‘Tadabbur’ Al-Quran panduan kehidupan harian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Tadabbur’ Al-Quran panduan kehidupan harian

Fahami, hayati Kitab Suci dapat bimbing hati, bentuk akhlak Muslim sejati
Jan 30, 2026 | 5:30 AM

‘Tadabbur’ Al-Quran panduan kehidupan harian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
tadabbur, al-quran, masjid an-nur
Melalui ‘tadabbur’ Al-Quran (merenungi, memahami dan menghayati makna ayat yang dibaca), cara berfikir dapat dibetulkan dan emosi dapat ditenangkan, sekali gus membantu kita menerima ketentuan Allah swt dengan lebih reda. - Foto hiasan ISTOCKPHOTO

Al-Quran merupakan mukjizat yang diberikan kepada Nabi Muhammad saw.

Ayat pertama, Iqra’, atau bacalah, merangkumi segala aspek untuk mempelajari Al-Quran dengan sepenuhnya.

Namun, adakah ia mencukupi untuk hanya membaca Al-Quran?

Dalam Al-Quran sendiri, terdapat penekanan berulang terhadap konsep tadabbur – iaitu merenungi, memahami dan menghayati makna ayat yang dibaca.

Allah swt berfirman dalam Surah Sad, ayat 29:

“Al-Quran ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh keberkatan, supaya mereka mentadabbur ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berakal mengambil pelajaran.”

Melalui ayat ini, kita memahami Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, bahkan mengandungi tuntutan agar kita tadabbur dan memahami isinya, supaya ia mampu membentuk keperibadian serta akhlak yang murni.

Persoalannya kini, apakah nilai dan pengajaran daripada tadabbur Al-Quran yang dapat kita terapkan dalam kehidupan harian?

‘Tadabbur’ sebagai panduan hadapi ujian

Jika kita meneliti kisah para Nabi dan Rasul, ujian adalah sebahagian daripada jalan untuk kita mendekatkan diri dengan Allah swt, melatih kesabaran serta menanamkan harapan dan tawakal kepada-Nya.

Justeru, kita boleh bertanya kepada diri sendiri: apakah pengajaran daripada kisah para Nabi yang boleh kita amalkan ketika berhadapan dengan ujian dan cabaran kehidupan?

Daripada tadabbur tersebut, kita bukan sahaja dapat memahami mesej dan iktibar yang disampaikan, malah natijahnya mampu kita semaikan dan hayati dalam kehidupan harian.

Melalui tadabbur Al-Quran, cara berfikir dapat dibetulkan dan emosi dapat ditenangkan, sekali gus membantu kita menerima ketentuan Allah swt dengan lebih reda.

Setiap ujian yang dilalui membuka ruang untuk kita muhasabah melalui kisah para Rasul, mempelajari doa yang mereka amalkan, serta menerapkannya dalam kehidupan harian.

‘Tadabbur’ bimbing tindakan, akhlak

Dalam keadaan hati tidak tenang, kita sering mencari jawapan di sekeliling kita.

Hakikatnya, banyak panduan yang boleh difahami dan diteliti dalam Al-Quran sekiranya kita benar-benar menghayati serta tadabbur ayat-ayatnya.

Terdapat pelbagai panduan akhlak yang boleh kita ambil sebagai iktibar dan diterapkan dalam kehidupan harian.

Namun, ada kalanya kita menjadi alpa dan leka, sehingga melupakan nasihat Al-Quran yang sarat dengan hikmah dan makna untuk membentuk diri ke arah kebaikan.

Sebaliknya, kita dapat melihat sebahagian manusia memilih sikap negatif, menjalani kehidupan dengan mementingkan diri sendiri semata-mata demi meraih pujian dan pengiktirafan manusia.

Jika kita meneliti dengan lebih mendalam melalui tadabbur, hati akan menjadi lebih peka dalam membezakan antara kebaikan dengan kemungkaran.

Al-Quran mengandungi banyak ayat yang menjelaskan kelebihan melakukan kebaikan berbanding keburukan, termasuk balasan bagi kedua-duanya.

Kefahaman itu seharusnya melahirkan keyakinan, serta memupuk sifat tawakal, reda dan sabar dalam menghadapi segala ketentuan.

Segala usaha itu kembali kepada matlamat asal, iaitu membentuk akhlak yang murni – bukan untuk dibanggakan semata-mata, tetapi untuk menzahirkan dan mengamalkan ajaran Rasulullah saw dalam kehidupan harian.

‘Tadabbur’ hidupkan hati, iman

Kita sering menilai kelebihan seseorang melalui lensa perbandingan, sehingga terlupa akan nikmat yang Allah swt kurniakan kepada diri sendiri.

Melalui tadabbur Al-Quran, hati dapat dihidupkan dengan kesedaran terhadap kebesaran Allah swt serta pelbagai nikmat-Nya dalam kehidupan kita.

Apabila hati menjadi lalai, keras dan terlalu memikirkan kelebihan orang lain, tadabbur mampu mengembalikan kesedaran – hati yang lalai menjadi peka, hati yang keras menjadi lembut dan hati yang terasa jauh kembali berasakan kedekatan dengan Allah swt.

Melalui tadabbur juga, rutin kehidupan dapat dihidupkan dengan penghayatan iman yang lebih mendalam.

Ayat tentang janji syurga dan azab neraka menjadi peringatan yang melahirkan rasa takut yang mendidik, manakala ayat mengenai rahmat pula menenangkan jiwa.

Kesemua itu apabila diteliti dengan tadabbur, mampu melahirkan hati yang tenang serta iman yang lebih kukuh.

Al-Quran kekal relevan melalui ‘tadabbur’

Walaupun Al-Quran diturunkan berzaman lalu, ia tetap relevan untuk kehidupan harian.

Ia membawa panduan dalam pelbagai aspek seperti pengurusan masa, hubungan sosial dan amanah dalam melakukan sesuatu.

Sebagai contoh, nilai amanah, keadilan dan kesabaran adalah prinsip yang sering menjadi persoalan dalam kehidupan kita.

Ayat tentang kesabaran membimbing kita menghadapi cabaran, ayat tentang syukur mengingatkan kita ketika berada dalam kesenangan, manakala ayat tentang tanggungjawab mengingatkan peranan kita sebagai hamba di muka bumi.

Kekurangan tadabbur boleh menimbulkan rasa kerisauan apabila persoalan hidup timbul tanpa berpandukan Al-Quran.

Tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi tidak akan dapat dilaksanakan dengan baik tanpa memahami dan mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan harian.

Oleh itu, tadabbur menjadi asas penting untuk kita mengkaji, memahami dan menghayati kehidupan.

Ia menjadi kunci untuk kita terus bersemangat menjalani dunia melalui ibadah dan rutin harian.

Seiring dengan semangat ini, Masjid An-Nur akan menganjurkan acara pra-Ramadan, Tadabbur Al-Quran dan Kebangkitan Rohani – Perjalanan Mengenal Diri dalam Ramadan, yang bertujuan memupuk semua lapisan generasi melalui penghayatan dan tadabbur Al-Quran agar nilai yang dipelajari dapat diamalkan dalam kehidupan harian.

Acara yang berlangsung pada 8 Februari dari 9.30 pagi hingga 2.30 petang di Garnet Room, Singapore Expo, menawarkan pelbagai kegiatan seperti tilawah, tadabbur, ruqyah dengan Al-Quran serta bimbingan Al-Quran dalam membina keluarga yang harmoni.

Tiket boleh didapatkan melalui laman web annur.mimbar.sg.

Justeru tadabbur bukan sahaja membawa kita ke arah kehidupan abadi, malah membimbing kita memanfaatkan kehidupan dunia untuk menyediakan bekalan di syurga nanti.

Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca di bibir; ia perlu meresap ke dalam kehidupan kita.

Semuanya bermula apabila kita membaca dan memahami ayat-ayat-Nya.

Jika Al-Quran benar-benar penting dalam hidup kita, tanamkannya di hati agar menjadi penenang jiwa, pedoman dan membawa kita ke syurga abadi.

Penulis ialah Pegawai Dakwah di Masjid An-Nur. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda dalam Syariah Islamiah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg