Sambut Ramadan dengan persediaan rapi
Ramadan bakal menjelma dalam tempoh kurang seminggu lagi, menandakan ketibaan musim ibadah yang sentiasa dinanti-nantikan setiap Muslim.
Ia bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, bahkan bulan yang Allah swt pilih sebagai medan tarbiah (pendidikan) untuk memperkukuh keimanan, membersihkan hati dan memperbaharui hubungan kita dengan-Nya.
Dalam bulan penuh keberkatan itu, kita disyariatkan berpuasa selama sebulan.
Allah swt menjelaskan tujuan sebenar ibadah itu melalui firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”
Ayat ini menegaskan matlamat utama puasa bukan sekadar menahan makan dan minum, bahkan untuk meraih ketakwaan – iaitu keadaan hati yang sentiasa sedar akan kehadiran Allah swt, takut melakukan dosa dan bersungguh-sungguh dalam mentaati perintah-Nya.
Justeru, sebelum tibanya Ramadan, amatlah wajar untuk kita melakukan persiapan rapi.
Gunakanlah baki hari yang ada untuk menambah amal, melatih diri dengan ibadah sunat, serta mempersiapkan minda dan hati agar kita tidak ‘terkejut’ apabila Ramadan bermula.
Persediaan mental jelang Ramadan
Sebelum Ramadan bermula, antara persiapan terpenting ialah persediaan mental – memahami Ramadan bukan sekadar rutin tahunan, namun ruang pembentukan diri.
Ia adalah ‘madrasah rohani’ yang Allah swt sediakan untuk mendidik jiwa dan memperkukuh keimanan.
Dengan kefahaman ini, puasa tidak lagi dilihat sebagai beban, sebaliknya sebagai peluang membina disiplin, ketahanan diri dan kekuatan dalaman.
Rasulullah saw mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:
“Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan buruk, maka Allah tidak peduli kepada (ibadah) beliau meninggalkan makan dan minumnya.” (HR Bukhari).
Hadis ini menegaskan puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, bahkan latihan rohani untuk meninggalkan dosa serta memperbaiki akhlak.
Justeru, Ramadan sering digelar sebagai bulan rohani kerana pada bulan itu disiplin diri paling mudah dibina, apatah lagi apabila syaitan ‘diikat’ dan ruang melakukan kebaikan terbuka luas.
Saat perut kosong, kita dilatih bersabar, mengawal emosi, menahan marah dan mendidik nafsu agar tidak sentiasa dituruti.
Dalam masa yang sama, Ramadan melembutkan hati.
Rasa lapar dan dahaga menjadikan kita lebih peka terhadap kesusahan golongan yang kurang bernasib baik.
Daripada itu lahir sifat ihsan dan rasa syukur terhadap nikmat makanan, minuman, kesihatan dan keselesaan yang sering dipandang ringan.
Bahkan ketika berbuka, kita diingatkan betapa besarnya nikmat tersebut dan betapa lemahnya diri tanpa pertolongan-Nya.
Maka persiapan mental sebelum Ramadan bererti memasukinya dengan kesedaran dan niat untuk berubah – menjadi insan lebih sabar, lebih berakhlak dan lebih bertakwa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.
Lunas hutang puasa
Dalam kita sibuk merancang persiapan untuk bulan mulia yang bakal tiba, jangan sampai kita terlupa melunaskan hutang puasa yang tertinggal pada tahun sebelumnya.
Sebahagian kita mungkin terpaksa meninggalkan beberapa hari puasa Ramadan kerana uzur tertentu seperti sakit, haid, atau sebab lain yang dibenarkan.
Islam memberi kelonggaran untuk tidak berpuasa dalam keadaan tersebut, namun kewajipan menggantinya (qada) tetap ada dan perlu diselesaikan sebelum Ramadan yang akan datang.
Ingatlah, jika kita berat hati untuk menunaikan hutang dengan manusia, apatah lagi dengan Allah swt.
Menangguhkan qada tanpa alasan kukuh boleh menyebabkan dosa terkumpul, sekali gus mengurangkan keberkatan apabila Ramadan tiba.
Justeru, sebelum Ramadan tiba, pastikan tiada puasa yang masih perlu diganti.
Jika ada, gunakan baki hari yang ada untuk menunaikannya, supaya kita memasuki bulan suci Ramadan dengan hati yang tenang.
Perkukuh silaturahim, khidmat masyarakat
Selain persediaan mental dan melunaskan hutang puasa, persediaan yang melibatkan keluarga dan masyarakat juga penting.
Antaranya ialah menyediakan kurma untuk berbuka kerana Rasulullah saw menganjurkan agar iftar dimulakan dengan kurma.
Sebelum Ramadan bermula, sediakan stok kurma di rumah sebagai tanda menyambut bulan ibadah sambil menghidupkan sunah Nabi saw bersama keluarga.
Jika mampu, pilihlah kurma Ajwa yang mempunyai kelebihan tersendiri.
Jika tidak, kurma jenis lain juga mencukupi kerana yang utama adalah menghidupkan sunah dan membiasakan keluarga dengan amalan berbuka dengannya.
Persediaan itu juga boleh dijadikan saluran kebaikan, dengan membeli kurma bukan hanya buat keluarga sendiri, malah buat anggota keluarga terdekat dan sanak saudara sebagai hadiah.
Daripada amalan itu, kita peroleh dua pahala – pahala memberi hadiah dan pahala merapatkan silaturahim.
Selain itu, kita juga boleh berkhidmat kepada masyarakat dengan menyokong masjid melalui sumbangan kepada tabung dan kutipan Ramadan.
Sumbangan itu membantu masjid menjalankan program iftar dan sahur, pengurusan imam tarawih, tazkirah dan kebajikan lain yang diperlukan sepanjang Ramadan.
Sebahagian kutipan juga membolehkan masjid menyediakan pengalaman tarawih yang lebih bermutu, termasuk membayar imam sewajarnya agar ibadah di rumah Allah swt dapat dilaksanakan dengan baik.
Kesemua persiapan ini membantu kita menghidupkan sunah, mempererat silaturahim dan menyokong masjid, supaya Ramadan menjadi bulan yang lebih bermakna dan diberkati bagi semua.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

