Panduan Islam urus perceraian secara adil, tanggungjawab
Panduan Islam urus perceraian secara adil, tanggungjawab
Meski dianggap jalan terakhir, perceraian perlu dijalankan dengan hikmah demi kebajikan semua pihak
Ustaz Fakhrudin Amin
Perceraian adalah isu yang sering menjadi perbincangan dalam masyarakat, khususnya apabila melibatkan keluarga Muslim.
Dalam Islam, perkahwinan dianggap sebagai satu ikatan suci yang menyatukan dua individu dalam hubungan yang penuh dengan tanggungjawab, kasih sayang dan kepercayaan.
Namun begitu, apabila rumah tangga tidak lagi mampu dipertahankan, Islam mengizinkan perceraian sebagai jalan terakhir.
Persoalannya, apakah hukum perceraian dalam Islam dan bagaimana sepatutnya proses ini diselesaikan dengan cara yang terbaik?
Hukum perceraian
Islam mengiktiraf perceraian adalah satu hak yang diberikan kepada suami isteri, namun ia bukanlah sesuatu yang digalakkan.
Rasulullah saw bersabda: “Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah adalah talak.” (HR Abu Daud).
Hadis ini menunjukkan walaupun perceraian dibenarkan, ia hanya boleh dilakukan setelah segala usaha untuk menyelamatkan perkahwinan menemui jalan buntu.
Allah swt berfirman dalam Surah An-Nisa’, ayat 35:
“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah ‘orang tengah’ (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua ‘orang tengah’ itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.”
Ayat ini menekankan keutamaan mencari penyelesaian secara damai sebelum memutuskan untuk bercerai.
Sebab perceraian
Perceraian mungkin berlaku atas pelbagai sebab, seperti ketidakserasian, keganasan rumah tangga, atau ketiadaan tanggungjawab.
Namun, dalam setiap keadaan, pasangan suami isteri perlu memastikan keputusan untuk bercerai dibuat dengan penuh pertimbangan dan tidak dipengaruhi oleh emosi semata.
Islam memberikan hak kepada suami untuk melafazkan talak, manakala isteri pula mempunyai hak menuntut fasakh atau khuluk (cerai tebus talak).
Fasakh boleh dimohon apabila terdapat pelanggaran syarat perkahwinan, seperti suami tidak menyediakan nafkah atau berlaku kezaliman.
Manakala khuluk adalah perceraian atas permintaan isteri dengan membayar pampasan kepada suami.
Proses perceraian dalam Islam
Proses perceraian dalam Islam mesti dilaksanakan mengikut syariat untuk memastikan hak kedua-dua pihak terjamin.
Antara langkah yang perlu diambil ialah:
1) Perbincangan dan pengantaraan
Sebelum bercerai, pasangan digalakkan berbincang dan mencari jalan penyelesaian melalui pengantaraan.
Penglibatan anggota keluarga atau pihak ketiga yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan konflik secara aman.
2) Lafaz talak
Talak hendaklah dilafazkan dengan jelas dan dalam keadaan yang tenang.
Islam melarang perceraian dilakukan dalam keadaan emosi yang tidak stabil atau ketika suami berada di bawah pengaruh alkohol.
3) Idah (Tempoh menunggu)
Selepas talak dilafazkan, isteri perlu menjalani tempoh idah selama tiga kali suci (haid) untuk memastikan sama ada terdapat kehamilan.
Tempoh ini juga memberi peluang kepada pasangan untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka.
Bagi isteri yang dalam keadaan hamil, maka tempoh idahnya adalah sehingga si isteri bersalin.
4) Penyelesaian hak
Selepas perceraian disahkan, kedua-dua pihak perlu menyelesaikan isu berkaitan nafkah anak, hak penjagaan dan pembahagian harta sepencarian.
Jika pasangan suami isteri menjalani proses ini, sangat ditekankan agar mereka segera bertindak ke Mahkamah Syariah untuk memfailkan perceraian.
Jaga adab, akhlak semasa perceraian
Walaupun perceraian adalah sesuatu yang menyedihkan, ia tidak seharusnya membawa kepada permusuhan.
Pasangan yang bercerai perlu menjaga adab dan akhlak, terutamanya jika mereka mempunyai anak.
Allah swt berfirman dalam Surah Al-Ahzab, ayat 49: “... Dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.”
Ayat ini menyeru umat Islam untuk mengendalikan perceraian dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.
Anak adalah pihak yang paling terkesan dalam perceraian.
Oleh itu, ibu bapa perlu memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak tidak diabaikan.
Jangan jadikan perceraian sebagai alasan untuk menimbulkan konflik yang lebih besar, terutamanya di hadapan anak.
Kesimpulan
Oleh demikian, pasangan suami isteri perlu mengetahui perceraian adalah satu ujian besar dalam kehidupan, namun ia boleh menjadi satu permulaan baru jika dilaksanakan dengan cara yang betul.
Islam memberikan panduan jelas untuk memastikan proses perceraian dilakukan dengan adil dan penuh hikmah.
Walaupun ia merupakan jalan terakhir, perceraian harus disudahi dengan baik demi menjaga keharmonian masyarakat dan kebajikan individu yang terlibat.
Dengan memahami hukum dan prinsip perceraian dalam Islam, kita dapat menguruskan isu ini dengan lebih bijaksana dan berakhlak.
Pasangan suami isteri juga perlu ingat, walaupun mereka akan mengakhiri kehidupan sebagai pasangan, hubungan kekeluargaan antara mereka dengan mentua serta anak masih kekal selama-lamanya
Semoga setiap pasangan yang menghadapi cabaran dalam perkahwinan diberikan kekuatan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, sama ada melalui perdamaian atau perceraian yang diredai Allah swt.
Penulis ialah naib kadi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Ketua Pembangunan Belia dan Keluarga, Masjid Darul Ghufran.

