Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Urus hubungan menantu, mentua dengan bijaksana

Tangani konflik, perbezaan dengan sifat sabar dan komunikasi berkesan
Oct 24, 2025 | 5:30 AM
rumah tangga, mentua, menantu, ROMM
Dalam kehidupan berkeluarga, hubungan antara menantu dengan mentua sering menghadapi cabaran seperti campur tangan berlebihan serta perbezaan nilai dan budaya. Dengan kesabaran, komunikasi terbuka dan pendekatan bijak menurut perspektif Islam, cabaran itu boleh diurus untuk membina rumah tangga harmoni, penuh kasih dan berkat. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Hubungan antara menantu dengan mentua sering menjadi topik hangat dalam perbincangan mengenai kehidupan berkeluarga.

Bagi kebanyakan pasangan muda Muslim, cabaran itu boleh menjadi ujian besar dalam perkahwinan mereka.

Berikut adalah beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh pasangan dalam hubungan dengan mentua serta cara mengatasinya menurut perspektif Islam.

Campur tangan berlebihan

Salah satu cabaran paling kerap dihadapi adalah campur tangan mentua yang berlebihan dalam urusan rumah tangga.

Contohnya, mentua yang suka ‘mencelah’ dalam urusan rumah tangga bukanlah perkara asing.

Daripada cara melipat baju hingga ke menu makan malam, mereka seolah-olah mempunyai ‘manual’ tersendiri untuk segala-galanya.

Lebih-lebih lagi jika menantu tinggal sebumbung dengan mentua, keadaan itu boleh menimbulkan pelbagai cabaran dalam hubungan kekeluargaan.

Usah terus menolak nasihat mereka.

Sebaliknya, dengarlah dengan penuh hormat, pilih yang sesuai dan jelaskan dengan lembut mengapa anda memilih cara berbeza.

Ingat, mereka juga pernah melalui fasa itu.

Beza nilai, budaya

Perbezaan nilai dan budaya boleh mencetuskan ‘perang dingin’ dalam keluarga.

Bayangkan mentua yang berkeras mahu majlis perkahwinan tradisional, sedangkan anda mahukan sesuatu yang lebih moden.

Jadikan perbezaan itu sebagai peluang untuk mempelajari sesuatu yang baru.

Mungkin anda boleh menggabungkan unsur tradisional dan moden dalam majlis tersebut. Kreativiti adalah kunci!

Ingatlah air laut masin akan tetap masin dan air laut tawar akan tetap tawar.

Namun Allah swt memandu kita di dalam ayat 19 dan 20 Surah Ar-Rahman bahawa Dia membiarkan air dua laut (yang masin dan yang tawar) mengalir, sedang kededuanya pula bertemu.

Di antara kededuanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadannya.

Menantu dan mentua sudah terbentuk nilai dan budaya sebelum ini.

Bertemu di bawah satu bumbung dan masing-masing tidak melampaui batasnya malahan mereka mencari jalan penyelesaian yang inovatif dan kreatif.

Urus konflik dengan bijak

Suami sering terperangkap dalam keadaan: “Kalau tak ikut cakap mak, derhaka. Kalau tak ikut cakap isteri, tidur di sofa.”

Adakah ini dilema yang tidak berkesudahan?

“Saya rasa seperti bola pingpong,” akui seorang suami.

“Tapi saya belajar untuk menjadi ‘diplomat’ dalam keluarga.”

Suami ini mula mengadakan ‘mesyuarat keluarga’ agar semua pihak boleh menyuarakan pendapat.

“Kami belajar untuk mendengar dan memahami perspektif masing-masing.

“Lama-kelamaan, isteri dan ibu saya mula memahami dan menghormati antara satu sama lain.”

Justeru, wujudkan ruang untuk komunikasi terbuka.

Biar semua pihak bersuara dan cari jalan penyelesaian bersama.

Perasaan cemburu atau tersisih

Mentua mungkin berasa cemburu atau tersisih, terutama selepas kelahiran cucu.

Kelahiran cucu kadangkala boleh mencetuskan ‘perang dingin’ baru.

Mentua mungkin berasa tersisih apabila anda lebih menumpukan perhatian pada anak anda.

“Saya sedar kedua-dua nenek mahu yang terbaik untuk cucu mereka,” kata seorang isteri.

“Jadi kami mula merancang jadual supaya kedua-dua nenek boleh meluangkan masa sama rata dengan cucu.

“Akhirnya, anak kami mendapat kasih sayang berganda!”

Libatkan kedua-dua belah keluarga secara adil.

Ini bukan sahaja mengelakkan perasaan cemburu, malah memberi anda sokongan tambahan dalam membesarkan anak.

Harapan tidak realistik

Kadangkala, mentua mungkin mempunyai harapan yang tidak realistik terhadap menantu, seperti mengharapkan menantu mengikuti semua tradisi keluarga tanpa bertolak ansur.

Dalam keadaan sebegitu, komunikasi yang berkesan adalah penting.

Jelaskan dengan sopan bahawa walaupun anda menghormati tradisi keluarga, anda juga perlu menyesuaikannya dengan kehidupan dan nilai anda sendiri.

Carilah jalan tengah yang dapat memuaskan kedua-dua pihak.

Masalah komunikasi

Salah faham sering berlaku akibat cara komunikasi yang berbeza antara menantu dengan mentua.

Ini boleh menyebabkan ketegangan yang tidak perlu dalam hubungan keluarga.

Untuk mengatasi masalah itu, berusaha untuk memahami gaya komunikasi mentua.

Bersikap sabar dan sentiasa berusaha menjelaskan maksud anda dengan cara yang lembut dan hormat.

Ingatlah hadis Nabi Muhammad saw yang menggalakkan kita untuk berkata-kata baik atau diam.

Kesimpulan

Menghadapi cabaran dengan mentua mungkin terasa seperti misi mustahil, tetapi ingatlah bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk membina jambatan kasih yang lebih kukuh.

Dengan kesabaran dan komunikasi yang baik, anda boleh mengubah hubungan yang mencabar itu menjadi sumber kekuatan dan keberkatan dalam keluarga.

Dalam menghadapi cabaran tersebut, pendidikan memainkan peranan penting kerana keadaan masa sekeliling yang semakin kompleks.

Selain itu, kerjasama antara suami dengan isteri amat diperlukan agar kedua-duanya dapat menghadapi mentua dengan lebih berhemah.

Dengan pendekatan ini, pasangan dapat menjalin hubungan lebih harmoni dan bermakna dengan mentua, sekali gus memperkukuhkan ikatan keluarga secara keseluruhan.

Ingatlah pesan Nabi Muhammad saw tentang pentingnya berbuat baik kepada ibu bapa, termasuk mentua.

Mungkin inilah rahsia sebenar untuk mendapat ‘bonus’ pahala dalam perkahwinan anda!

Semoga Allah swt memberi kekuatan dan hidayah kepada semua pasangan Muslim dalam mengharungi cabaran ini.

Semoga Allah swt memberkati usaha anda dalam membina keluarga harmoni. Amin.

Penulis ialah anggota Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).

“Menghadapi cabaran dengan mentua mungkin terasa seperti misi mustahil, tetapi ingatlah bahawa setiap cabaran adalah peluang untuk membina jambatan kasih yang lebih kukuh. Dengan kesabaran dan komunikasi yang baik, anda boleh mengubah hubungan yang mencabar itu menjadi sumber kekuatan dan keberkatan dalam keluarga.”
– Penulis.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg