“Sabarlah. Mungkin dia tak sengaja. Itu pun kena sepak, bukan pukul bantai. Lagipun, apa kau buat sampai dia mengamuk?”
Ungkapan ini sering disebut kepada mangsa keganasan rumah tangga. Keganasan, dalam apa jua bentuk, tetap keganasan. Tiada alasan bagi kelakuan ganas dan keterlaluan.
Menyalahkan mangsa perlu dihentikan. Adalah cukup sukar bagi mangsa untuk mendedahkan apa yang mereka lalui.
Mereka tidak seharusnya dipersalahkan atau dihalang daripada mencari pertolongan.
Jadi bagaimanakah wanita dalam hubungan ganas mendapat bantuan, lebih-lebih lagi apabila mereka mempunyai anak?
Jika anda dalam hubungan seperti ini atau tidak pasti sama ada apa yang berlaku kepada anda suatu penderaan, anda boleh menghubungi mana-mana Pusat Khidmat Keluarga (FSC) di serata negara.
Akan ada profesional yang boleh membantu, membimbing dan menyokong anda sewajarnya.
Cik Aminah salah seorang penghuni kami. Beliau dirujuk ke Casa Raudha bersama dua anaknya; lelaki, 14 tahun; dan perempuan, 15 tahun.
Fail kesnya menyatakan penderaan itu telah berlaku sepanjang 15 tahun perkahwinannya.
Suaminya sering memukul dan mencederakannya, termasuk memulas lengannya hinggakan menjadi sakit kronik. Suaminya juga sering merendah-rendahkannya.
Penderaan itu berlanjutan kepada anak-anaknya. Anak perempuannya kelihatan paling teruk didera.
Pernah suaminya menolak remaja itu hingga terhantuk kepalanya di pintu. Malah pernah mengancamnya dengan pemetik api.
Cik Aminah tidak sedar beliau didera. Beliau sebenarnya pernah mendekati FSC untuk bantuan kewangan, hingga membawa kepada pekerja sosial mendedahkan isu sebenar keganasan keluarga.
Keadaannya dinilai dan didapati tidak dapat dipertahankan, dengan keselamatan anak-anaknya dan dirinya terancam. Beliau dan anak-anaknya lantas dirujuk kepada kami.
Casa Raudha tempat perlindungan krisis untuk mangsa keganasan rumah tangga. Wanita dan kanak-kanak yang tiada tempat lain dimasukkan ke tempat perlindungan kami.
Cik Aminah dan anak-anaknya berkongsi bilik tiga katil. Mereka mempunyai akses ke dapur umum, boleh memasak dengan bahan-bahan yang kami sediakan.
Beliau menghadiri sesi kaunseling untuk membantunya menangani traumanya dan membina mekanisme daya tindak positif bagi membantu mengalihkan perhatiannya daripada pemikiran negatif.
Penyedia khidmat kesihatan telah dibawa masuk untuk memberi bantuan dan sokongan perubatan.
Kededua anaknya turut diberikan nasihat dan terapi. Pekerja sosial kami berhubung dengan pihak sekolah untuk memastikan persekolahan mereka tidak terganggu.
Cik Aminah menyertai program dalaman kami untuk memahami tentang kitaran keganasan.
Beliau bekerja rapat dengan pekerja sosial kami untuk bersama mencipta rancangan keselamatan yang praktikal dan sesuai. Langkah-langkah seperti ini membantu mangsa/pemandiri (survivor) belajar melindungi diri.
Antara langkah yang dipelajari termasuk cara mengurus interaksi dengan suaminya dan meminimumkan risiko keganasan berulang.
Beliau menerima bantuan kewangan untuk keperluan segeranya dan ditaja untuk mengikuti kursus Kebersihan dan Keselamatan Makanan bagi meluaskan peluang pekerjaannya. Beliau juga dihubungkan dengan agensi pemadanan pekerjaan.
Bantuan undang-undang diberikan kepadanya dalam permohonan mendapatkan Perintah Perlindungan Peribadi.
“Mengapa dia tidak keluar sahaja?”
Ini soalan biasa apabila kita mendengar tentang isteri atau wanita didera. Jawapannya tidak begitu mudah.
Mangsa/pemandiri mengalami kebimbangan, kemurungan, rasa terhakis harga diri dan tidak berdaya. Kadang-kadang, mereka putus asa.
Mereka mungkin tidak mendapatkan bantuan segera atas pelbagai sebab; malu, takut tidak dipercayai atau mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana mendapatkan bantuan.
Keputusan untuk meninggalkan rumah adalah sesuatu yang sukar kerana kebanyakan mangsa mahu menamatkan penderaan itu tetapi bukan perkahwinan mereka.
Biasanya, keputusan untuk pergi hanya datang apabila mereka berasa tidak lagi dapat melindungi anak-anak mereka.
Keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Beberapa tanda lebih biasa termasuk pencerobohan fizikal seperti menampar, memukul, atau menolak.
Penderaan lisan termasuk ancaman (kekerasan), cacian, malah pendera mungkin mengugut mahu mencederakan dirinya sendiri.
Tanda-tanda penderaan rumah tangga lain termasuk seseorang yang cuba mengawal pergerakan atau perbelanjaan pasangannya.
“Sudahlah tu. Jangan buka aib laki kau.”
Kita perlu memahami bahawa keganasan rumah tangga bukan hanya fizikal. Ia juga mengenai kawalan, pengasingan, manipulasi, tipu daya hingga menjejas kewarasan pasangan, dan kewangan.
Kita mesti menjauhi tanggapan bahawa keganasan dalam perkahwinan atau keluarga adalah perkara peribadi.
Ustaz Tarmizi Wahid, yang pernah bercakap mengenai isu ini, berkongsi bahawa tindakan yang menjejas keselamatan pasangan bukanlah sesuatu yang kita ingin labelkan sebagai “aib”, terutama apabila ia berterusan, dan jelas memberi kesan ke atas fikiran, perasaan dan jasmani mangsa.
Perlindungan daripada bahaya adalah salah satu objektif utama Syariah.
Beliau menegaskan bahawa dalam Islam, kita diajar membantu orang yang dizalimi dan orang yang zalim. Apabila Nabi saw ditanya bagaimana kita membantu orang yang zalim? Baginda menjawab: “Dengan menghalangnya daripada menzalimi orang lain.”
Ini menunjukkan bahawa apabila mangsa mencari bantuan, keselamatan dan perlindungan, mereka secara tidak langsung menghalang kemudaratan selanjutnya. Ini selaras dengan prinsip Islam.
Keganasan juga memberi kesan kepada kanak-kanak. Anak-anak mangsa penderaan akan lebih berkemungkinan turut didera.
Mereka juga cenderung mempunyai prestasi sekolah lebih buruk, dan mempunyai kadar penyakit lebih tinggi, termasuk kemurungan dan keresahan.
Kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan keluarga lebih berkemungkinan mengalaminya sendiri apabila dewasa, sama ada sebagai pelaku atau mangsa. Ini dipanggil penderaan antara generasi.
Tempat perlindungan krisis kami memainkan peranan kecil dalam membantu mangsa/pemandiri keganasan rumah tangga.
Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan agensi perkhidmatan sosial lain bekerja tanpa jemu untuk memastikan keselamatan dan perlindungan wanita dan kanak-kanak. Tetapi ini tidak mencukupi.
Kita memerlukan kempen kesedaran awam yang berterusan. Kita perlu sentiasa mendidik masyarakat kita, terutama generasi muda kita, bahawa keganasan dalam apa jua bentuk tidak boleh diterima.
Jika anda fikir ada nyawa dalam bahaya, hubungi polis di 999. Jika anda mengesyaki seseorang yang anda kenali telah didera, hubungi Talian Bantuan Anti-Keganasan dan Gangguan Seksual Kebangsaan di 1800-7770000.
Kita boleh membantu mereka percaya kehidupan akan menjadi lebih baik. Kita boleh beri mereka harapan.
Penulis merupakan Pengerusi Casa Raudha, tempat perlindungan krisis untuk mangsa keganasan rumah tangga. Beliau juga Pengasas dan Pengarah The Whitehatters.
“
Mereka mungkin tidak mendapatkan bantuan segera atas pelbagai sebab; malu, takut tidak dipercayai atau mungkin tidak tahu bagaimana dan di mana mendapatkan bantuan. Biasanya, keputusan untuk pergi hanya datang apabila mereka berasa tidak lagi dapat melindungi anak-anak mereka.... Kita boleh membantu mereka percaya kehidupan akan menjadi lebih baik. Kita boleh beri mereka harapan.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg