Tidak lama lagi tahun 2025 bakal melabuhkan tirainya.
Ada yang mungkin yang kini mula menjenguk kembali senarai azam tahun baru yang ditetapkan di awal tahun.
Ada yang berhajat mengurangkan berat badan, ada yang bertekad membaca lebih banyak buku, ada yang berura-ura hendak lebih berjimat cermat.
Tidak dinafikan matlamat jangka panjang penting untuk menetapkan hala tuju dalam kehidupan seseorang untuk mencapai sesuatu.
Lazimnya, pencapaian yang paling diraikan adalah pencapaian ‘besar’ seperti kelulusan daripada sekolah, kenaikan pangkat atau pembelian rumah pertama, misalnya.
Dalam dunia media sosial, pencapaian seperti ini selalunya diuar-uarkan, dan sedikit sebanyak meningkatkan jangkaan kita terhadap apa yang dianggap sebagai satu kejayaan.
Namun, selalunya kita terlepas untuk meraikan ‘kemenangan kecil’ dalam kehidupan.
Ahli psikologi Karl Weick berhujah bahawa masalah yang besar, boleh ditangani dengan ‘memecahkannya’ kepada tugasan yang lebih kecil, dan mudah diatasi – yang beliau sebutkan sebagai ‘kemenangan kecil’.
Dengan memberi tumpuan kepada beberapa kemenangan kecil, seorang individu boleh membangun momentum, kekalkan motivasi, sekali gus memberi keyakinan untuk mencapai matlamat lebih besar.
Dalam satu kajian Harvard pada 2007, ahli saintis mengkaji lebih 12,000 catatan jurnal oleh 238 orang daripada beberapa syarikat. Kajian itu menunjukkan usaha meraikan kemenangan kecil menjadikan individu lebih bermotivasi.
Hasil kajian itu menunjukkan perkara kecil – bukan pencapaian detik utama – yang memainkan peranan paling penting.
Dapatan ini mengukuhkan satu lagi prinsip utama dalam psikologi: Momentum.
Apabila kita berdepan dengan matlamat yang amat besar, otak kita cenderung untuk melihat risiko dan rintangan yang mungkin berlaku, satu fenomena yang disebut sebagai negativity bias atau bias negatif.
Ini boleh menyebabkan kita berasa lumpuh dan mengelak daripada memulakan langkah pertama.
Kemenangan kecil bertindak sebagai penawar. Setiap kali kita mencapai “kemenangan,” ia bukan sahaja memberi ganjaran (dopamine), tetapi juga memberi bukti nyata kepada diri sendiri bahawa kemajuan boleh dicapai.
Kemenangan demi kemenangan, walau kecil, akan membentuk teras keyakinan dan daya tahan.
Apabila berhadapan dengan kegagalan besar yang tidak dapat dielakkan, individu yang kerap meraikan kemenangan kecil lebih cepat bangkit, kerana mereka memiliki satu simpanan pengalaman positif yang meyakinkan mereka bahawa mereka mampu bergerak maju.
Ringkasnya, ia mengubah fokus daripada tekanan untuk mencapai kesempurnaan, kepada kepuasan dalam proses kemajuan yang konsisten.
Membina atas teori Weick, pendidik dari Canada Merhnaz Bassiri, berkata: “Kemenangan kecil mempunyai kuasa transformasi.
“Setelah mencapai kemenangan kecil, perjalanan sudah bermula ke arah satu demi satu kemenangan kecil hingga gabungan kemenangan kecil ini membawa ke arah pencapaian lebih yang lebih besar dan hebat.”
Seperti dalam peribahasa Melayu, kecil-kecil lama-lama jadi bukit. Atau pepatah Cina: perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Ini juga berkaitan dengan konsep istiqamah dalam Islam yang mengutamakan amalan kecil tetapi dilakukan secara tetap.
Malah, meraikan kemenangan kecil boleh meningkatkan kepuasan hidup serta memberi manfaat kepada kesejahteraan mental seseorang.
Kajian menunjukkan pengiktirafan kemenangan kecil mengaktifkan sistem ganjaran otak, yang membawa kepada pengeluaran hormon dopamine yang memperkukuh sikap positif.
Sebaliknya, tanpa pengiktirafan kemenangan kecil, seseorang individu mungkin lebih cenderung untuk menghadapi tekanan dan mengalami keletihan atau burnout.
Apakah kemenangan kecil yang boleh dianggap dalam kehidupan seharian kita?
Ini termasuk mendapatkan tidur yang secukupnya; bersenam; makan makanan yang sihat, habis membaca buku yang sudah lama ditangguhkan; mengemas kabinet atau laci yang berselerak; mengetepikan masa untuk penjagaan diri; bahkan berborak dengan orang tersayang.
Anda boleh rakamkan kemenangan kecil seharian dengan menulis dalam jurnal peribadi dalam usaha untuk menjejak kemajuan terhadap matlamat yang lebih besar.
Tumpukan kepada kemajuan, bukan kesempurnaan. Ini memerlukan anda untuk mengiktiraf usaha, dan bukan pencapaian semata-mata.
Perlukah kita uar-uarkan pencapaian kecil kepada orang lain? Ada yang berpendapat ini mungkin satu cara untuk mempertanggungjawab diri dan mendapatkan motivasi daripada individu di sekeliling kita.
Namun, pengumuman seperti ini mungkin tidak mendatangkan manfaat. Kata Bassiri: “Kajian menunjukkan apabila kita kongsi matlamat besar dan penting dengan orang ramai, dan sebaik sahaja kita menerima pengiktirafan sosial, otak kita mula berfikir kita telah mengecapi matlamat itu.
“Jadi kita kurang bermotivasi untuk membuat kegiatan yang menjadikan kita lebih dekat ke arah mencapainya.”
Sedang kita mengalu-alukan tahun baru nanti, bolehlah kita siapkan azam yang baru untuk turut meraikan kemenangan kecil setiap hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg