Tingkat amal pada malam Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban merupakan malam pertengahan Syaaban yang sering dikaitkan dengan peluang memperbanyakkan amal ibadah dan memohon keampunan daripada Allah swt.
Walaupun ulama berbeza pendapat mengenai kelebihan khusus dan amalan tertentu pada malam itu, penekanan utama tetap terletak pada usaha menghidupkan ibadah serta menanam rasa keinsafan dan kesedaran dalam diri setiap Muslim.
Secara umum, Syaaban adalah bulan persediaan rohani sebelum menyambut kedatangan Ramadan.
Manakala malam Nisfu Syaaban boleh dilihat sebagai permulaan kepada usaha merebut keberkatan malam yang lebih agung pada bulan seterusnya, seperti lailatulqadar.
Justeru, malam Nisfu Syaaban menjadi saat kita menilai diri dan memperbaiki amalan, agar kita tidak mensia-siakan waktu dan bulan yang sering dilalaikan oleh ramai.
Keutamaan malam Nisfu Syaaban
Nisfu Syaaban sering dianggap sebagai malam istimewa kerana terdapat beberapa riwayat yang menyebutkan Allah swt mengampuni hamba-hamba-Nya pada malam tersebut. Antaranya ialah sabda Baginda saw:
“Sesungguhnya Allah melihat kepada makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampuni semua hamba-Nya kecuali orang yang mempersekutukan-Nya dan orang yang bermusuhan.” (HR Ibn Majah dinilai sahih oleh Al-Albani).
Walaupun terdapat perbahasan dalam kalangan ulama mengenai tahap kesahihan sebahagian riwayat berkaitan malam itu, perhatian terhadap Syaaban dan malam Nisfu Syaaban telah wujud sejak zaman awal Islam.
Ulama terdahulu menyambutnya dengan dorongan untuk memperbanyakkan amal kebaikan.
Diriwayatkan sebahagian ulama tabiin di wilayah Syam menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan beribadah dan memperbanyakkan solat di masjid.
Imam Syafii juga galak agar umat Islam memperbanyakkan doa dengan harapan agar ia dikabulkan.
Oleh itu, seorang Mukmin digalakkan mengisi malam tersebut dengan memperbanyakkan zikir, berdoa kepada Allah, serta memohon keampunan dan kelapangan daripada segala kesulitan, sebagai tanda kesungguhan dalam mendekatkan dirinya kepada-Nya.
Raih keampunan pada malam Nisfu Syaaban
Dalam usaha kita meraih kelebihan malam tersebut, kita juga perlu menjauhi dosa yang menjadi penghalang kepada penerimaan doa dan keampunan Allah.
Rasulullah saw menyebutkan dua perkara yang menghalang seseorang daripada mendapatkan keampunan Allah, iaitu perbuatan syirik dan sikap bermusuh-musuhan.
Justeru, mereka yang benar-benar merealisasikan tauhid dengan mengenal Allah melalui nama dan sifat-Nya, serta menjauhkan diri daripada segala bentuk syirik, adalah antara golongan yang layak menerima keampunan-Nya.
Oleh itu, hendaklah kita berhati-hati dalam setiap ucapan dan perbuatan agar tidak terjerumus ke dalam syirik, sama ada yang jelas mahupun yang tersembunyi.
Antaranya termasuk menyalahkan takdir atas musibah yang menimpa dan bersumpah dengan selain nama Allah.
Lebih berat lagi ialah perbuatan syirik yang nyata seperti melakukan sihir, bergantung kepada azimat, tangkal atau mantera dalam mengatur kehidupan dan mendapatkan keuntungan.
Syirik merupakan dosa terbesar dalam Islam dan sesiapa yang terjerumus ke dalamnya bukan sahaja terhalang daripada keampunan, bahkan diancam dengan azab yang berat.
Allah swt berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 72:
“Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu, maka Allah mengharamkan ke atasnya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka. Dan tiadalah bagi orang-orang yang zalim itu sebarang penolong.”
Manfaatkan malam Nisfu Syaaban
Tidak terdapat tuntutan khusus daripada Nabi saw atau para sahabat untuk melakukan ibadah tertentu pada malam Nisfu Syaaban.
Namun, berpuasa pada siangnya dibolehkan kerana ia termasuk dalam hari-hari putih yang disunatkan, iaitu tanggal ke 13, 14 dan 15.
Pada malam tersebut, seseorang digalakkan bertaubat, memperbanyakkan doa dan istighfar, kerana ia selari dengan semangat memohon keampunan Allah pada malam itu.
Namun, amalan paling utama pada malam tersebut ialah membersihkan hati daripada kebencian dan permusuhan, khususnya terhadap anggota keluarga dan orang terdekat.
Ibadah bukan hanya terhad kepada solat dan bacaan Al-Quran, bahkan memperbaiki silaturahim juga merupakan ibadah yang besar nilainya.
Seperti yang disebut dalam hadis di atas, hubungan baik sesama manusia adalah salah satu sebab utama untuk mendapat keampunan Allah swt.
Sahabat Nabi, Abdullah bin Amr ra, pernah bertanya kepada Rasulullah saw:
“Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling baik?”
Baginda menjawab: “Setiap orang yang berhati bersih dan benar ucapannya.”
Mereka bertanya lagi: “Kami tahu maksud orang yang benar ucapannya, tetapi apa maksud berhati bersih?”
Baginda bersabda: “Iaitu orang yang bertakwa, suci, tidak menyimpan dosa, tidak berbuat kezaliman, tidak memiliki rasa dendam dan tidak iri hati.” (HR Ibn Majah).
Oleh itu, manfaatkan malam Nisfu Syaaban untuk merapatkan hubungan, memohon maaf dan memaafkan kesilapan sesama insan.
Hati yang bersih dan hubungan yang baik akan menjadikan seseorang lebih tenang serta lebih layak menerima keampunan dan rahmat Allah swt.
Artikel ini disumbang oleh Darul Tafsir, Masjid Al-Khair.

