Dalam dunia yang semakin sibuk dan mementingkan diri sendiri, terdapat satu amalan mudah yang mampu membuka pintu-pintu syurga iaitu memberi makan kepada orang lain.
Ia bukan sekadar amal kebajikan, malah satu ibadah yang disebut secara jelas dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad saw yang sahih.
Dalam masyarakat yang sering menunggu sehingga ‘cukup kaya’ untuk memberi, Islam membawa pendekatan berbeza.
Memberi makan tidak perlu menunggu seseorang itu kaya, kerana yang utama ialah keikhlasan hati.
Firman Allah swt dalam Surah Al-Insan, ayat 8:
“Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang tawanan.”
Ayat ini menggambarkan golongan yang memberi makan sebagai mereka yang ikhlas.
Bahkan ketika mereka sendiri menyukai makanan itu, mereka masih memilih untuk berkongsi.
Ini bukan sekadar perbuatan luaran, bahkan cerminan dalaman yang penuh kasih sayang, keikhlasan dan kepedulian terhadap insan lain.
Rasulullah saw turut bersabda apabila ditanya tentang bentuk Islam yang paling baik:
“Memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenal dan tidak kenal.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini mengangkat dua amalan yang mungkin dipandang kecil – memberi makan dan menyebarkan salam – sebagai antara amalan terbaik dalam Islam selepas ibadah-ibadah utama.
Ia menunjukkan bahawa memberi makan bukan hanya kepada fakir miskin sahaja, malah ia juga termasuk menjamu tetamu, menyumbang kepada masyarakat atau sekadar berkongsi sedikit makanan kepada jiran.
Hadis ini menunjukkan dua bentuk ihsan iaitu memberi makan adalah bentuk ihsan melalui perbuatan, manakala memberi salam adalah ihsan melalui perkataan.
Gabungan kedua-duanya membentuk akhlak Islam yang luhur dan sempurna.
Sebahagian orang menyangka bahawa hanya mereka yang kaya atau berharta sahaja layak menderma atau memberi makan.
Namun hakikatnya, Islam tidak meletakkan kekayaan sebagai syarat untuk berbuat baik.
Yang lebih penting ialah hati yang mahu berkongsi, bukan dompet yang penuh.
Walaupun sekadar sebiji kurma, seteguk air atau sebungkus nasi, ia tetap dianggap sedekah yang besar nilainya di sisi Allah swt.
Sifat pemurah bukan hanya milik orang berharta, bahkan juga milik hati yang tidak kedekut.
Malah dalam banyak keadaan, mereka yang kurang harta selalunya memiliki semangat memberi yang lebih tinggi.
Sabda Nabi saw:
“Lindungilah diri kamu daripada api neraka walaupun hanya dengan separuh biji kurma.” (HR Bukhari dan Muslim).
Hadis ini menjelaskan bahawa walaupun pemberian itu kecil, jika ia dilakukan dengan keikhlasan, ia cukup untuk menjadi penyelamat di akhirat kelak.
Maka tidak perlu menunggu sehingga berharta untuk mula memberi.
Apa yang ada di tangan hari ini sudah memadai untuk meraih pahala yang besar.
Antara ganjaran tertinggi bagi mereka yang rajin memberi makan ialah balasan syurga.
Rasulullah saw bersabda:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah beliau memuliakan tetamunya...” (HR Bukhari dan Muslim).
Memuliakan tetamu termasuk memberi mereka makan, minum dan layanan yang baik.
Rasulullah saw terkenal dengan sikap pemurah dalam menjamu makanan, bahkan kepada orang bukan Islam sekalipun.
Sikap ini menunjukkan bahawa memberi makan bukan sahaja amalan kebajikan, malah satu bentuk dakwah yang penuh kelembutan dan keberkesanan.
Melalui pemberian makanan, Baginda saw membina jambatan di antara hati manusia.
Dalam satu riwayat, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di dalam syurga ada bilik-bilik yang luarannya dapat dilihat dari dalam dan dalamnya dapat dilihat dari luar.”
Lalu ditanya: “Untuk siapakah bilik-bilik itu, wahai Rasulullah?”
Baginda bersabda: “Untuk mereka yang memperelok kata-kata, memberi makan dan bangun malam beribadah ketika orang lain tidur.” (HR Ahmad).
Hadis ini menggambarkan kemuliaan yang menanti orang-orang yang ringan tangan dalam memberi makan.
Golongan ini bukan sekadar diberi pahala, bahkan dijanjikan tempat istimewa di syurga.
Maka memberi makan bukan sekadar amalan sosial semata-mata, malah ia merupakan bentuk ibadah yang menghasilkan ganjaran luar biasa yang berkekalan hingga ke akhirat.
Bagi mereka yang menjadikannya satu rutin, ia adalah di antara kunci utama menuju keredaan dan kemuliaan di sisi Allah swt.
Para ulama menjelaskan bahawa apabila kita memberi makan, bukan hanya perut yang kenyang, malah hati juga terisi dengan kasih sayang yang tulus.
Bahkan dalam keadaan sukar seperti bencana, kenaikan harga barang atau pandemik, memberi makan menjadi tanda perpaduan sosial dan pengikat hubungan dalam masyarakat.
Dalam hadis berkaitan, Rasulullah saw menunjukkan bahawa amalan memberi makan adalah amalan terbaik selepas perkara asas dalam Islam.
Ia meliputi zakat, sedekah, hadiah, jamuan dan layanan terhadap tetamu.
Memberi makan adalah bentuk ihsan secara fizikal dan pahalanya bertambah besar terutama ketika ia diberikan pada saat orang benar-benar memerlukan.
Apabila kita memberi makan, bukan sahaja tubuh saudara kita dipelihara, malah syiar Islam dimuliakan, nilai persaudaraan disuburkan dan yang paling penting, bekalan akhirat kita terkumpul dengan penuh keberkatan.
Sebagai usaha menghidupkan sunah dan menyemarakkan budaya kasih sayang dalam masyarakat, Masjid An-Nur dengan suka cita mengumumkan agihan makanan percuma kepada orang ramai.
Sempena ulang tahun ke-45 Masjid An-Nur, sebanyak 2,000 pek nasi beriani akan diagihkan kepada jemaah selepas solat Jumaat pada 4 dan 11 Julai.
Agihan ini bukan sahaja tanda kesyukuran atas usia masjid yang semakin matang, malah ia juga usaha mengingatkan masyarakat bahawa amalan kecil seperti memberi makan mampu membuka pintu-pintu kebaikan yang besar dan berpanjangan.
Mungkin bagi sesetengah orang, memberi makan tampak seperti perkara kecil.
Namun dalam pandangan Islam, ia adalah lambang ketakwaan dan kasih sayang sejati sesama manusia.
Rasulullah saw dan para sahabat sangat menitikberatkan amalan ini dalam kehidupan seharian mereka.
Jika setiap daripada kita menghidupkan budaya memberi makan ini secara tekal, insya-Allah masyarakat kita akan menjadi lebih penyayang, bersatu dan diberkati Allah swt.
Mari bersama kita hidupkan ibadah mulia ini.
Mulakan dengan satu bekas makanan kepada jiran, satu minuman kepada yang memerlukan, atau satu senyuman ikhlas ketika menjamu hidangan.
Mungkin di situlah terletaknya kunci menuju syurga yang kita harapkan.
Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pegawai Agama bagi Jabatan Kekeluargaan dan Penglibatan Masyarakat Masjid An-Nur. Beliau, yang juga Naib Kadi di Pejabat Pendaftar Pernikahan Orang Islam (ROMM), memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.
“
Antara ganjaran tertinggi bagi mereka yang rajin memberi makan ialah balasan syurga... Rasulullah saw terkenal dengan sikap pemurah dalam menjamu makanan, bahkan kepada orang bukan Islam sekalipun. Sikap ini menunjukkan bahawa memberi makan bukan sahaja amalan kebajikan, malah satu bentuk dakwah yang penuh kelembutan dan keberkesanan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg