Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Wacana
37
0

CATATAN WARTAWAN

Kuota haji kembali, kini masa jemaah persiap diri

Jan 15, 2023 | 05:30 AM



TERASA amat lega apabila diumumkan bahawa negara ini akan kembali diberi kuota rasmi haji sebanyak 900 tempat.



Sebelum wabak Covid-19 pada awal 2020, kerajaan Saudi memperuntukkan 900 tempat kepada jemaah haji Singapura setiap tahun.



Namun, pada 2020 dan 2021, tiada sebarang tempat haji diperuntukkan ekoran penularan wabak Covid-19 sepanjang dua tahun itu.



Ia bukan hanya menjejas jemaah Singapura, bahkan jemaah dari seluruh dunia.



Pada musim haji tahun lalu pula, semasa wabak Covid-19 mula terkawal, Singapura diberi 407 tempat haji oleh kerajaan Saudi, dan kemudian diberi tempat tambahan 493 tempat pada tahun sama.



Seramai 890 warga Singapura akhirnya dapat menunaikan ibadah haji pada tahun lalu kerana 10 tidak mendapat keputusan negatif bagi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19.



Bagi musim haji tahun ini, kerajaan Saudi telah mengumumkan bahawa jumlah jemaah haji dari luar negara akan kembali seperti sebelum pandemik Covid-19.



Sama penting, peruntukan kuota itu diberi tanpa sebarang had usia.



Tahun lalu, kerajaan Saudi menetapkan bahawa jemaah haji yang dibenarkan adalah mereka yang berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian PCR dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.



Menyusuli perkembangan baru ini, kini menjadi tanggungjawab bakal jemaah haji Singapura untuk bersedia menyahut surat undangan (niat) yang bakal diberi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tidak lama lagi.



Menurut Muis, pihaknya akan memperuntukkan 900 tempat haji itu kepada jemaah yang telah mendaftar di Sistem Pendaftaran Haji Awal (AHRS) dan berdasarkan kedudukan pendaftar dalam senarai menunggu AHRS.



Muis berharap jemaah akan "mengesahkan sama ada mereka berminat untuk dipertimbangkan bagi haji 2023 jika ditawarkan tempat,... dan membalas surat Muis dalam garis masa yang ditetapkan".



Jemaah yang berminat dan berada dalam senarai menunggu paling atas sewajarnya bersedia dari segi jasmani dan rohani.



Ini memandangkan penyediaan ibadah haji itu memerlukan kedua-dua persiapan tersebut.



Dari segi jasmani, mereka harus bersenam secara tekal (tetap dan kekal) dalam usaha memastikan diri mereka sihat dan mampu berjalan kaki beberapa kilometer, khususnya bagi melakukan ibadah melontar jamrah di Mina kelak.



Usah meremehkan persiapan jasmani kerana ia boleh membantu jemaah untuk melaksanakan ibadah haji dengan lebih baik.



Bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik, pastikan mengambil ubat secara berdisiplin. Ini agar mereka tiba di Makkah kelak dalam keadaan kesihatan yang baik, dengan penyakit mereka lebih terkawal.



Selain itu, bagi jemaah yang membentuk kumpulan melepasi 900 jemaah pertama itu, mereka juga boleh bersiap sedia kerana ada kemungkinan sebilangan mereka menerima undangan haji pada "minit-minit terakhir".



Ini memandangkan kerajaan Saudi sering memberi tempat tambahan beberapa bulan sebelum musim haji bermula, sama seperti semasa saya diberi peluang menunaikan rukun Islam kelima itu pada 2019.



Jika tambahan tempat itu diberikan, bersegeralah mendalami ilmu melalui kursus manasik haji anjuran ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) tempatan, dan meraih ilmu tambahan ibadah haji melalui video di Internet yang banyak disediakan pihak GSA ini.



Sama seperti 900 jemaah pertama, kumpulan ini juga perlu membuat persiapan jasmani sebaik mungkin.



Semoga kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan perjalanan haji jemaah Singapura pada tahun ini dan juga pada tahun-tahun mendatang, dengan lebih ramai jemaah negara kita dapat menunaikan ibadah ini.




"Jemaah yang berminat dan berada dalam senarai menunggu paling atas sewajarnya bersedia dari segi jasmani dan rohani.

Ini memandangkan penyediaan ibadah haji itu memerlukan kedua-dua persiapan tersebut."

- Penulis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >