Topik diikuti
Pergi ke BHkuLangkah cegah eksploitasi agama demi kuasa, dominasi
Langkah cegah eksploitasi agama demi kuasa, dominasi
Langkah cegah eksploitasi agama demi kuasa, dominasi
Perbincangan mengenai isu kontemporari dari sudut pandang agama mampu menjadi pendorong kepada kebaikan, namun pada masa sama, berpotensi menjadi ancaman kepada masyarakat.
Perbincangan sebegini bukan sahaja mencorak pemikiran, malah boleh juga diperalatkan untuk memanipulasi emosi.
Bagi penggubal dasar dan pemimpin agama, fokus utama sewajarnya ditumpukan kepada aspek pencegahan, penilaian bijaksana, dialog, serta tadbir urus.
Di kebanyakan negara, peranan agama kini tidak lagi terhad kepada ruang peribadi semata-mata.
Kepercayaan, simbol, dan pemimpin agama dilihat semakin mempengaruhi perdebatan awam serta proses pembuatan keputusan politik.
Pada masa sama, aktor politik juga kerap mengeksploitasi naratif agama untuk memperkukuh kredibiliti, meraih sokongan, atau menggambarkan sesuatu konflik sebagai satu perjuangan moral.
Agama pastinya boleh – dan sepatutnya – memberi sumbangan positif kepada kehidupan bermasyarakat dengan menggalakkan nilai murni, tanggungjawab sosial, serta perpaduan masyarakat.
Namun, masalah mula timbul apabila naratif agama tertentu dimanipulasi bagi memberi justifikasi kepada matlamat politik dan ketenteraan, memajukan kepentingan partisan, atau menggambarkan konflik politik sebagai satu perjuangan suci.
Naratif agama dalam konflik kontemporari
Konflik antarabangsa baru-baru ini menunjukkan bagaimana retorik agama mampu mencorak tanggapan awam dan mempengaruhi sokongan politik.
Dalam konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sentimen agama sering kali digunakan dalam naratif politik dan ketenteraan pihak masing-masing.
Apabila pemimpin politik dan agama secara terbuka memohon ‘restu tuhan’ dalam membuat keputusan politik, tindakan ini memperkukuh persepsi bahawa keputusan tersebut mendapat ‘kebenaran yang suci’.
Begitu juga apabila segelintir aktor politik menggunakan rujukan berunsurkan agama serta naratif sejarah keagamaan untuk membentuk konflik kontemporari yang sedang berlaku.
Contoh sedemikian tidak hanya terhad kepada mana-mana agama, negara, atau masyarakat tertentu sahaja.
Merentasi pelbagai tradisi dan latar belakang, bahasa atau istilah keagamaan sering kali dimanipulasi bagi memperkukuh kedudukan politik, mendapatkan sokongan ramai, serta memberi justifikasi kepada tindakan tertentu.
Kebimbangan sebenar bukan berkaitan agama itu sendiri, tetapi bagaimana naratif agama tertentu dimanipulasi demi kepentingan kuasa, dominasi, atau konflik.
Letak prinsip jelas pada penglibatan agama
Pemimpin agama memainkan peranan penting dalam menyampaikan prinsip agama yang universal seperti keadilan, belas kasihan, kemanusiaan, keamanan, dan tanggungjawab.
Teks keagamaan sememangnya mudah dimanipulasi demi mencapai matlamat politik dan peribadi.
Emosi yang meluap-luap – terutamanya perasaan marah – mampu mengaburkan pemikiran, sekali gus mendedahkan individu kepada naratif agama yang dimanipulasi.
Dalam keadaan hati dihimpit rasa tidak berdaya dan putus asa, naratif agama yang dimanipulasi akan menemui tapak yang subur dalam kalangan mereka yang mendambakan sinar harapan dan makna kehidupan.
Di sinilah peranan pemimpin agama menjadi sangat penting untuk mengetengahkan semula prinsip agama yang jelas.
Apabila prinsip ini diperjelaskan, masyarakat akan menjadi lebih bersedia dan mampu membezakan antara ajaran agama tulen dengan tafsiran dimanipulasi yang hanya memenuhi kepentingan politik atau ideologi tertentu.
Oleh itu, pendidikan agama sewajarnya memberi penekanan kepada prinsip etika dan pemahaman kontekstual; bukan sekadar berorientasikan ritual, hukum-hakam, identiti, mahupun perbezaan doktrin semata-mata.
Perkukuh pemikiran kritikal, kebijaksanaan nilai maklumat
Kemudahan menyebarkan maklumat salah dan palsu, serta kandungan yang sarat dengan emosi menjadikan proses menilai dan menyaring maklumat semakin mencabar, namun ia tetap amat penting.
Masyarakat beragama sewajarnya membudayakan amalan pengesahan fakta, penilaian kritikal, serta perkongsian maklumat secara bertanggungjawab.
Setiap individu perlu menilai sesuatu dakwaan berdasarkan bukti yang sahih, bukan sekadar menerima sesuatu bulat-bulat hanya kerana perkara itu selari dengan kepercayaan sedia ada, kesetiaan kepada satu pihak, mahupun rasa tidak puas hati.
Membina tabiat sebegini amat penting dalam mengurangkan penularan naratif yang memecahbelahkan masyarakat, sekali gus menghalang salah guna agama dalam perbincangan awam.
Pupuk dialog berterusan dalam kalangan pemimpin
Pertemuan dan libat urus secara berkala antara pemimpin agama, politik, dengan anggota masyarakat dapat membantu membina kepercayaan, persefahaman, serta tanggungjawab bersama.
Hubungan sebegini tidak sepatutnya dihadkan sebagai tindak balas terhadap sesuatu krisis sahaja.
Sebaliknya, ia harus menjadi proses berterusan yang memupuk kepercayaan, memperkukuh hubungan, menggalak perbincangan awam yang membina, serta membantu pemimpin menangani ketegangan yang baru muncul sebelum ia meruncing.
Ketika waktu aman, kepercayaan dibina.
Ketika waktu krisis, kepercayaan digembleng.
Rangkaian kepercayaan utuh ini menjadi benteng pertahanan yang penting daripada sebarang usaha mengeksploitasi perbezaan agama demi kepentingan politik.
Kekalkan rangka kerja tadbir urus yang berkesan
Tadbir urus yang berkesan kekal menjadi benteng pertahanan utama dalam mengekang usaha mempolitikkan agama.
Pendekatan yang diambil oleh Singapura dalam menangani isu ini boleh dijadikan sebagai satu contoh yang baik.
Ia melindungi kebebasan beragama, namun pada masa yang sama, mengekalkan sempadan jelas antara agama dengan politik.
Instrumen perundangan seperti Akta Mengekalkan Keharmonian Agama (MRHA) serta Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (Pofma) merupakan mekanisme penting dalam menghalang eksploitasi agama bagi menggerakkan sokongan politik, mencetuskan perpecahan sosial, mahupun ekstremisme.
Dengan masyarakat kini semakin terhubung melalui media digital, pihak pemerintah dan institusi awam perlu terus memperhalusi dasar sedia ada bagi membendung naratif yang berbahaya, sambil tetap memelihara kebebasan mengekspresikan agama dan mengamalkan kepercayaan masing-masing.
Langkah ini menjadi semakin mendesak dalam era kecerdasan buatan (AI) dan bot sembang (chatbot), di mana teknologi AI kini mampu menjana kandungan emosi yang sangat berkuasa, termasuk gambar dan video yang mampu memberi kesan mendalam kepada masyarakat.
Kesimpulan
Agama kekal menjadi satu kuasa yang besar dalam kehidupan bermasyarakat.
Pengaruhnya mampu memperkukuh perpaduan sosial, memberi inspirasi untuk berkhidmat kepada masyarakat, serta menggalak tanggungjawab moral.
Namun, pengaruh yang sama juga boleh disalahgunakan apabila naratif agama diperalatkan bagi memberi legitimasi kepada kuasa politik dan ketenteraan, menjustifikasikan konflik, atau memperdalam jurang perpecahan.
Tindak balas paling berkesan bukanlah dengan meminggirkan agama daripada ruang awam, sebaliknya memastikan penglibatannya diurus secara bertanggungjawab.
Pemimpin agama perlu mengetengahkan prinsip etika yang universal secara konsisten.
Institusi pendidikan dan masyarakat pula perlu memperkukuh pemikiran kritikal serta kebijaksanaan menilai maklumat.
Pada masa sama, pemimpin politik, agama, dan sivik juga perlu mengekalkan dialog yang bermakna secara berterusan.
Pemerintah pula perlu mengekalkan rangka kerja tadbir urus yang jelas, seimbang, dan konsisten dalam pelaksanaannya bagi melindungi kebebasan beragama sekali gus memelihara keharmonian sosial.
Menerusi langkah ini, kita dapat memastikan agama kekal menjadi sumber panduan moral dan membawa kebaikan kepada masyarakat, dan tidak menjadi alat untuk meraih dominasi politik.
Penulis ialah Zamil Kanan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS). Beliau pernah berkhidmat selama 28 tahun di Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), termasuk sebagai Ketua dan Penolong Pengarah Pendidikan Islam dan Madrasah, Naib Dekan Akademi Muis (2008-2024), serta Timbalan Mufti (2020–2025). Ulasan ini kali pertama diterbitkan di ‘RSIS Commentary’.
