepat dan mudah.

Antara wadah yang sering digunakan termasuk Facebook, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok, YouTube, Threads, X (dahulu Twitter), Snapchat dan banyak lagi.

Setiap wadah mempunyai keunikan tersendiri dalam cara penyebaran maklumat; ada yang lebih sesuai untuk berkongsi gambar dan video pendek, ada yang tertumpu kepada perbincangan mendalam, manakala ada juga yang direka khas untuk membina rangkaian profesional dan kerjaya.

Dengan hanya beberapa sentuhan di hujung jari, kita boleh menyampaikan mesej kepada ribuan, malah jutaan orang dalam sekelip mata.

Namun, sebelum kita tergesa-gesa berkongsi apa-apa maklumat – sama ada dalam bentuk penulisan, gambar, atau video – kita perlu memastikan bahawa kandungan yang ingin dikongsikan adalah benar, sahih dan tidak mengelirukan.

Penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat bukan sahaja boleh menimbulkan kekeliruan dan keburukan, malah boleh menjejaskan reputasi kita sebagai seorang yang dipercayai.

Kita juga perlu memahami bahawa media sosial adalah ruang yang terbuka; apa sahaja yang kita kongsikan boleh tersebar dan diakses oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Teks dan gambar boleh disimpan serta dikongsi semula melalui tangkapan layar, manakala video pula boleh dimuat turun dengan mudah.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim yang ingin menyumbang kepada dakwah dan kebaikan, kita perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap perkongsian.

Gunakan peluang dalam dunia digital ini untuk menghasilkan kandungan yang baik, mendidik, menyebarkan nilai murni, serta memberi manfaat kepada masyarakat, agar setiap usaha kita menjadi amal jariah yang berterusan.

Salur kebaikan dalam talian

Kandungan yang baik tidak semestinya terhad kepada ayat Al-Quran atau hadis.

Yang lebih penting ialah bagaimana kandungan yang kita hasilkan mampu mengajak orang lain untuk melakukan kebaikan, selari dengan ajaran syarak.

Contohnya, menghasilkan kandungan berkaitan pemilihan makanan sihat.

Cara kita memilih makanan memberi kesan besar terhadap gaya hidup; melalui video, kita boleh menerangkan kepentingan memilih makanan bukan sahaja yang halal, tetapi juga toyyib (baik dan berkhasiat).

Setiap individu mempunyai keperluan pemakanan yang berbeza mengikut keadaan kesihatan masing-masing, dan dengan pemilihan yang bijak, kita dapat membina kehidupan yang lebih sihat dan sejahtera.

Topik ini bersifat umum dan dekat dengan kehidupan seharian, menjadikannya sesuai untuk dikongsikan di semua platform media sosial.

Apabila ada yang mengamalkan saranan yang kita kongsikan dan seterusnya menyebarkannya kepada keluarga atau rakan-rakan mereka, ia menjadi amal kebaikan yang berpanjangan – atau saham akhirat buat kita.

Kesimpulan

Seiring dengan kemajuan teknologi dan perkembangan pesat media sosial, peluang untuk kita menyebarkan kebaikan dan memperoleh ganjaran pahala juga semakin luas terbuka.

Namun, semua itu bergantung pada niat yang suci serta tanggungjawab kita dalam menggunakan platform digital ini dengan bijaksana dan berhemah.

Apabila kita sentiasa berwaspada, memastikan setiap perkongsian membawa manfaat dan tidak mendatangkan fitnah atau kekeliruan, maka setiap usaha tersebut bukan sahaja memberi kesan positif kepada masyarakat, malah menjadi amal jariah yang berpanjangan untuk diri kita sendiri.

Justeru, marilah kita jadikan media sosial sebagai medan dakwah dan saluran kebaikan demi mendapatkan keredaan Allah swt serta saham akhirat yang kekal abadi.

Penulis ialah guru di Sekolah Ugama Radin Mas. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang Al-Quran daripada Universiti Mansoura, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg