Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sorot Pilihan Raya di pelbagai wadah, penuhi cita rasa berubah

Sebahagian usaha BH ikuti arus perubahan demi kekal relevan
May 4, 2025 | 5:30 AM
(Dari kiri) Peguam Encik Ahmad Nizam Abbas; Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin; Ketua Media Sosial, Cik Siti Aisyah Nordin; dan aktivis masyarakat, Encik Imran Mohd Taib; di acara live ‘Singapura Mengundi’ terbitan Berita Harian di Facebook dan YouTube pada Hari Mengundi pada 3 Mei.
(Dari kiri) Peguam Encik Ahmad Nizam Abbas; Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin; Ketua Media Sosial, Cik Siti Aisyah Nordin; dan aktivis masyarakat, Encik Imran Mohd Taib; di acara live ‘Singapura Mengundi’ terbitan Berita Harian di Facebook dan YouTube pada Hari Mengundi pada 3 Mei. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK BERITA HARIAN

Apabila Writ Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) dikeluarkan pada 15 April lalu, orang ramai mungkin kali pertama mendapat tahu tentangnya menerusi media sosial atau aplikasi berita.

Berita yang dinanti-nantikan itu disampaikan kepada pembaca hampir serta-merta setelah diumumkan.

Perincian dan maklumat lanjut mengenai GE2025 – misalnya tarikh ‘keramat’ Hari Mengundi yang ditetapkan pada 3 Mei – kemudian boleh dibaca menerusi artikel Berita Harian (BH) yang dikeluarkan di laman BH pada hari yang sama.

Pembaca boleh menerima laporan lebih menyeluruh dalam versi cetak pada keesokan harinya.

Apabila tiba Hari Penamaan Calon pada 23 April, orang ramai mengikuti liputannya secara langsung menerusi pelbagai wadah.

Di laman media sosial misalnya, wartawan BH memuat naik video yang merakam ketibaan calon dan penyokong mereka di pusat penamaan serata Singapura, dan kemudian melaporkan ‘kejutan’ mengenai calon yang timbul secara tidak dijangka di kawasan tertentu.

Di Live Blog BH, perkembangan dari minit ke minit disorot; apabila Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan pasukannya di GRC Marine Parade-Braddell Heights menang tanpa bertanding; apabila Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, disahkan sebagai calon untuk GRC Punggol dan tempatnya di GRC Chua Chu Kang diambil alih oleh Menteri Tenaga Kerja, Dr Tan See Leng; dan apabila Naib Pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, berpindah dari GRC Aljunied ke GRC Tampines.

Ruangan ‘Live Blog’ di laman BH memberi perkembangan terkini mengenai liputan GE2025.
Ruangan ‘Live Blog’ di laman BH memberi perkembangan terkini mengenai liputan GE2025. - Foto TANGKAP SKRIP LAMAN BERITAHARIAN.SG

Di Facebook dan YouTube pula, BH menerbitkan acara ‘live’ yang mengikuti perkembangan di sembilan pusat penamaan tersebut dari studio. Acara tersebut dihos Koresponden BH, Cik Nur Fathin Awalludin; dan Penyampai dan Penerbit Podcast BH, Cik Natasha Mustafa.

Program itu turut mengundang pemerhati politik – Zamil Kanan dan Penyelaras Program Pengajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; dan Penolong Profesor di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah – untuk memberi ulasan secara langsung.

Malah, sepanjang kempen GE2025, dua acara ‘live’ diadakan setiap hari – pada tengah hari bersama Wartawan Video, Cik Ameerah Sallehuddin; dan kemudian sebelah malam bersama Cik Natasha, untuk mengimbau detik-detik penting dalam kempen tersebut.

Wartawan video BH, Cik Ameerah Sallehuddin, menjadi hos acara ‘Jejak Kempen’ terbitan BH secara ‘live’ di Instagram dan TikTok sepanjang kempen GE2025.
Wartawan video BH, Cik Ameerah Sallehuddin, menjadi hos acara ‘Jejak Kempen’ terbitan BH secara ‘live’ di Instagram dan TikTok sepanjang kempen GE2025. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM BERITA HARIAN

Menjelang Hari Mengundi, wartawan BH juga sibuk menemu bual calon-calon, baik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang, dan menampilkan laporan mengenai mereka dalam pelbagai bentuk termasuk artikel berita, video dan juga podcast.

Menjelang Hari Mengundi, wartawan BH menemu bual calon-calon, baik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang, dan menampilkan laporan mengenai mereka dalam pelbagai bentuk termasuk artikel berita, video dan juga podcast.
Menjelang Hari Mengundi, wartawan BH menemu bual calon-calon, baik daripada parti pemerintah mahupun pembangkang, dan menampilkan laporan mengenai mereka dalam pelbagai bentuk termasuk artikel berita, video dan juga podcast. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK BERITAHARIANSG

Itulah sekilas mengenai liputan GE2025 BH yang kali ini merentas pelbagai wadah dari cetak hingga di berbilang platform media sosial.

Liputan itu disampaikan bukan sahaja menerusi pelbagai wadah, bahkan dengan sepantas mungkin, pada kecepatan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini.

Semua ini dilakukan sambil berusaha untuk mendukung mutu kewartawanan – membuat laporan secara tepat dan menyeluruh sebaik mungkin – dalam misi menjadi sumber berita yang dipercayai.

Hakikatnya, landskap media hari ini begitu rencam.

Liputan GE misalnya hari ini bukan sahaja disediakan oleh pihak media tradisional, malah pelbagai pihak pencipta kandungan, antaranya pihak pemerhati secara individu di platform masing-masing.

Akhbar seperti BH juga perlu berusaha untuk mengikuti perkembangan terkini dan tidak ketinggalan dalam usaha untuk mendekati pembaca.

Pelbagai usaha ini juga merupakan hasil transformasi besar yang dilalui BH sejak dua tahun lalu.

Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, sebelum ini berkata akhbar ini menyajikan berita pilihan raya umum di pelbagai wadah bagi memenuhi cita rasa audiens yang berbeza.

“Ini juga satu lagi peluang untuk BH mengetengahkan keupayaan yang telah kami bangunkan sejajar dengan transformasi digital bilik berita,” ujar beliau.

Seperti Hari Penamaan Calon, liputan Hari Mengundi pada 3 Mei turut melihat pendekatan serupa – sajian berita di pelbagai wadah, hasil liputan dari wartawan di lapangan, bilik berita dan studio.

GE2025 menutup tirainya awal pagi tadi setelah keputusan diumumkan.

Bagi pihak media, ia menandakan satu hari baru dalam kitaran berita, dengan wartawan bersedia menyajikan berita untuk pembaca setia, tidak kira wadahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg