Ramainya teman di pinggir malam
Aku masih sepi
Bingit suara tak keruan
Aku masih tuli
Lirik lagu runut bunyi (OST) daripada drama popular tempatan awal 2000-an, Anak Metropolitan, terngiang-ngiang dalam fikiran saya semasa ingin menulis catatan ini.
Menukil apa yang dikatakan pelakon drama tersebut, Norseha Sani, sewaktu saya mewawancaranya Mac lalu:
“Saya suka lagu tema ini. Mungkin disebabkan seni katanya yang catchy (mudah dihafal) membuat lagunya ikonik hingga kini.”
Tidak dinafikan lagu dengan irama rancak dan bertenaga nyanyian Jai Wahab itu masih lagi diingati ramai pendengar hingga kini.
Namun sebagai seorang kanak-kanak di sekolah rendah ketika menonton drama itu, saya turut tertanya-tanya apakah maksud di sebalik beberapa perkataan yang dianggap baru bagi saya dalam seni kata lagunya.
Rasa ingin tahu dalam diri saya ketika itu membuat saya mengambil Kamus Dewan dalam kabinet kelas Bahasa Melayu dan mula membelek-beleknya untuk mencari maksud perkataan ‘keruan’ dan ‘tuli’.
Sebenarnya ‘keruan’ bermaksud ‘belum ketahuan’ namun dalam konteks OST Anak Metropolitan, ia merujuk kepada seseorang yang membebel atau meleter hingga ia membingitkan.
Perkataan ‘tuli’ pula adalah perkataan seerti bagi ‘pekak’.
Selepas peristiwa itu, saya mula tertarik untuk mengetahui makna bagi setiap perkataan baru yang saya dengar dalam sesebuah lagu.
Membesar dengan ibu dan nenek yang meminati dunia hiburan Melayu, saya didedahkan kepada lagu Melayu malar segar yang sering dimainkan di stesen radio tempatan.
Tidak dinafikan lagu Melayu daripada penyanyi era tahun 80-an dan 90-an merupakan antara faktor yang membuat saya memperdalami minat dan mula jatuh cinta dengan bahasa ibunda.
Bagi saya, muzik dan lagu Melayu bukan sekadar berbentuk hiburan dan menjadi santapan halwa telinga pendengar.
Ia turut menjadi wadah alternatif untuk sesiapa sahaja mempelajari mengenai bahasa Melayu dalam cara yang santai dan menyeronokkan.
Menerusi seni kata sesebuah lagu, pendengar dapat menghayati maksud di sebalik mesej yang ingin disampaikan.
Kadangkala, bahasa yang digunakan berunsur puitis dan memerlukan pendengar mentafsirkan maksud sebenar.
Ini membuat saya lebih tertarik untuk memahami cara bahasa Melayu digunakan untuk menggambarkan sesebuah objek, situasi atau perumpamaan.
Semasa di sekolah menengah, saya turut mengambil ilham daripada lirik lagu bagi penulisan karangan.
Baru-baru ini, lagu Seribu Kemanisan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza merupakan antara lagu yang sering dimainkan dalam playlist (senarai muzik) saya.
Lagu yang dilancarkan pada 1999 itu kembali tular selepas ia dinyanyikan oleh anak saudaranya, Amad Dayyan, dalam beberapa konsert.
Nyanyian Amad yang penuh dengan penghayatan membuat saya tertarik untuk meneliti dan memahami lirik lagu puitis ciptaan Zulkefli Majid dengan seni kata oleh Azlan Abu Hassan itu.
Apabila mendengarnya buat kali pertama, mungkin ada di antara pendengar yang merasakan ia hanya lagu cinta biasa.
Namun, sebenarnya hampir keseluruhan lagu tersebut menggunakan seni kata berunsur frasa berbunga dan kata-kata puitis dengan setiap bait lirik menggambarkan hubungan cinta yang tulus dan penuh kebahagiaan.
Sebagai contoh bait lirik:
Yakinlah kan bersama,
Andainya telah tercipta panca persada
‘Panca persada’ merujuk kepada binaan bertingkat yang digunakan dalam istiadat diraja di Malaysia di mana sultan dan permaisuri akan duduk lantas memberi gambaran bahawa hubungan cinta itu ibarat satu hubungan yang cukup bermakna.
Dalam bait lirik:
Kelaraikanlah jalinan cinta
Menjadi satu dalam jiwa
‘Kelarai’ bermaksud satu corak atau motif yang dihasilkan dengan seni anyaman Melayu.
Dalam konteks lagu Seribu Kemanisan, ia seperti menggambarkan cantuman jalinan cinta antara dua insan yang terbina.
Saya tidak boleh menafikan terdapat seni kata yang mungkin kurang sesuai untuk digunakan sebagai bahan rujukan dalam mempelajari bahasa Melayu.
Dalam era dikuasai media sosial, terdapat sesetengah penggubah dan penulis lagu yang hanya menghasilkan seni kata dianggap menarik untuk mendapat perhatian pendengar dan mementingkan jumlah penstriman.
Namun bagi saya, lagu dengan lirik mendalam dan mempunyai mesej tersirat untuk disampaikan merupakan lagu yang dapat memberi impak dan diingati buat jangka masa panjang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg