Rasa takut dorong jaga amalan, perbaiki diri selaku Mukmin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rasa takut dorong jaga amalan, perbaiki diri selaku Mukmin

Feb 6, 2026 | 5:30 AM

Rasa takut dorong jaga amalan, perbaiki diri selaku Mukmin

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
islam, agama, masjid al-khair
Rasa takut yang benar akan mendorong seseorang untuk menjaga amalannya dan hidup dengan lebih berhati-hati. Namun, pada masa yang sama, harapan kepada Allah swt akan menjadikan seseorang terus bangkit selepas ia jatuh dan tidak berhenti untuk memperbaiki diri. - Foto fail

Tiada seorang pun manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan.

Setiap insan dalam perjalanan hidup yang panjang ini sudah pasti pernah tersilap langkah dan terjerumus ke dalam dosa.

Ini kerana melakukan kesalahan merupakan sebahagian daripada fitrah manusia.

Namun, kesilapan tidak sepatutnya menjadi sebab seseorang hilang harapan terhadap kasih sayang Allah swt. Bahkan Allah swt sentiasa membuka pintu taubat kepada sesiapa yang mahu kembali.

Seorang Mukmin bukan dinilai kerana suci daripada dosa, tetapi kerana sentiasa kembali kepada Allah swt selepas melakukan kesilapan.

Selagi nyawa dikandung badan dan pintu taubat masih terbuka, maka harapan seorang hamba tidak wajar dipadam.

Dalam konteks ini, rasa takut kepada Allah swt memainkan peranan besar dalam menjaga dan membimbing jiwa sepanjang perjalanan hidup yang penuh dengan ujian.

Konsep takut kepada Pencipta

Antara cara paling berkesan untuk mendekatkan diri kepada Allah swt ialah melalui perasaan takut kepada-Nya, yang juga dikenali sebagai al-khawf.

Namun, takut kepada Allah swt bukanlah takut yang menyebabkan seseorang berputus asa daripada rahmat-Nya.

Sebaliknya, ia adalah perasaan yang menjadikan seorang hamba lebih berhati-hati serta sentiasa mengawasi setiap kata-kata dan perbuatannya.

Takut kepada Allah swt melahirkan kesedaran bahawa Dia sentiasa melihat, mendengar, dan mengetahui segala yang tersembunyi dalam hati.

Perasaan takut itu timbul daripada kecurigaan seorang hamba terhadap azab Allah swt serta rasa segan terhadap keagungan serta kebesaran-Nya.

Kesedaran ini yang melahirkan benteng yang menghalang kita daripada melakukan maksiat dan terjerumus ke dalam kelalaian.

Apabila seseorang memiliki rasa takut seperti ini, beliau akan lebih mudah menjaga pandangan, lisan dan amal, kerana hatinya dibimbing oleh rasa muraqabah iaitu keyakinan dirinya sentiasa diawasi oleh Allah swt pada setiap masa.

Penjelasan ulama mengenai rasa takut

Ulama telah membahagikan perasaan takut secara umum kepada beberapa jenis kerana tidak semua bentuk takut itu terpuji.

Jenis pertama ialah takut yang dilarang oleh syarak, iaitu takut kepada makhluk secara mutlak.

Contohnya apabila seseorang meyakini makhluk selain daripada Allah swt mampu memberi kemudaratan atau manfaat secara bebas, seolah-olah makhluk memiliki kuasa mutlak untuk mendatangkan kekayaan, menentukan rezeki atau menentukan kematian tanpa izin Allah.

Ini merupakan kesilapan besar yang boleh membawa kepada syirik.

Contoh perasaan ini adalah seperti kaum musyrikin Quraisy yang takut kepada berhala mereka.

Ia juga menjadi peringatan agar umat Islam tidak terjerumus ke dalam kepercayaan khurafat atau amalan mistik yang menyandarkan kuasa kepada selain Allah swt, sehingga hati menjadi lebih takut kepada makhluk daripada Penciptanya.

Jenis takut yang kedua juga dilarang oleh syarak, iaitu takut kepada manusia sehingga sanggup melanggar perintah Allah swt.

Ini berlaku apabila seseorang tidak berani melaksanakan perintah Allah swt atau meninggalkan kemungkaran semata-mata kerana takut kepada pandangan manusia.

Ketakutan seperti ini boleh menyebabkan seseorang tidak berani menegakkan kebenaran, malah membiarkan kemungkaran berlaku di hadapannya hanya kerana takut kepada reaksi manusia.

Bahkan lebih parah apabila seseorang sanggup melakukan dosa semata-mata agar diterima masyarakat, mahu menjaga imej di khalayak ramai, atau tunduk kepada tekanan rakan sebaya.

Ketakutan demikian yang dilarang Allah swt, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 175, yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan kamu terhadap pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku, jika betul kamu orang yang beriman.”

Ayat ini menegaskan di antara permainan syaitan ialah menakut-nakutkan hamba Allah swt sehingga mereka berani menderhakai Allah swt kerana takut kepada manusia.

Pada hari akhirat kelak, tiada alasan yang dapat menyelamatkan seseorang apabila beliau mengutamakan manusia berbanding perintah Allah swt.

Bentuk takut yang terakhir ialah takut kepada ancaman Allah swt dan azab-Nya.

Inilah takut yang terpuji dan merupakan tanda keimanan seorang Muslim.

Takut seperti ini mendorong seseorang menjauhi maksiat dan menjaga diri daripada perkara haram.

Imbangi perasaan takut, harapan

Walaupun takut kepada Allah swt merupakan sifat terpuji, Islam bukan agama yang hanya menakut-nakutkan manusia.

Perasaan takut mesti disertai dengan perasaan harapan terhadap rahmat Allah swt.

Keseimbangan ini menjadikan jiwa lebih stabil kerana takut tanpa harapan boleh menyebabkan seseorang berputus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah swt sehingga beliau berasa seolah-olah tiada lagi peluang baginya apabila melakukan kesilapan.

Hal ini dijelaskan dalam satu hadis apabila Rasulullah saw menziarahi seorang pemuda yang sedang menghadapi sakaratulmaut.

Baginda bertanya: “Bagaimana keadaanmu?”

Pemuda itu menjawab: “Aku mengharapkan rahmat Allah, namun aku juga takut akan dosaku.”

Lalu Rasulullah saw bersabda: “Tidaklah berkumpul dua perasaan ini dalam hati seorang hamba pada saat seperti ini, melainkan Allah akan memberinya apa yang beliau harapkan dan menyelamatkannya daripada apa yang beliau takutkan.” (HR Tirmizi).

Hadis ini menunjukkan seorang Mukmin berjalan menuju Allah swt dengan dua perasaan: Rasa takut dan perasaan tidak berputus asa.

Beliau takut akan dosanya, namun pada masa yang sama yakin Allah swt akan menerima taubatnya apabila beliau ikhlas kembali kepada-Nya.

Allah swt berhak disembah dengan penuh pengagungan.

Rasa takut yang benar akan mendorong seseorang untuk menjaga amalannya dan hidup dengan lebih berhati-hati.

Namun pada masa yang sama, harapan kepada Allah swt akan menjadikan seseorang terus bangkit selepas ia jatuh dan tidak berhenti untuk memperbaiki dirinya.

Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg