Rabiulawal menyaksikan umat Islam memperingati kelahiran Nabi Muhammad saw.
Selain itu, Rabiulawal juga menjadi saksi hijrah Nabi Muhammad saw dari kota Makkah ke Madinah.
Pastinya kedua-dua sejarah itu memberi kesan dan pengajaran yang penting bagi umat Islam.
Namun apakah yang berlaku seterusnya pada bulan-bulan berikutnya – khususnya pada Rabiulakhir yang mengikuti Rabiulawal?
Rabiulakhir, juga dikenali sebagai Rabiulthani, bermaksud ‘kedua’.
Menurut kamus Lisan Al-Arab, Al-Rabi’ membawa maksud ‘musim’.
Dalam konteks adat masyarakat Arab, musim Al-Rabi’ merujuk kepada musim bunga dan musim luruh.
Maka dapat difahami bahawa Rabiulawal menandakan musim bunga atau luruh pertama, manakala Rabiulakhir adalah musim bunga kedua dan terakhir.
Bulan itu menandakan waktu apabila tanaman dan tumbuhan yang disemai telah mencapai penghujung pertumbuhan dan kemuncak berbunga.
Pada ketika itu, tanaman di Tanah Arab biasanya berada pada peringkat akhir berbunga, seiring dengan musim luruh atau menjelang musim sejuk.
Menurut sejarah, nama bulan itu diperkenalkan oleh Ka’ab bin Murrah, moyang Nabi Muhammad saw.
Sejak itu, nama Rabiulawal dan Rabiulakhir terus digunakan sehingga ke hari ini.
Walaupun bulan itu dikaitkan dengan musim bunga dan luruh, kaitan tersebut tidak semestinya berlaku setiap tahun kerana penamaan asalnya berdasarkan keadaan semasa ketika itu.
Setelah Nabi Muhammad saw selamat tiba di Madinah dan memulakan kehidupan baru di sana, Baginda giat menyebarkan kebaikan Islam kepada umatnya.
Beberapa peristiwa penting berlaku pada bulan itu, terutamanya perutusan Nabi Muhammad saw kepada kaum Yahudi di Madinah serta puak-puak Arab di luar Madinah.
Perutusan itu, yang dikenali sebagai Sariyyah, bertujuan mengukuhkan tali persaudaraan, menetapkan sistem sosial yang adil dan harmoni, serta memberi penjelasan lebih mendalam tentang kemuliaan dan keadilan Islam.
Pada waktu itu, hubungan antara puak Yahudi, orang Arab dengan Nabi Muhammad saw serta kaum Muslimin masih tegang.
Mereka masih melihat bahawa ajaran Baginda saw membawa perubahan yang boleh mencetuskan konflik dalam masyarakat.
Mereka beranggapan bahawa Nabi Muhammad saw datang untuk menggugat sistem ekonomi yang sedia ada, mengubah cara peribadatan mereka, merampas kuasa dan menakluki seluruh Tanah Arab sebagai raja yang menguasai manusia.
Sebenarnya, tanggapan mereka jauh tersasar daripada hakikat sebenar.
Nabi Muhammad saw hanya melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Rasul, mengajak umat kembali ke jalan yang benar.
Ibadah hendaklah dilakukan hanya untuk Allah swt, manakala urusan sesama manusia hendaklah dijalankan secara adil.
Oleh itu, usaha menghantar perutusan adalah wajar dan penting.
Setiap perutusan yang Nabi Muhammad saw hantar, dengan melantik sahabat sebagai wakil, bertujuan menyebarkan keadilan dan kebaikan Islam, bukan untuk mencetuskan perang atau permusuhan.
Tanggapan bahawa Islam dikembangkan melalui peperangan, paksaan, atau penindasan adalah salah dan tidak berasas.
Hal ini selaras dengan ungkapan pertama Baginda saw ketika tiba di Madinah:
“Sebarkan salam, berikan makan, solatlah di waktu malam, nescaya kamu masuk syurga dengan selamat.” (HR At-Tirmizi).
Allah swt turut menegaskan peranan Nabi Muhammad saw dalam surah Al-Anbiya’, ayat 107, yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.”
Daripada beberapa peristiwa yang berlaku pada Rabiulakhir di zaman Nabi Muhammad saw, dapat diambil beberapa pengajaran penting.
1) Usaha, perjuangan berterusan
Seiring dengan firman Allah swt dalam dua ayat terakhir surah al-Syarh, yang bermaksud:
“Dan apabila kamu telah selesai (daripada satu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah kamu berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).”
2) Buat perancangan
Apabila tiba di Madinah, Nabi Muhammad saw tidak duduk berehat atau bersantai.
Baginda segera menggerakkan diri dan para sahabat untuk melakukan apa yang perlu demi kemajuan Islam dan kesejahteraan umatnya.
Nabi Muhammad saw bukan sahaja mendidik para sahabat dari segi akhlak dan amal ibadah, bahkan turut mengendalikan urusan masyarakat di Madinah, termasuk hubungan antara kaum Muslimin dengan Yahudi, serta diplomasi dengan kerajaan besar di luar Madinah.
Semua usaha itu dilakukan sebagai perancangan jangka panjang yang memberi kesan positif dan progresif.
3) Strategi berkesan
Setiap perancangan tidak hanya sekadar membuat rancangan, tetapi perlu mengambil kira kemampuan serta sumber yang sedia ada.
Firman Allah swt dalam Surah al-Anfal, ayat 60, yang bermaksud:
“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan musuh-musuh Allah.”
Ayat ini jelas mengajar umat Islam agar membuat persiapan rapi dalam usaha mencapai kejayaan.
4) Tabah, sabar laksana tugas
Setiap usaha yang ingin mencapai kejayaan memerlukan sifat sabar, kerana tiada kejayaan yang dicapai tanpa ketabahan dan kesabaran.
Ini adalah lumrah kehidupan.
Lebih-lebih lagi, usaha berskala besar seperti membangunkan negara atau mengubah pemikiran dan sikap manusia memerlukan kesabaran yang tinggi.
Kesabaran Nabi Muhammad saw, serta para nabi dan rasul sebelumnya dalam menyampaikan dakwah, telah membuahkan hasil yang dapat dilihat hingga hari ini.
Kesabaran Baginda saw menghadapi kerenah kaumnya di Makkah, masyarakat majmuk di Madinah dan hubungan antarabangsa seterusnya, menghasilkan masyarakat yang teratur dan berpandukan kebaikan sehingga ke zaman kini.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg