Syaaban serambi Ramadan
Dalam bulan-bulan penuh rahmat kita diingatkan beberapa perkara seperti tidak menzalimi diri; pertingkat ibadah; dan bertaubat daripada lakukan maksiat
Selepas meninggalkan Rejab, kini timbul Syaaban.
Ini disusuli Ramadan, sebelum hadirnya pula Syawal, lalu melangkah pula ke Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam.
Dalam bulan-bulan penuh rahmat inilah kita diingatkan tentang beberapa perkara seperti tidak menzalimi diri; mempertingkatkan ibadah; dan bertaubat daripada melakukan maksiat, selain berdamai dan meninggalkan dosa besar.
Kesemua ini sebagai langkah mempertingkatkan kerohanian, membersihkan dan meninggalkan segala perkara yang mengotori kesucian jiwa.
Semua itu sebaiknya diperkukuhkan semasa Rejab dan Syaaban.
Bila diamati, persoalannya mengapa agaknya? Untuk apa semua usaha itu dilakukan? Adakah ini suatu bentuk pensucian sebelum berlangsungnya satu acara?
Kita lihat pelajaran yang ditimba semasa Rejab, sebelum Baginda saw diperlihatkan akan kebesaran Allah swt melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj, di mana Baginda menjalani persiapan melalui peristiwa pembelahan dada yang berlaku beberapa kali – menurut Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sehingga lima kali.
Setiap kali peristiwa tersebut berlaku, dikeluarkan titik syaitan dan dimasukkan cahaya ke dalam hati Baginda saw.
Ini suatu proses pembersihan buat Baginda.
Beliau semulia insan, juga menjalani proses penyucian ini, apatah lagi kita yang tidak lepas daripada melakukan dosa.
Sebagaimana peristiwa-peristiwa tersebut menjadi persiapan Nabi saw untuk acara kemuncak, begitulah kita.
Di dalam agama juga tersedia hari, waktu, atau bulan tertentu yang sebahagiannya adalah kemuncak, dan sebahagian yang lain adalah proses persiapan dan penyucian.
REJAB DAN SYAABAN SEBAGAI SARINGAN, RAMADAN SEBAGAI KEMUNCAK
Namun bagi yang akan menunaikan haji, itulah kemuncaknya dan diharapkan sudah merasa manisnya beribadah sejak semasa Ramadan lagi, agar pengalaman menunaikan haji lebih terasa kesyahduan dan lebih indah.
Dari Rejab lagi kita disyorkan untuk memperbanyakkan beristighfar, lebih kuat berusaha untuk meninggalkan dosa.
Semasa Syaaban perkara ini semakin ditekankan – ditambah dengan rutin memperbanyak ibadah dan mensucikan hati.
Dengan meninggalkan perkara yang haram, elakkan permusuhan, perbaiki hubungan, malah dituntut juga untuk bertaubat dan bermaafan.
Ini kerana ibadah lebih terasa kemanisan dan keindahannya, apabila hati tidak berdendam, jauh daripada melakukan yang haram, dan membebaskan diri daripada tabiat buruk serta hawa nafsu yang sentiasa mencengkam.
Tidak kurang juga iman kita digilap sehingga bercahaya semula, suci diri zahir dan batin.
Makanya hadis-hadis seputar kemuliaan malam Nisfu Syaaban, banyak terkait dengan perkara-perkara di atas, agar Ramadan disambut dengan penuh kesediaan, ibadah di dalamnya terasa penuh kemanisan, dan Hari Raya disambut dengan penuh kegembiraan kerana telah berjaya mendedahkan diri pada rahmat Tuhan.
Banyak perkara daripada riwayat hadis menyebutkan bahawa pada malam Nisfu Syaaban, Allah melihat pada hamba-hamba-Nya dan mengampunkan mereka kecuali orang yang musyrik dan orang yang bermusuhan.
“Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka sebilangan bulu kambing-kambing bani Kalb.” (HR Tirmidhi, Ibn Majah, Ahmad)
DOSA-DOSA BESAR
Saya tertarik untuk mengongsikan satu riwayat, meskipun dianggap daif, namun banyak nas lain menyokong erti hadis ini.
Ia menjelaskan dengan lebih terperinci golongan yang tidak diampunkan Allah pada malam tersebut, yaitu mereka yang belum bertaubat daripada melakukan dosa-dosa besar, diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Jibril telah datang padaku dan berkata: Ini malam pertengahan dari bulan Syaaban, dan padanya bagi Allah orang-orang yang dibebaskan daripada api neraka sebilangan bulu kambing-kambing bani Kalb, di malam ini Allah tidak melihat pada orang musyrik, orang yang bermusuhan, orang yang memutuskan silaturahim, orang yang memanjangkan pakaiannya, orang yang menderhaka pada orang tuanya, dan orang yang ketagih arak. Wahai orang-orang Islam!
“Bertakwalah pada Allah dan sambungkan silaturahim, sesungguhnya tiada ganjaran yang lebih cepat dari menyambung silaturahim. Dan hentikanlah kezaliman, sesungguhnya tiada balasan yang lebih cepat dari balasan melakukan kezaliman. Dan jauhkanlah menderhaka pada orang tua, sesungguhnya haruman syurga dapat dihidu dari sejauh perjalanan 1,000 tahun, dan demi Allah orang yang menderhaka tidak dapat menciumnya, tidak juga bagi orang yang memutuskan silaturahim, tidak juga bagi orang yang memanjangkan kainnya kerana menyombong, kemegahan dan kesombongan adalah hanya untuk Tuhan sekalian alam.” (HR Baihaqi)
Di dalam satu riwayat dari Al-Kan’ani menambah: (Antara orang yang tidak diampunkan)
“Orang yang terus menerus melakukan zina”.
Di dalam Riwayat Al-Munziri: “Dan orang yang telah mencabut nyawa seseorang.”
Dari hadis ini, saya mengajak diri sendiri dan semua Muslim untuk merenung sejenak dan bermuhasabah.
Adakah kita dalam senarai mereka yang terkecuali daripada mendapat keampunan Allah?
Sekiranya tidak tergolong di dalamnya, maka alhamdulillah, semoga Allah terus memelihara kita daripada melakukan dosa-dosa ini sampai akhir hayat.
Namun jika kita ada bermusuhan dengan mereka yang pernah menyakiti kita, ataupun dalam keadaan renggang dengan orang tua kita, atau sukar menjauhi arak dan dadah, atau suka bermegah dan merendahkan orang lain, atau kita diuji dengan perbuatan zina dengan segala bentuknya.
Dan yang ditakuti jika kita menduakan Allah secara sedar atau tidak dengan kita percaya pada dukun, horoskop, dan meramal nasib, atau kita mengamalkan ilmu hitam, ayuh bertaubat pada Allah daripada dosa-dosa tersebut dan semua dosa lain.
Mohon daripada Allah swt untuk menjauhi dosa dan murka Allah, supaya kita mudah mendekati ganjaran dan keredhaan Allah.
PENYESALAN ITU TAUBAT
Mungkin kita tidak menjadi hamba Allah yang soleh secara serta merta.
Namun mulakan dengan perasaan Insaf, penyesalan, dan keinginan untuk berhenti.
Kerana “penyesalan itulah taubat” menurut hadis Nabi saw (Sahih HR Ibn Hibban).
Meski belum benar-benar dapat tinggalkan dosa tersebut, paling tidak ada benih azam, mudah-mudahan apabila disiram dengan curahan rahmat Allah dan air mata keinsafan, ditanam di tanah keimanan yang subur.
Maka bercambahlah pohon kehambaan terhadap Allah yang buahnya adalah ketaatan pada Allah yang terasa sangat manis.
Dipetik doa yang dibacakan Nabi saw semasa sujudnya pada malam tersebut: “Ya Allah aku berlindung dengan kemaafan-Mu dari hukuman-Mu, dan aku berlindung dengan keredhaan-Mu dari kemurkaan-Mu, dan aku berlindung dari-Mu dengan zat-Mu, pujianku terhadap-Mu tidak menyamai pujian apapun, Engkau adalah seperti apa yang Engkau pujikan buat diri-Mu.” (HR Muslim, Nasaie, Ahmad).
Semoga kita mendapat kemaafan dan keredhaan daripada Allah, serta nikmat untuk menghidupkan musim rahmat ini, serta menjadikan kita orang-orang yang berjaya dengan segala rahmat yang Allah curahkan.
Termasuk dalam bentuk pengampunan, pembebasan daripada neraka, diterima segala amalan, dan yang paling utama mendapat keredhaan-Nya.
Sempena Syaaban ini yang dianggap serambi Ramadan, ingin saya mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf daripada sekalian yang pernah saya sakiti, dan saya memaafkan semua serta menghalalkan apa yang pernah terambil dari hak saya.
Semoga tidak ada kezaliman yang menjadi penghalang daripada mendapat rahmat Allah swt pada hari-hari yang mulia ini.
Mari kita ambil peluang ini untuk persiapkan diri agar kita melangkah ke Ramadan dalam keadaan suci, dan keluar darinya dalam keadaan fitrah.
Penulis adalah Ketua Jabatan Ibadah dan Khidmat Keagamaan di Masjid Al-Muttaqin. Beliau meraih ijazah daripada Kuliah Usuluddin cabang Akidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar, Kahirah, Mesir. Beliau juga meraih Sarjana dalam thawabit diniyyah dari Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah, Fes, Maghribi.

