Berabad lamanya, masjid merupakan nadi kepada masyarakat Muslim kita sebagai tempat ibadah, bimbingan, dan mengeratkan silaturahim.
Ia ibarat sauh, iaitu tempat sandaran, bagi keluarga dan masyarakat kita dalam mengharungi suka dan duka, mengingatkan kita tentang jati diri dan prinsip yang kita pegang.
Namun, seiring dengan perubahan masyarakat dan kehidupan yang semakin kompleks, keperluan hati kita juga turut berkembang.
Bab seterusnya bagi masjid kita bukanlah tentang penggantian tradisi tetapi pembaharuan semangatnya. Ia tentang membantu masyarakat kita menemukan kekuatan, kepedulian, dan kedamaian di tengah-tengah tuntutan kehidupan moden.
Banyak dalam kalangan masyarakat Muslim di seluruh dunia kini menganggap masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi juga sebagai tempat perlindungan dan penyembuhan.
Semangat yang sama dapat membimbing kita di sini, di Singapura.
Menebarkan imaginasi semula tidak bermakna membina sesuatu yang baru.
Ia juga membawa makna mengimbas semula inti pati masjid yang sebenarnya, iaitu menjadi nadi yang menyebarkan rahmah ke seluruh masyarakat.
Ia adalah tempat di mana denyutan keimanan bertemu dengan belas kasihan, yang mana pembelajaran agama berkembang menjadi empati, dan perbuatan mendengar menjadi satu bentuk ibadah.
Langkah pertama dalam pembaharuan ini bermula dengan apa yang kita sebut sebagai penjagaan rohani Islamik.
Pada dasarnya, ia adalah seni menemani satu sama lain dalam menghadapi perjuangan hidup dengan penuh rasa simpati, keprihatinan, dan kebijaksanaan.
Ia mencerminkan contoh kenabian dalam mendampingi orang lain bukan sahaja untuk mengajar, malah untuk membimbing; bukan sahaja untuk memberi panduan, tetapi untuk menyembuhkan.
Di saat ramai manusia menghadapi kegelisahan, kesepian, atau kelelahan moral, penjagaan rohani Islamik mengingatkan kita memupuk keimanan juga bermakna memupuk hati.
Ia menyeru asatizah, sukarelawan, dan anggota masyarakat untuk menghayati kepedulian yang mendalam, menawarkan ketenangan, dan membawa orang ramai mendekati Allah.
Justeru, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang meningkatkan keupayaan Pegawai Agama Masjid melalui pembangunan profesional berstruktur dalam perkhidmatan Penjagaan Rohani Islam, untuk membolehkan mereka berhubung dengan pelbagai segmen masyarakat termasuk belia, keluarga dan warga emas, serta menyokong pertumbuhan rohani mereka dalam menghadapi isu-isu harian kehidupan.
Walau bagaimanapun, masjid tidak dapat melakukan semua ini bersendirian.
Di Singapura, banyak rakan masyarakat seperti agensi perkhidmatan sosial, profesional kesihatan mental, para pendidik, dan kaunselor telah pun berkongsi seruan bagi memberi kepedulian.
Langkah seterusnya adalah untuk menghubungkan aliran perkhidmatan ini menjadi satu visi yang dikongsi bersama yang berlandaskan rahmah (belas kasihan).
Ini memerlukan kerjasama, kepercayaan, dan pembangunan kapasiti, di mana kita belajar bersama untuk melayani ummah sebagai seorang insan yang utuh, merangkumi jasad dan jiwa.
Apabila kita menyatukan usaha kita, kita mencerminkan kesatuan tauhid bukan sahaja dalam kepercayaan, tetapi juga dalam tindakan.
Bayangkan sebuah masjid yang berkembang bersama masyarakatnya, di mana seorang belia menemukan mentor yang mendengar tanpa menghakimi, ibu bapa kepada anak-anak berkeperluan khas mendapat sokongan dan pemahaman, seorang penjaga dapat beristirahat, seorang warga emas menemukan teman dan jiran-jiran kita yang bukan Muslim turut berasa diterima dengan kemesraan iman kita.
Ruang yang membangkitkan semangat dan bukan membebankan, yang mengajarkan bukan sahaja ritual, tetapi pembaharuan.
Ini bukanlah impian yang jauh.
Ia adalah kesinambungan daripada apa yang masjid kita sentiasa perjuangkan, iaitu rahmah, semangat kebersamaan dan mengingati Allah.
Sambil kita menatap masa depan, kita membina atas dedikasi para pemimpin masjid, asatizah dan sukarelawan yang tidak terhitung jumlahnya, yang telah lama menghidupkan masjid-masjid kita dengan keimanan dan perkhidmatan.
Penghayatan semula masjid kita bukanlah satu penyimpangan daripada kerja-kerja baik mereka, tetapi sebagai perluasan daripadanya.
Ia adalah satu cara untuk lebih memupuk sifat simpati dan kepedulian ke setiap pelosok kehidupan masyarakat dalam menyantuni setiap insan dalam masyarakat Islam kita.
Apabila kita terus membuka hati kita dalam semangat yang dikongsi bersama ini, masjid-masjid akan terus berdenyut sebagai nadi kehidupan masyarakat kita, sebagai ruang yang mana keimanan menyentuh hati, kepedulian diberikan dan setiap jiwa menemukan rasa kekitaan.
Penulis ialah pendidik dan kaunselor. Beliau merupakan kaunselor sukarelawan dengan Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga (Fitrah) dan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg