Kes pemecatan tiga eksekutif kanan SingPost pada 21 Disember telah mencetuskan kejutan.
Pemecatan yang berlaku serta-merta itu menimbulkan banyak persoalan termasuk berhubung isu tentang kebertanggungjawapan, ketelusan dan tanda tanya mengenai pemberi maklumat atau ‘whistle-blower’.
Hakikat bahawa pemberi maklumat berasa terdorong untuk tampil berkongsi keprihatinan, selain bersedia menghadapi risiko, ia sekali gus menimbulkan persoalan tentang budaya dalaman dan tadbir urus syarikat.
Meskipun banyak tumpuan mungkin diberikan kepada mantan ketua pegawai eksekutif (CEO) kumpulan, Encik Vincent Phang; mantan ketua pegawai kewangan (CFO) kumpulan, Encik Vincent Yik; dan mantan CEO unit perniagaan antarabangsa SingPost, Encik Li Yu, namun pendedahan pemberi maklumat kekal menjadi misteri.
‘Whistle-blower’ adalah pemberi maklumat yang secara munasabah percaya adanya bukti salah laku terhadap sesetengah individu atau kumpulan, lalu mengambil keputusan membuka rahsia dan mendedahkan segala.
Kadangkala, ia mungkin melibatkan mereka yang diberi kuasa dalam sesebuah syarikat atau pihak atasannya.
Melalui pendedahan sebegitu dan berdasarkan bukti, pemberi maklumat berharap apa jua salah laku dapat diperbetulkan, sekali gus menggalakkan kejujuran, kecekapan dan keberkesanan oleh pihak yang diberi tanggungjawab.
Dalam kes SingPost, yang digelar ‘Parcelgate’, syarikat itu menerima laporan daripada pemberi maklumat pada Januari 2024 berhubung adanya penyimpangan.
Salinan laporan itu turut dihantar ke Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) meskipun perkara itu tidak mempunyai kesan ke atas penghantaran pos dan bungkusan tempatan.
Secara khusus, ia melibatkan pemalsuan data penghantaran e-dagang serta kelakuan eksekutif kanan dalam mengendalikan isu yang ditimbulkan oleh pemberi maklumat.
Rentetan siasatan menyusul kemudian sehingga membawa kepada pemecatan ketiga-tiga eksekutif kanan itu.
Mereka didapati “terlalu cuai” dalam mengendalikan siasatan dalaman berhubung laporan pemberi maklumat yang diterima oleh syarikat tersebut.
Apa yang berlaku dalam SingPost mungkin juga berlaku atau pernah berlaku dalam syarikat atau organisasi lain.
Bagaimanapun, kakitangan mungkin lebih cenderung menutup sebelah mata atau mengunci mulut.
Hakikatnya, besar kemungkinan mereka enggan terlibat dalam tindak balas yang sekali gus boleh menyebabkan periuk nasi mereka terganggu.
Tetapi wajarkah budaya sebegini dibiarkan begitu sahaja?
Pemberi maklumat kerap menghadapi cabaran dan risiko apabila melaporkan salah laku.
Mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan tindak balas daripada majikan, pengasingan sosial oleh rakan sekerja, tekanan emosi atau membangkitkan kemarahan pihak yang terlibat.
Malah, terdapat juga kes apabila pemberi maklumat dipecat kerana mempertahankan kebenaran dan nilai moral.
Persoalan yang harus menjadi renungan adalah, cukupkah perlindungan yang diberikan kepada pemberi maklumat?
Sesetengah syarikat atau organisasi mungkin mempunyai budaya yang tidak menggalakkan pekerja bersuara.
Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam diri pemberi maklumat yang mungkin mempersoalkan kedudukan mereka yang dianggap sebagai ‘pengacau’.
Setelah memberi maklumat, adakah syarikat dan organisasi itu akan menjalankan siasatan menyeluruh atau sekadar suam-suam kuku, atau lebih teruk lagi jika ia sekadar dipandang remeh dan diletak ke tepi.
Secara am, pemberi maklumat mungkin berhadapan dengan dinamik kuasa iaitu apabila syarikat atau organisasi lebih cenderung mempercayai pihak yang berjawatan lebih tinggi.
Tidak seperti beberapa negara lain, Singapura tidak mempunyai undang-undang khusus melibatkan pemberi maklumat.
Namun, terdapat undang-undang yang wajar diketahui bagi melindungi pemberi maklumat.
Ia termasuk Akta Mencegah Rasuah, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Akta Pertaruhan.
Syarikat biasanya mempunyai dasar bagi pekerja membuat laporan tanpa berasa gentar tentang kesan tindak balas, diskriminasi atau akibat buruk.
Organisasi itu biasanya mempunyai unit audit dalaman yang bebas untuk mengendali saluran pelaporan bagi memastikan tahap kerahsiaan.
Bagaimanapun, pendekatan tanpa mendedahkan nama sekali gus menimbulkan isu kewibawaan maklumat yang diberikan kerana pihak yang menyiasat sulit mendapatkan penjelasan, jika perlu, dan ia mengenjotkan proses siasatan.
Pemberi maklumat boleh menghantar laporan kepada agensi luar jika mereka berasa laporan mereka tidak dipandang serius.
Dalam kes syarikat tersenarai dalam Bursa Singapura (SGX), ia mempunyai Pejabat Pemberi Maklumat SGX Regco.
Ia menawarkan saluran bagi memastikan kerahsiaan dan proses teguh dalam menerima, menilai dan menangani dakwaan pemberi maklumat.
Menurut laman webnya, “semua laporan yang diterima akan ditangani dengan penuh kesungguhan, dan dinilai berdasarkan merit pada isinya tanpa mengambil kira identiti pengirim atau pihak yang didakwa”.
Menurut laman web, Singapore Legal Advice atau Nasihat Guaman Singapura, terperangkap dalam dilema sama ada untuk menjadi pemberi maklumat atau tidak, memang boleh difahami kerana ia boleh membawa tekanan.
Seseorang mungkin secara wajar ingin mendedahkan salah laku, rasuah, atau kesalahan yang dilakukan oleh pihak atasan dalam organisasi, syarikat atau pihak berkuasa.
Peranan pemberi maklumat bukan perkara baru. Akta Melindungi Pemberi Maklumat di Amerika Syarikat telah diluluskan seawal 30 Julai 1778.
Setiap tahun sejak 2013, Senat mengiktiraf tarikh itu sebagai Hari Pemberi Maklumat Kebangsaan.
Amerika Syarikat memperuntuk Hari Pemberi Maklumat Kebangsaan pada 30 Julai setiap tahun bagi merai keberanian pemberi maklumat di seluruh Amerika dan sumbangan bersejarah yang telah mereka lakukan kepada masyarakat, demokrasi dan usaha antirasuah di seluruh dunia.
Norway disifatkan sebagai antara negara yang menawarkan sokongan kuat kepada pemberi maklumat melalui undang-undang perlindungan yang menyeluruh bagi individu yang membuat laporan tentang salah laku atau tindakan tidak beretika.
Ia melindungi identiti pemberi maklumat dan melarang majikan daripada membalas dendam terhadap mereka.
Sokongan kuat negara itu dalam menangani laporan pemberi maklumat telah menyumbang kepada budaya yang telus, kebertanggungjawapan, serta menggalakkan individu bersuara bagi menentang salah laku.
Kes SingPost boleh disifatkan sebagai iktibar kepada syarikat dan organisasi untuk menilai semula proses dalaman syarikat.
Memang tidak dinafikan adakalanya laporan yang dikemukakan mungkin didapati tidak tepat.
Namun, hakikat bahawa pemberi maklumat sanggup meletakkan kerjayanya di hujung tanduk adalah cerminan betapa seriusnya perkara itu pada pandangannya.
Pada 2020, pakar oftalmologi – kajian tentang mata dan penyakit berkaitan dengannya – Dr Li Wenliang, dari China adalah pemberi maklumat pertama tentang koronavirus baru – kemudian dinamakan Covid-19.
Bagaimanapun, dakwaannya tidak dipandang serius. Pihak berkuasa memanggilnya dan menyifatkan keprihatinan yang disuarakan itu adalah “komen palsu”.
Ternyata keprihatinan Dr Li memang berasas dan Covid-19 bukan sahaja melumpuhkan ekonomi dunia, malah turut meragut nyawa Dr Li sendiri.
Dengan permulaan 2025, mungkin sudah tiba masanya lebih banyak perhatian diberikan kepada pemberi maklumat dan apa yang disuarakan tidak lagi dipandang sepi.
Sudah tiba masanya juga syarikat dan organisasi membentuk budaya telus yang menggalakkan pemberi maklumat agar tampil berkongsi keprihatinan daripada menutup sebelah mata dan mengunci mulut.
Hargailah maklumat yang dikongsi dan semoga usaha itu bukan ibarat mencurah air ke daun keladi.
“
“Memang tidak dinafikan adakalanya laporan yang dikemukakan mungkin didapati tidak tepat. Namun, hakikat bahawa pemberi maklumat sanggup meletakkan kerjayanya di hujung tanduk adalah cerminan betapa seriusnya perkara itu pada pandangannya.”“
“Dengan permulaan 2025, mungkin sudah tiba masanya lebih banyak perhatian diberikan kepada pemberi maklumat dan apa yang disuarakan tidak lagi dipandang sepi. Sudah tiba masanya juga syarikat dan organisasi membentuk budaya telus yang menggalakkan pemberi maklumat agar tampil berkongsi keprihatinan daripada menutup sebelah mata dan mengunci mulut. Hargailah maklumat yang dikongsi dan bukan ibarat mencurah air ke daun keladi.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg