Hidayah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sebaik-baik umat manusia

Jun 20, 2025 | 5:30 AM
Umat Nabi Muhammad saw bukan saja memperbaiki diri mereka sendiri dengan mentaati perintah Allah swt, malah mereka turut berusaha memperbaiki masyarakat sekeliling dengan mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Umat Nabi Muhammad saw bukan saja memperbaiki diri mereka sendiri dengan mentaati perintah Allah swt, malah mereka turut berusaha memperbaiki masyarakat sekeliling dengan mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. - Foto ISTOCKPHOTO

TAFSIR SURAH ALI IMRAN

Dalam surah Al-Imran ayat 109 hingga 115, Allah swt menggambarkan keagungan-Nya dalam mengatur segala perkara dan menegaskan bahawa kepada-Nya segala urusan dikembalikan, sama ada dalam urusan dunia mahupun hukum akhirat.

Dialah yang Maha Adil dalam memberi ganjaran kepada orang-orang yang beriman, dan Maha Mengetahui terhadap segala amal perbuatan manusia.

Dalam ayat itu, Allah swt juga menyatakan bahawa golongan yang kufur tidak akan dapat menjejaskan kekuasaan dan keadilan-Nya, bahkan mereka sendiri yang akan menanggung akibat kekufuran mereka.

Di samping itu, Allah swt menjelaskan tidak semua golongan ahli kitab itu sesat dan mempunyai niat yang jahat.

Terdapat sebahagian daripada mereka yang masih teguh dalam keimanan, membaca ayat-ayat Allah swt pada waktu malam dan bersujud kepada-Nya.

Mereka beriman kepada Allah swt dan hari akhirat, menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran, dan bersegera dalam melakukan amal kebajikan.

Golongan itu termasuk dalam kalangan orang yang soleh dan mereka akan diberi ganjaran besar atas keimanan dan amalan mereka.

Pada ayat yang ke-110, Allah swt berfirman:

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Allah swt memuji umat ini dan menyatakan bahawa mereka adalah sebaik-baik umat untuk manusia.

Ini kerana dalam memperbaiki diri mereka sendiri dengan mentaati perintah Allah swt, mereka turut berusaha memperbaiki masyarakat sekeliling dengan menyuruh mereka kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Tindakan mereka itu merangkumi amalan berdakwah, menyeru manusia kembali kepada Allah swt, menegakkan kebenaran, dan mencurahkan daya upaya untuk menghalang manusia daripada terjerumus ke dalam kesesatan, maksiat dan kemungkaran.

Oleh sebab itu, mereka layak digelar sebagai umat terbaik.

Maka dengan sebab itu, Umar bin al-Khattab ra ketika mengerjakan haji, melihat ramai orang tergesa-gesa.

Lalu beliau membaca ayat: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia.”

Kemudian Umar berkata: “Sesiapa yang ingin menjadi sebahagian daripada umat ini, maka hendaklah dia memenuhi syarat yang telah Allah tetapkan padanya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg