Topik diikuti
Pergi ke BHkuJadikan iktibar kegenjotan bekalan haiwan korban
Jadikan iktibar kegenjotan bekalan haiwan korban
Jadikan iktibar kegenjotan bekalan haiwan korban
Ibadah korban di empat masjid setempat kendalian pihak Aliyah Rizq Holdings dan AgroMasters dengan kerjasama empat masjid setempat pada Hari Raya Aidiladha umumnya berjalan lancar.
Namun pada tahun ini (2026) juga berlaku kegenjotan apabila sebuah syarikat pengendali haiwan korban tempatan, The Meat Brothers, menyatakan pihaknya tidak dapat membawa masuk kira-kira 400 ekor kambing dari Australia menjelang hari kebesaran itu.
Ini setelah syarikat itu tidak sempat mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Australia.
Sememangnya difahami apabila ramai sohibul (pelaksana) korban berasa kecewa.
Namun, usahlah kekecewaan itu bertukar kepada rasa amarah yang melampau sehingga berlaku perkara yang tidak diingini.
Sebaiknya, ia mesti ditangani secara tenang dan saling menghormati dengan pihak syarikat mesti melaksanakan janji dan amanah mereka kepada pelaksana korban.
Seperti dalam peristiwa Nabi Ibrahim as yang diperintahkan Allah swt agar mengorbankan anaknya, Nabi Ismail as, ibadah korban menuntut sikap ketaatan, kepatuhan dan penuh reda.
Oleh itu, pelaksana korban juga wajar menerima kegenjotan itu sebagai takdir yang berlaku, sedang mereka sudah berniat dan berusaha melakukan ibadah korban itu, dan selainnya diserahkan kepada Ilahi.
Sama penting, insiden kegenjotan kiriman haiwan korban ini juga mesti dijadikan pengajaran agar tidak dibiarkan berulang dan mengecewakan pelaksana korban setempat.
Satu saranan adalah agar syarikat pengimport haiwan korban – walaupun mungkin merupakan pesaing industri – dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), boleh saling berkongsi amalan dan tadbir urus yang baik.
Ini agar pada tahun-tahun mendatang, proses dan urusan kiriman haiwan korban ke negara ini dapat terus dipertingkat, demi kepentingan mereka dan lebih utama, demi kepentingan pelaksana ibadah korban di sini.
Sebab itu, amat menggembirakan untuk dilaporkan bahawa Muis akan terus bekerjasama dengan pengendali khidmat korban bagi memperkukuh urusan korban pada masa akan datang seperti yang dinyatakan oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Beliau memberi jaminan sedemikian selepas solat Hari Raya Aidiladha di Masjid Assyakirin pada 27 Mei, dan beliau juga akur akan rasa kecewa yang menyelubungi perasaan sebahagian pelaksana korban susulan kegenjotan urusan korban melibatkan empat masjid di sini.
Apapun, detik sukar seperti kegenjotan bekalan haiwan korban akan memperlihatkan sikap masyarakat Islam dalam menangani cabaran ini, dan tidak harus dibiarkan menjadi buruk sehingga menjejas hubungan sesama Muslim dan manusia.
Ibadah korban adalah satu ibadah suci dan tidak harus dicemarkan oleh perbuatan yang keji sehingga menjejas imej masyarakat Islam setempat.
Semoga kita dapat menghayati perayaan Aidiladha dan meraikan ibadah korban ini dengan penuh rasa syukur atas kemakmuran dan ketenangan yang kita nikmati di tanah air kita.
